+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 14, 2008

Batuan Tengah dihadkan hanya nelayan tradisional


MILIK KITA... Kakitangan Jabatan Ukur Pemetaan Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang bersebelahan monumen Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS) yang baru siap dibina, semalam. Mereka juga telah menyelesaikan tugas mengukur kedudukan Batuan Tengah yang terletak berhampiran Batu Puteh (belakang, kanan).


KUALA LUMPUR 13 Jun – Aktiviti penangkapan ikan di perairan Batuan Tengah di selatan Johor hanya akan dihadkan kepada nelayan tradisional yang tidak menggunakan peralatan moden.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, syor itu dibuat oleh jawatankuasa khas diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa yang meninjau kawasan maritim berkenaan baru-baru ini.

Dalam laporan jawatankuasa itu yang telah diserahkan kepada Kabinet, hanya nelayan menggunakan perahu dibenarkan menangkap ikan dan bukan bot pukat tunda dan tarik.

‘‘Kita juga telah mengemukakan cadangan kepada Singapura agar mensyaratkan hanya nelayan tradisional negara itu yang melakukan aktiviti penangkapan di Batu Putih supaya keadaan menjadi harmoni kerana ia baik untuk kedua-dua negara pada masa depan,” katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Bencana Wisma Putra-Siklon Nargis daripada Maxis Communications Berhad dan Pemuda UMNO Johor di sini hari ini.

Sumbangan Maxis sebanyak RM100,000 disampaikan oleh Ketua Pegawai Kewangannya, Rossana Annizah Rashidi manakala derma Pemuda UMNO Johor sebanyak RM10,000 diserahkan oleh ketuanya, Razali Ibrahim.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) baru-baru ini memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Batu Putih dan ia juga mengiktiraf hak Malaysia terhadap Batuan Tengah.

Mengenai cadangan untuk mencantumkan kedua-dua bongkah batu di Batuan Tengah, Rais berkata, pihaknya yakin ia tidak akan mendapat bantahan daripada Singapura.

‘‘Apa sahaja aktiviti yang akan kita lakukan di kawasan perairan maritim itu hanya akan dilakukan setelah diadakan perbincangan antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Ditanya mengenai kedudukan Tubir Selatan berhampiran Batu Putih, beliau berkata, kajian mengenai negara mana yang berhak terhadapnya akan dibuat secara terbuka dan telus.

‘‘Pihak yang berkepentingan dalam perkara ini akan diberi peluang meneliti segala kajian yang dilakukan oleh pakar maritim dan undang-undang yang dilantik kerajaan Malaysia,” ujarnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |