+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 17, 2008

Tol Plus turun

Berita Harian

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my




Kadar baru diumum Selasa ini: Mohd Zin

SEPANG: Plus Expressways Berhad (Plus) dijangka menurunkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat oleh syarikat berkenaan Selasa ini, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi menjelaskan persetujuan berkenaan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu.

"Saya yakin pengumuman berkenaan akan memberi khabar gembira kepada sebahagian besar pengguna lebuh raya di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min, Sungai Pelek, di sini semalam.

Sebelum ini, Plus dilaporkan sudah menyediakan semua maklumat yang diminta kerajaan berhubung rancangan untuk mengkaji semula perjanjian konsesi bagi mengurangkan kadar tol.

Pada 1 Januari lalu, kadar tol di enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh raya Kulim-Butterworth, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, dinaikkan antara 30 sen hingga RM10.70.

Bagi lebuh raya yang dikendalikan Plus, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol tidak dinaikkan.

Kali terakhir Plus menaikkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya ialah pada 2005.

Bagaimanapun, Mohd Zin kesal kerana ada pemegang konsesi seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) enggan menurunkan kadar tol, walaupun sudah mencacat keuntungan besar.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan sehingga kini sudah membayar pampasan tunai RM630.5 juta kepada LDP bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol antara 1999 hingga 2007, manakala kutipan tol sejak tempoh konsesi bermula pada 31 Disember 1996 pula mencecah RM1.28 bilion.

Berikutan itu, katanya, LDP adalah lebuh raya yang merekodkan keuntungan dan sewajarnya meringankan sedikit beban pengguna kerana tempoh konsesi mereka hanya berakhir pada 31 Disember 2029.

Beliau juga dipetik berkata, mutu perkhidmatan lebuh raya berkenaan sudah merosot hingga ke tahap 'F' di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap 'D' di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata, kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing sebanyak 75 peratus dalam industri pembinaan negara, mulai tahun depan.

1 comments:

Mohd Afnan said...

Alhamdulillah. Turun banyak atau sikit, tu bukan persoalan. Yang penting sekarang ni, ia akan diturunkan. Kita harus menyambut baik penurunan ini. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kita...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |