+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, November 2, 2008

Kerjasama rakyat pastikan harga barang turun


Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-23 di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 1 Nov. - Kerajaan memerlukan kerjasama rakyat dan persatuan pengguna dalam usaha memastikan peniaga menurunkan harga barang keperluan berikutan harga petrol dan diesel yang semakin rendah, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, tindakan serta merta yang boleh dilakukan oleh rakyat ialah dengan memilih kedai menjual harga rendah untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka termasuk di pasar raya yang telah bersetuju menurunkan harga barangan.

Beliau menegaskan, pada masa ini kerajaan telah berjaya mendapatkan persetujuan beberapa pemilik pasar raya besar bagi menurunkan harga barang makanan dan ia sepatutnya diikut oleh kedai-kedai runcit.

''Kerajaan perlu mendapat kerjasama rakyat terutama persatuan pengguna, ini adalah penting sebab bila harga minyak rendah, tidak ada sebab mengapa harga barang masih seperti waktu harga minyak tinggi.

''Peniaga perlu mengambil tindakan mengurangkan harga barang, kalau tidak mendadak, boleh secara beransur-ansur," katanya kepada pemberita selepas merasmi Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di sini hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, tindakan kerajaan mengadakan persetujuan dengan pasar raya besar untuk menurunkan harga barang bertujuan untuk membuktikan bahawa harga sesuatu barangan itu boleh dikurangkan pada masa ini.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan segera dengan mengunjungi pasar raya terbabit mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.

''Bila harga di pasar besar rendah, tentu rakyat mahu ke pasar besar ini berbanding kedai di luar, rakyat tidak akan pergi (kedai menjual harga tinggi) kerana tidak lagi menjadi pilihan mereka.

''Pilihan rakyat adalah beli barang di kedai harga jual murah, kita berharap pihak peniaga lain dapat memahami bahawa rakyat yang mahukan harga barang turun," katanya.

Beliau memberitahu, bagi harga barang-barang kawalan, ia tidak akan berubah kerana parasnya adalah mengikut keadaan pasaran semasa.

Ditanya, sekiranya harga minyak terus jatuh adakah kerajaan akan menetapkan satu kadar minimum bagi jualan runcit petrol dan diesel, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan boleh dilaksanakan.

Sementara itu, Abdullah berkata, projek pembinaan saluran paip gas dari Kimanis ke Bintulu, Sarawak akan tetap diteruskan.

Menurutnya, projek tersebut bagaimanapun akan dipastikan tidak menjejaskan operasi loji janakuasa gas di Kimanis bagi membekalkan elektrik di Sabah.

Beliau berkata, Sabah juga akan tetap mendapat royalti gas meskipun sebahagian daripadanya disalurkan ke Bintulu.

"Sabah akan tetap menikmati royalti gas, apa yang kita ambil dari Sabah, Sabah akan nikmati (hasilnya), dakwaan negeri ini tidak menerima royalti adalah tidak betul," katanya.

Abdullah mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, baru-baru ini yang meminta Petronas menghentikan kerja-kerja membina paip gas dari Kimanis ke Bintulu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, projek tersebut tidak boleh dihentikan dan pada masa yang sama sebuah stesen janakuasa gas memerlukan bekalan untuk kegunaan Sabah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |