Berita Harian
KOTA BHARU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, didakwa sengaja mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana terpengaruh dengan janji pembangkang yang menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata beliau mendapat maklumat Yong ditawarkan jawatan itu jika pembangkang mengambil alih kerajaan daripada BN dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
"Bila dia sudah mengaku berjumpa Anwar dan kemudian menyatakan pendirian tidak percaya kepada kepemimpinan Perdana Menteri, walaupun dia kata tak nak keluar dari BN, ini menimbulkan pelbagai tanda tanya. "Saya nak tahu apakah tawaran Anwar kepada Yong, saya dengar macam-macam ditawarkan seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri kalau Anwar menjadi Perdana Menteri. Ini membuktikan pendiriannya bukan atas prinsip, tetapi bersyarat sebab dia sudah berjumpa Anwar, termasuk sekali di Hong Kong.
"Kenapa nak jumpa di Hong Kong? Takut orang nampak? Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya, kita tahu sejarah Anwar dan Yong pada 1994 yang menyebabkan kerajaan PBS jatuh dan tindakannya itu bukanlah perkara baru," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Pemuda Umno Kelantan di sini, semalam.
Khairy berkata, Yong turut menggunakan kedudukannya selaku Presiden SAPP untuk mempengaruhi pemimpin dan ahli parti itu supaya menyokong pendiriannya berhubung usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, bagi membolehkannya mencapai cita-cita politiknya.
Beliau berkata, hakikatnya sebahagian besar ahli SAPP termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Raymond Tan dan barisan Pemuda parti itu tidak menyokong pendiriannya.
0 comments:
Post a Comment