Berita Harian
Oleh Ridzuan Yop, Kamarul Zaidi Kamis, Mohd Feroz Abu Bakar dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my
ANGGOTA Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di Jalan Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab sejak semalam berikutan notis penutupan pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. |
IPOH: Satu demi satu kejutan berlaku ekoran krisis perlembagaan di Perak � terbaru pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditutup hari ini, manakala Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri digantung perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.
Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dipercayai bagi menghalang sidang tergempar DUN yang dipanggil oleh Speaker DUN dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar.
Notis dua perenggan ditampal di sekitar bangunan yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu, turut mengarahkan kakitangan semua agensi di situ membatalkan temu janji mereka hari ini.
Sivakumar pula bertindak menggantung tugas Abdullah Antong kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab secara saksama dan melantik Mohd Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Setiausaha DUN yang baru.
Tindakan itu diambil berikutan kenyataan Abdullah Antong kelmarin bahawa sidang tergempar DUN yang dipanggil Sivakumar tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dari DAP itu, juga memberi amaran bahawa mana-mana pihak termasuk Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun jika cuba menghalang sidang tergempar DUN itu.
Sivakumar berkata, Zulkifli sepatutnya peka dengan Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang menyatakan perbuatan menghalang sidang DUN adalah satu kesalahan.
Amaran itu dibuat berikutan kenyataan Zulkifli petang semalam yang mengingatkan orang ramai supaya tidak berkumpul di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan kerana sidang tergempar DUN itu tidak sah seperti dimaklumkan Abdullah.
"Pihak lawan sekarang menggunakan taktik kotor untuk menghalang DUN daripada bersidang seperti menutup DUN dan menghalang Adun daripada memasuki premis," kata Sivakumar pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Di JAKARTA, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempersoalkan tindakan Sivakumar memanggil sidang tergempar DUN tanpa terlebih dulu menunggu keputusan mahkamah berhubung saman Mohamad Nizar yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.
"Saya tidak faham mengapa beliau sanggup melakukan sesuatu yang menimbulkan kontroversi. Ketika ini, banyak masalah lain yang perlu dihadapi. Beliau perlu tunggu hingga mahkamah membuat keputusan... itu adalah perkara terbaik untuk dilaksanakan," katanya.
Perdana Menteri berkata, Sivakumar juga perlu bersabar dan bukan menggantung Zambry serta enam Ahli Exconya yang pelantikan mereka mendapat perkenan Sultan Azlan Shah.
Mengenai kemungkinan konflik di Perak selesai jika pilihan raya negeri diadakan, beliau berkata ia tidak perlu kerana perkara itu sudah diputuskan oleh Sultan Perak.
0 comments:
Post a Comment