Berita Harian
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
Datuk Seri Najib Razak |
Parti perlu tegas atau biarkan kegiatan tak beretika berterusan
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mahu ahli Umno membuat pendirian tegas sama ada mahu memulihkan nama baik parti atau terus membiarkan kegiatan tidak beretika setiap kali berlaku perebutan jawatan, berterusan.
Timbalan Presiden Umno itu menegaskan, jika ahli benar-benar ikhlas mahu melihat parti dibersihkan, mereka perlu memberi kepercayaan kepada Lembaga Disiplin dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
"Jadi kita kena buat pendirian tegas sama ada kita nak jaga nama baik Umno atau nak biarkan kegiatan apa saja dilakukan untuk merebut jawatan dalam Umno. Kita tak boleh berdolak-dalik, kalau kita nak bersihkan Umno.
"Jadi kita kena beri kepercayaan kepada Lembaga Disiplin. Saya percaya Lembaga Disiplin bukanlah satu kerja yang menyeronokkan. Ini satu beban yang mereka pikul dan mereka menghabiskan banyak masa untuk menjalankan tugas sebagai anggota lembaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kalangan tertentu menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijadikan 'kambing hitam' apabila dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Lembaga Disiplin Selasa lalu kerana bersalah dalam politik wang.
"Tidak, tidak. Beliau bukan jadi kambing hitam. Ini bukan persoalannya. Kita sudah pilih mereka dan diberi amanah untuk menjalankan tugas sebagai anggota Lembaga Disiplin," kata Najib.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kredibiliti Lembaga Disiplin kerana ia diwujudkan selepas Umno mengadakan persidangan khas serta meluluskan etika parti.
"Lembaga Disiplin membuat siasatan dan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Kalau kita rasa mereka buat kesalahan tapi tak ada maklumat, mereka tidak boleh mengambil tindakan.
"Tidak wajar untuk mempersoalkan sama ada lembaga itu mempunyai agenda tertentu kerana sekiranya parti mula mempersoalkan kewibawaan dan niat mereka, maka akan timbul banyak implikasi," katanya.
Ditanya mengapa Lembaga Disiplin mengambil tindakan berbeza terhadap ahli yang didapati bersalah, iaitu dilarang bertanding, digantung atau cuma diberi amaran, Najib berkata itu semua adalah pertimbangan lembaga berkenaan.
"Mereka adalah badan bebas. Sebarang keputusan berhubung urusan disiplin kena rujuk kepada lembaga. Kita tak campur tangan dalam urusan Lembaga Disiplin," katanya.
Mengenai peranan Mohd Ali sebagai ketua jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang dalam Parlimen Bukit Gantang, Najib berkata, buat masa ini Naib Presiden Umno itu akan terus meneruskan tugas berkenaan sehingga kepimpinan parti menyemak semula keputusan Lembaga Disiplin.
"Saya pun tak tahu apa keputusan itu... satu satu dulu. Marilah kita lalui pilihan raya kecil ini dan selepas itu kita tengok dari situ dan buat masa ini beliau masih menjalankan tugas di Bukit Gantang," katanya.
Mengenai persepsi terhadap Mohd Ali selepas didapati bersalah mengamalkan politik wang tetapi masih memegang jawatan Ketua Menteri, Najib berkata fakta yang membabitkan pemimpin itu adalah berlainan dan perbuatan politik wang itu dilakukan oleh orang tertentu.
"Sebab itu berdasarkan fakta, lembaga buat keputusan beliau boleh memegang jawatan Ketua Menteri," katanya.
Mengulas desakan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti tidak melayan rayuan mereka yang terbabit, Najib berkata:
"Dalam apa-apa kes lain pun, ada rayuan. Kita tidak boleh menafikan hak untuk orang membuat rayuan dan sama ada rayuan itu berjaya atau tidak, terpulang kepada Lembaga Rayuan untuk membuat keputusan."
0 comments:
Post a Comment