+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 20, 2008

Sime Darby janji teruskan obligasi sosial di IJN

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Konglomerat, Sime Darby Bhd, yang hari ini mendapat kelulusan secara prinsip daripada kerajaan untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN), berjanji akan meneruskan obligasi sosial pusat pakar jantung itu kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid berkata itulah antara syarat yang ditekankan sendiri oleh ahli lembaga pengarah Sime Darby, sebelum kumpulan itu mengemukakan cadangan pengambilalihan daripada kerajaan.

Syarikat pemegangan institut jantung itu, IJN Holdings Sdn Bhd, yang diperbadankan pada 2005, ialah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata kerajaan juga meletakkan tiga syarat dalam responsnya iaitu nilai cadangan pengambilalihan, pelan perniagaan kumpulan bagi IJN dan komitmen kumpulan terhadap obligasi sosial seperti yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan pada masa ini.

"Semasa menyuarakan hasrat kami, kerajaan bertanyakan mengenai nasib rakyat."

"Kami akan meneruskan komitmen kepada rakyat, kepada kumpulan berpendapatan rendah pertengahan. Sime akan terus memenuhi obligasi itu," katanya pada taklimat media di sini.

Beliau juga menolak cadangan bahawa obligasi sosial akan menjejaskan perolehannya.

"Sebahagian daripada IJN ialah untuk rakyat, namun ada juga bahagian lain yang membabitkan pesakit yang membayar kos rawatan secara penuh," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa mereka juga akan mengkaji cara terbaik untuk meningkatkan perniagaan bangunan baru IJN yang hampir siap, dan memberi jaminan bahawa pesakit yang diberi subsidi juga akan diberikan tempat di situ.

Sambil menyifatkan keadaan itu sebagai sama-sama menang, Zubir berkata ia akan membolehkan Sime Darby memberi sinergi yang lebih baik kepada IJN dan pusat penjagaan kesihatan sedia ada kumpulan itu, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), dari segi kepakaran dan teknologi.

"Jika perlu, kami akan menghantar pesakit ke SJMC. SJMC turut melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Dan jika berlaku kekurangan dewan bedah dan doktor, kami boleh membuat penggiliran antara kedua-dua hospital," katanya.

Sambil menyatakan bahawa pelan perniagaan itu sedia dalam tempoh kira-kira lima bulan, Zubir berkata Sime Darby juga akan mengekalkan apa sahaja caj IJN pada masa ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nilai 51 peratus kepentingan yang akan dibayar dalam bentuk tunai kepada kerajaan.

Beliau juga berkata ia tidak akan mengambil sepenuhnya tetapi secara usaha sama dan tidak menjangkakan akan berlaku rombakan pengurusan dan kakitangan.

"Mulanya, saya akan bertemu Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus (ketua pegawai eksekutif IJNSB). Dan, kami akan bertemu kakitangan dan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan," katanya.

"Pada masa ini belum ada pelan terperinci. Kami perlu masuk dan buat ketekenunan wajar," katanya.

Ditanya sama ada doktor di IJN boleh menjangkakan gaji yang lebih baik selepas pengambilalihan ini, Zubir berkata: "Ya...namun kami juga tidak mengetahui jumlah yang mereka terima sekarang".

Mengenai sama ada pengambilalihan itu adil kepada para pemegang saham Sime Darby, Zubir berkata mereka akan memperoleh nilainya.

Beliau berkata ia merupakan peluang keemasan untuk kumpulan itu memandangkan pengambilalihan akan meningkatkan bahagian penjagaan kesihatan Sime Darby yang diperluaskan dan akan menarik lebih ramai doktor dan pakar.

"Kami berpendapat penceburan dalam bidang ini merupakan ospyen terbaik. Jika kita bermula dari awal, reputasi dan penjenamaan akan mengambil masa."

"IJN sudahpun memilikinya dan kami akan membawa masuk lebih banyak doktor," katanya.

Zubir berkata gambaran yang lebih luas ialah mengkaji pusat-pusat pakar sedia ada.

"Jika tiada, kami akan menubuhkan sendiri. Ia merupakan sebahagian daripada strategi kami memandangkan SJMC adalah terhad," katanya.

Zubir menjelaskan bahawa Sime Darby sedang mengkaji untuk membangunkan sebuah bandar strategik di Labu, Negeri Sembilan dengan lima bandar berbeza bagi menampung pendidikan, kesihatan, sukan dan teknologi tinggi serta rekreasi dan hiburan.

Oleh itu, replikasi IJN di sana sesuai dengan cadangan bandar raya perubatan, terutama dengan rancangan untuk membuka pusat latihan dan hospital untuk jururawat dan doktor, katanya."Kami tidak akan mengganggu operasi IJN sedia ada, namun membuat replikasi sebagai pusat kecemerlangan dalam bandar raya perubatan yang dicadangkan.

"Kami juga memantau pusat kesihatan lain seperti merawat kanser di situ. Namun jika tiada, kami akan membinanya," katanya.

Beliau berkata mereka juga sedang mengkaji untuk meluaskan penjagaan kesihatan ke Pulau Pinang dan Melaka sebagai tambahan kepada Hospital di Desa Park City dekat sini yang mempunyai 300 katil.

Zubir berkata kumpulan itu juga sedang berbincang dengan beberapa hospital di rantau ini walaupun ia masih di peringkat awal.

"Kami merancang berkembang di peringkat serantau untuk meningkatkan nilai. IJN turut melatih doktor di rantau ini dan kami melihat Indonesia, Thailand dan China sebagai sebahagian daripada strategi penjagaan kesihatan kami," katanya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |