Mstar Online
13-06-2008 03:30:06 PM
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah sepakat berhubung masa terbaik bagi peralihan kuasa.
Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpinpemimpin Umno Kelantan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu, hari ini.
"Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada beliau.
"Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik," katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan, di sini.
Abdullah yang juga Presiden Umno berkata "bila tiba masanya nanti", penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku.
Terdahulu, sejurus tiba di sini, Abdullah mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu selama dua jam.
Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.
Mesyuarat yang diadakan sebelum itu juga turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Abdullah juga berkata, sewajarnya semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baiknya dengan Najib itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah.
"Yang penting semua perlu melihat hubungan kami berdua adalah untuk menguatkan parti dan kerajaan serta program pembangunan yang telah dirancang selama ini," katanya.
Perdana Menteri turut menghargai sokongan semua pihak kepada beliau untuk terus memimpin parti dan negara dan berjanji bekerja lebih kuat demi kepentingan parti, kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
"Saya amat menghargai sokongan terhadap saya dan kalau beri sokongan kuat dan padu seperti ini, saya akan terus bekerja dengan lebih kuat untuk parti dan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, walaupun sokongan rakyat keseluruhannya semakin merosot yang diterjemahkan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Abdullah meminta penyokong Umno tidak patah semangat.
"Sebagai pejuang, jangan kita patah semangat demi untuk agama dan bangsa kita dan istilah kecewa sepatutnya tidak ada dalam kamus pejuang ini.
"Pantang undur sebelum menyerah dan pejuang ini perlu berjuang. Kalau patah hati tak payah berjuang, biarlah tunggu mati sahaja," katanya.
Abdullah berkata kerajaan yang ada pada hari ini, sebenarnya tidak lemah walaupun Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu.
"Kerajaan yang ada perlu memikirkan sokongan majoriti yang menyokong kita dan majoriti ini mahukan kita terus berjuang," kata Abdullah.
Perdana Menteri yakin Umno akan kembali kuat selepas ini kerana masalah yang berlaku pada hari ini adalah sesuatu yang lumrah.
"Saya percaya kita boleh pulih dan kembali kepada kekuatan yang asal. Memang ada masa kita hilang kerusi dan ketika ini timbul kemarahan pelbagai pihak tetapi ia tidak akan selama-lamanya," katanya.
Beliau berkata, kerajaan pusat sama sekali tidak akan menganaktirikan negeri yang diperintah pembangkang termasuk Kelantan kerana tidak mahu rakyat terus terseksa dan perlukan pembelaan kerajaan.
"Kita mahu bantu mereka yang kurang berkemampuan dan untuk itu jangan biarkan kita berasa lemah dan tidak bermaya untuk membantu mereka," katanya.
Ini adalah lawatan yang pertama Abdullah selepas pilihan raya umum lalu untuk memberikan penjelasan kepada pemimpin dan rakyat terhadap senario politik terkini.
Selepas solat Jumaat Abdullah akan ke Bendang Perangkap Bunut Susu bagi melancarkan Pelan Meningkatkan Pengeluaran Beras Negara.
0 comments:
Post a Comment