+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 2, 2008

16 September tarikh perpaduan Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Mohd Nor Yahya

Tue | Sep 02, 08 | 5:39:45 pm MYT


KOTA BHARU, 2 Sept (Hrkh) - Ramai menyifatkan cadangan cuti umum pada 16 September ini sebagai tepat pada masanya sempena memperingati penubuhan Malaysia dan kemasukkan Sabah dan Sarawak.

Malah ramai berhujah cuti itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan sebagai menghormati kesediaan kedua-dua negeri terbabit menyertai persekutuan Malaysia.

Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pengisytiharan cuti itu tepat pada masanya dan cadangan Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenainya amat dialu-alukan.

"16 September merupakan tarikh keramat kerana sebelum itu Tanah Melayu hanya terdiri daripada negeri-negeri ada di semenanjung sahaja.

"Kesediaan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia merupakan satu tarikh yang cukup penting, lebih kurang sama dengan 31 Ogos. Sepatutnya kerajaan Malaysia lebih prihatin terhadap tarikh tersebut," katanya di sini.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Umum KeADILan mencadangkan supaya cuti umum diisytiharkan di lima negeri Pakatan Rakyat pada 16 September setiap tahun.

Wan Abdul Rahim yang juga Yang Dipertua PAS Kota Bharu berkata, malangnya kepentingan tarikh tersebut kurang diberi perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga sekarang.

"Apa yang berlaku hari ini menggambarkan Pakatan Rakyat mendahului BN dalam banyak perkara termasuk kebajikan rakyat di Sabah dan Sarawak," kata beliau.

Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Haji Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, tarikh kemasukkan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia merupakan perisitiwa penting bagi rakyat negara ini.

Ini kerana katanya tanggal 31 Ogos 1957 sebenarnya tidak memberi banyak makna kepada penduduk di Sabah dan Sarawak kerana mereka ketika itu masih berada di bawah belenggu penjajah.

Menurutnya hanya pada 16 September 1963 barulah rakyat di kedua-dua negeri terbabit merasai nikmat kemerdekaan sebenar.

"Dengan menjadikan tarikh tersebut sebagai cuti umum bagi rakyat Malaysia barulah rakyat di Sabah dan Sarawak merasai kemerdekaan sebenar. Ia juga adalah lambang perpaduan kaum," ujar beliau yang juga anggota Parlimen Ketereh.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan cuti tersebut boleh menjejaskan produktiviti dan daya saing pekerja, Abdul Aziz berkata, kenyataan itu kurang berasas.

Menurutnya tiada sebab ekonomi boleh terjejas dengan cuti sehari sahaja dalam setahun bagi merayakan pembentukan Malaysia.

"Kenyataan itu tidak lebih sebagai pandangan politik, samalah dengan cuti mingguan dua hari di Kelantan mulai 1 Januari 1996 pada awalnya dipertikaikan banyak pihak terutamanya pemimpin Umno dan BN.

"Namun selepas lebih 10 tahun cuti itu diamalkan di Kelantan akhirnya kerajaan persekutuan menirunya. Begitu juga dengan cuti 16 September yang memberi makna besar bagi rakyat di Sabah dan Sarawak lambat laun akan ditiru juga," katanya.

Pengurus Media dan Komunikasi Pusat Kajian dan Penyelidikan Strategik Kelantan, Ibrahim Mamat berkata, rakyat berharap tarikh tersebut benar-benar dijadikan cuti umum di negeri Pakatan Rakyat sebelum diikuti negeri-negeri lain.

"Ini menggambarkan Pakatan Rakyat amat menghargai tarikh tersebut yang menyatukan seluruh negeri di semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," ujar beliau.

Menurutnya juga kesepakatan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat untuk menjadikan tarikh tersebut sebagai cuti umum boleh menjadi lambang perpaduan.

Kata beliau negeri-negeri lain juga sepatutnya menerima cadangan itu kerana tarikh terbabit milik semua rakyat Malaysia.

Ibrahim yang juga bekas anggota jawatankuasa Umno Kubang Kerian berkata, tanggal 16 September sepatutnya dijadikan sebagai lambang perpaduan rakyat Malaysia yang dimulakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. - mj_

2 comments:

Unknown said...

16 Sept hanya permainan sandiwara Anwar. Ramai juga yang terpengaruh dengan permainan beliau ini, kononnya 16 Sept adalah tarikh keramat bagi Pakatan. Padahal ia hanyalah igauan mimpi Anwar..

Sang Pemantau said...

saudara,

kita tunggu dan lihat.....kita hanya merancang...tp, Allah lagi maha perancang dan dia juga yang tentukan....mungkin ianya igauan yang boleh menjadi nyata.....mana tau...Allah maha berkuasa....

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |