+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 30, 2008

Keganasan tamat

Berita Harian


PASUKAN komando India mengawasi keselamatan di bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

India dakwa Pakistan terbabit

MUMBAI: Drama serangan pengganas di bandar raya ini sejak malam Rabu lalu, berakhir semalam tetapi ketegangan baru tercetus di antara India dan Pakistan selepas Islamabad dituduh terbabit dalam insiden itu.

Ketika pasukan komando India mula menguasai dua hotel yang ditawan militan serta menyelamatkan semua tebusan di pusat agama Yahudi, India pula menuduh Pakistan bersalah atas keganasan di ibu kota kewangannya.

Bagaimanapun, Islamabad menegaskan dua negara itu menghadapi musuh yang sama dan menggesa New Delhi tidak menggunakan politik kotor dalam isu berkenaan.

Gesaan itu dibuat berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri dari negeri Maharashtra, R R Patil yang memberitahu wartawan bahawa salah seorang militan yang ditahan adalah rakyat Pakistan.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh pula memberi amaran mengenai 'padah tertentu' jika Pakistan tidak bertindak menyekat wilayahnya digunakan untuk melancarkan serangan.

Beliau juga meminta ketua agensi perisikan Pakistan menghantar pegawainya ke India bagi berkongsi maklumat dan ini dipersetujui oleh Islamabad.

KOMANDO India turun daripada helikopter di atas bumbung bangunan pusat Yahudi di Mumbai.

Sementara itu, siaran televisyen melaporkan pasukan komando dengan dibantu helikopter, melepaskan tembakan sebelum melontar bom ke arah penyerang di pusat agama Yahudi.

Ketua Pengawal Keselamatan Kebangsaan, J K Dutt mengesahkan komando India membunuh dua militan di bangunan itu manakala lima tebusan maut.

Ketua Polis Mumbai, Hasan Ghafoor, pula menegaskan operasi masih berjalan kerana tembak menembak terus berlarutan di Hotel Taj Mahal yang menyaksikan komando elit India menghadapi tentangan seorang penyerang yang dipercayai cedera.

Bagaimanapun, hampir semua lokasi keganasan terkawal apabila pasukan komando membunuh dua militan di Hotel Trident-Oberoi dan membebaskan 93 tetamu.

Nasib wanita rakyat Malaysia, Hemakasi Pillay, 51, yang dikhuatiri terperangkap dalam Hotel Taj Mahal masih belum diketahui.

Konsul Jeneral Malaysia di Mumbai, Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata pihak berkuasa India memaklumkan hotel itu masih tidak boleh dimasuki.

"Kita memantau perkembangan kejadian itu dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa untuk mengetahui jika wanita terbabit diselamatkan," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Wan Zaidi berkata, pihaknya bersama dua rakan Hemakasi turut menubuhkan dua kumpulan bagi mengesan wanita itu di semua hospital di bandar raya ini.

"Operasi mencari itu bermula sejak awal pagi kelmarin dan kita juga cuba menghubungi telefon bimbit Hemakasi, namun tiada jawapan," katanya.

Setakat ini, 143 orang maut, termasuk lapan warga asing manakala 288 lagi cedera dalam siri serangan itu.

Dalam insiden itu, kira-kira 25 lelaki bersenjata raifal AK47 dan bom tangan menyerang 10 tempat popular pelancong dan ahli perniagaan di bandar raya ini dengan menjadikan rakyat Britain dan Amerika Syarikat serta penduduk Yahudi sebagai sasaran.


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |