+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 22, 2008

Dewan Rakyat: YB kutuk kes ugut Karpal


Berita Harian


SEMPAT BERGURAU: Nazri berjenaka dengan Guan Eng ketika sidang media di lobi Parlimen, semalam.

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang semalam mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab menghantar surat ugutan berserta sebutir peluru hidup kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dianggap perbuatan pengecut serta meminta pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Pengerusi Kaukus Hak Asasi Manusia berkata, sesiapa pun tidak boleh bertindak keterlaluan dan mengambil undang-undang sendiri.

"Adalah salah menghantar peluru hidup, itu perbuatan orang penakut... jika betul tidak berpuas hati dengan Karpal, tentunya boleh datang berbincang dengan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu," katanya pada sidang media bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, Karpal membuat laporan polis menerima surat ugutan berserta sebutir peluru hidup yang dihantar ke pejabatnya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur. Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 5 petang selepas menerima surat ugutan berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Lim yang membacakan satu kenyataan, mengecam ancaman bunuh itu dan menyifatkannya sebagai budaya hutan rimba dan samseng yang tidak mendapat tempat dalam aspirasi nasional dan semangat kemanusiaan serta kenegaraan Malaysia.

Beliau meminta polis memberikan perlindungan sewajarnya kepada Karpal serta menjalankan siasatan dan menangkap pihak yang membuat ancaman itu. "Kita sebagai pengamal demokrasi percaya kepada keamanan dan tidak percaya kepada keganasan untuk mencapai matlamat," katanya.

Sementara itu ketika ditanya perkara berkenaan pada sidang media berasingan, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pemuda Umno dan Pemuda BN tidak bersetuju dengan tindakan seumpama itu.

"Kita dalam negara yang tidak menghalalkan tindakan seperti itu. Hantar peluru dan buat perkara tidak munasabah bukan cara kita," tegasnya sambil menyatakan tentunya polis akan menyiasat kes itu.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |