+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 21, 2008

Stesen minyak mahu tutup operasi

Utusan Online

KUALA LUMPUR 20 Jun – Sebanyak 3,500 pengusaha stesen minyak di seluruh negara merancang menutup operasi selama lapan jam pada 26 Jun ini dan menolak penggunaan kad kredit jika kerajaan tidak menaikkan komisen penjualan minyak.

Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin berkata, pihaknya menunggu keputusan daripada kerajaan Isnin ini sama ada bersetuju atau menolak permintaan PDAM untuk menaikkan komisen daripada tiga peratus kepada enam peratus.

Sekiranya kerajaan menolak cadangan itu, katanya, ketetapan yang diambil oleh ahli-ahli persatuan itu sebelum ini adalah untuk menutup stesen minyak dari pukul 7 pagi hingga 4 petang.

“Ia akan dilaksanakan di seluruh negara pada tarikh tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, rayuan menaikkan komisen itu telah disuarakan PDAM dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada Khamis lepas.

“Beliau berjanji membawa perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keputusan mengenainya akan diketahui Isnin ini.

“Dalam pertemuan hampir tiga jam itu beliau memahami masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak ekoran kenaikan harga petrol dan diesel, masing-masing sehingga 40 dan 63 peratus,’’ ujarnya.

Abdul Wahid memberitahu, selain menutup stesen minyak sebagai tanda protes, semua pengusaha stesen juga bersetuju untuk menolak sebarang penggunaan kad kredit di semua stesen jika permintaan itu tidak dipenuhi.

Menurut beliau, para pengusaha stesen minyak tidak dapat lagi menampung kerugian ekoran kenaikan harga petrol dan diesel memandangkan komisen yang diperoleh tidak mencukupi.

‘‘Komisen yang kami peroleh untuk petrol hanya tiga peratus dan diesel pula di bawah dua peratus dan komisen ini tidak mencukupi untuk menampung bayaran sewa stesen, membayar gaji pekerja dan penyelenggaraan,’’ katanya.

Beliau berkata, permohonan PDAM untuk menaikkan komisen kepada enam peratus dianggap memadai.

Abdul Wahid berkata, walaupun telah beberapa kali berlaku kenaikan harga petrol dari RM1.10 hingga RM2.70 seliter, kerajaan tidak menaikkan komisen kepada pengusaha stesen minyak.

Beliau berkata, apabila harga minyak naik sehingga RM2.70 seliter untuk petrol sementara diesel pula meningkat RM1 kepada RM2.58 seliter, ia sangat membebankan pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

Mengenai penolakan penggunaan kad kredit pula, beliau berkata, ia adalah langkah yang paling menjimatkan kerana para pengusaha stesen minyak tidak perlu membayar caj perkhidmatan kepada bank-bank.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |