+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, July 13, 2008

Dr. Mahathir terus asak Abdullah bersara sekarang

Mstar Online

13-07-2008 04:24:35 PM
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Dalam komen terbaru hari ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan jawatan sekarang, bukannya pada Jun 2010 sebagaimana diumumkan Khamis lalu.

Dr. Mahathir yang mengulas pelan peralihan kuasa Abduillah dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak Khamis lalu berkata, biarlah ada pertandingan untuk kesemua jawatan tertinggi Umno pada Disember ini.

"Percayalah jika Umno dan Barisan Nasional (BN) hendak dipulih supaya tidak kalah lebih teruk dalam pilihan raya umum ke-13 berbanding pilihan raya umum ke-12, Datuk Seri Abdullah perlu letak jawatan sekarang juga," kata beliau dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang keluar daripada Umno Mei lalu menambah, sesiapa juga yang dipilih hendaklah diasingkan daripada bayangan Abdullah supaya pengaruhnya dan ketamakan konco-konconya tidak lagi dapat merosakkan negara.

"Apabila ini berlaku maka kepemimpinan baru dan seluruh jentera parti boleh digerak dengan semangat yang baru untuk berusaha menarik balik ahli dan penyokong yang telah undi parti lawan atau merosakkan undi pada pilihan raya umum ke-12," katanya.

Dr. Mahathir memberikan kepimpinan Abdullah mengetuai Umno dan kerajaan sebagai alasan keluar daripada parti itu dua bulan lalu.

Katanya, beliau tidak akan kembali ke Umno selagi Abdullah memegang jawatan Presiden parti.

Dr. Mahathir yang menyerahkan kepimpinan BN dan parti kepada Abdullah pada Oktober 2003 memberitahu, kerajaan perlu disusun semula supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah ketidakstabilan politik, masalah ekonomi yang telah rosak dan tekanan politik dan ekonomi dari luar negeri.

Katanya lagi, ahli-ahli Umno yang sudah menerima pendirian Abdullah, yang diumumkan Khamis lalu, perlu fikir tentang aspek itu dengan mendalam.

Ketika parti dan kerajaan berhadapan dengan pelbagai masalah, kata Dr. Mahathir, kesemuanya perlu ditangani oleh Najib dan anggota Kabinet daripada BN dalam dua setengah tahun.

"Apakah Najib mampu menangani semua masalah-masalah ini di samping memulihkan parti-parti? Sebenarnya kredibiliti Najib telah banyak merosot sejak dia menjadi
Timbalan Perdana Menteri di bawah pimpinan Dato Seri Abdullah," katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, pada masa lalu Najib merupakan bintang yang gemilang di antara anggota Kabinet.

"Tetapi oleh kerana dia tunduk rendah kepada Abdullah, dengan selalunya mengia apa sahaja yang dikata dan dibuat oleh Abdullah, pandangan tinggi rakyat kepadanya sudah jatuh merudum. Dia perlu masa untuk memperbaiki semula imejnya.

"Jika daripada sekarang hingga Jun 2010 dia masih dilihat sebagai Mr Yes yang utama, mustahil dia akan dapat pulih imejnya," katanya lagi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |