+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 23, 2008

Cara Singapura dipersoal

Berita Harian

Oleh Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my


SATU MATLAMAT: Rais (empat dari kiri) berpegangan tangan bersama rakan sejawatnya ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) Ke-41, di Singapura, semalam.

Tuntutan perairan Batu Puteh wajar dibincang bersama: Rais kedua-dua negara mengumumkan tuntutan

SINGAPURA: Malaysia mempersoalkan tindakan Singapura mengumumkan tuntutannya terhadap kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh tanpa berbincang dengan Kuala Lumpur terlebih dulu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim menegaskan apa saja tuntutan atau cadangan terhadap kawasan itu perlu dibincangkan bersama kedua-dua negara kerana kedudukan Batu Puteh dan Batuan Tengah serta Tubir Selatan yang berdekatan menyukarkan penilaian dibuat.

"Ini adalah perkara baru kepada kita. Sepatutnya ada perbincangan peringkat awal lagi peringkat jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan bersama.

"Sebarang tindakan (tuntutan) membabitkan undang-undang tertentu dan kita memerlukan nasihat pakar bagi mengendalikannya menyebabkan tindakan berkenaan tidak sepatutnya dijalankan dengan cepat.

"Kita akan merujuk perkara ini kepada jawatankuasa teknikal bersama yang dibentuk kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Singapura yang menuntut kawasan perairan wilayah dan EEZ di sekitar Batu Puteh, yang diputuskan diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Mei lalu dalam menyelesaikan satu pertikaian hak milik dengan Malaysia.

Semalam, Menteri Kanan republik itu, Balaji Sadasivan, ketika sesi soal jawab di Parlimen dilaporkan, berkata Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982.

Pada 23 Mei lalu, ICJ memutuskan Batu Puteh dimiliki Singapura, manakala Malaysia mendapat Batuan Tengah yang terletak tidak jauh dari pulau itu.

Kedaulatan Tubir Selatan pula akan menjadi milik negara yang menguasai perairannya.

Susulan itu, kedua-dua negara mencapai kata sepakat membentuk satu jawatankuasa teknikal dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar perairan ketiga-tiga pulau berkenaan.

Rais berkata, Malaysia berpendapat sebarang cadangan atau tuntutan terhadap perairan pulau itu perlu dibuat dengan semangat persefahaman Asean serta diteliti terlebih dulu.

Katanya, isu di kepulauan itu bukan mudah kerana ia membabitkan udang-undang spesifik.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |