KOTA BHARU 2 Mac – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dukacita dengan perpecahan umat Islam yang semakin buruk ketika ini.
Baginda turut menyifatkan perkembangan yang berlaku sebagai ‘putaran ganas dan membara dalam masyarakat’ yang perlu ditangani secepat mungkin.
Titah baginda, perpecahan yang semakin ketara di kalangan umat Islam cukup mencemaskan dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar tidak mendatangkan masalah yang lebih besar kepada negara.
“Akhir-akhir ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran, ujian dan percubaan, termasuk isu-isu politik, ekonomi, sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja.
“Perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam cukup cemas dan mendukacitakan. Beta merasakan situasi sebegini merupakan detik pahit yang memerlukan penyelesaian segera oleh umat Islam yang berfikiran matang, insaf dan sedar,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika melancarkan Sambutan Bulan Dakwah Peringkat Negeri Kelantan di Balai Islam Lundang di sini malam tadi. Turut berangkat Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.
Pada program yang bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah itu, Ahmad Zahid menyampaikan replika cek bernilai RM160,750 kepada Nik Abdul Aziz sebagai simbol sumbangan JPM melalui Yadim kepada kerajaan negeri ini untuk menjalankan aktiviti sepanjang bulan tersebut.
Tuanku Ismail bertitah, penganjuran bulan dakwah itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengatasi masalah perpecahan di kalangan umat Islam dan mengukuhkan lagi perpaduan.
Baginda berharap agenda perpaduan ditekankan pada bulan ini agar permasalahan tidak terus menjadi ‘putaran ganas dan membara dalam masyarakat’.
“Usaha dan cara berdakwah perlu diubah dengan menggunakan pendekatan terkini, dakwah kontemporari amat penting dalam usaha kita mendekati semua golongan terutama remaja yang semakin menjauhkan diri.
“Bagi menyemarakkan kegiatan dakwah, menjadi harapan beta supaya kesedaran dakwah di kalangan anggota masyarakat Islam disemarakkan sesuai dengan perkembangan semasa umat Islam dan perkembangan global,” titah baginda.
Baginda bertitah, perkara pokok yang perlu diberi penekanan ialah sasaran dakwah kepada dua kelompok utama iaitu di kalangan sesama muslim dan masyarakat di luar Islam bagi mengelak prasangka buruk.
Bagi memastikan usaha dakwah lebih berkesan, baginda mahu umat Islam menguasai ilmu pengetahuan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya ia mudah difahami oleh semua golongan.
“Malah perlu diingatkan umat Islam perlu berada di tengah gelanggang dengan menampilkan kejayaan yang boleh dicontohi oleh orang bukan Islam,” titah baginda.
0 comments:
Post a Comment