SETAHUN yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seni dan memberi tumpuan pada kerja-kerja belakang tabir serta urusan lain. Tindakan itu nyata mencetuskan tanda tanya ramai apatah lagi ketika itu isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy cukup hangat diperkatakan.
Namun, sehingga hari, penyanyi dan pelakon berusia 30 tahun ini nampaknya semakin 'rancak' pula dengan aktiviti seninya.
Tidak ada pula sebarang tanda yang menunjukkan Waheeda akan bersara dari bidang ini, sedangkan tahun lalu, dia telah menegaskan pendiriannya itu tidak akan berubah sama sekali.
"Memang saya pernah melahirkan hasrat saya untuk berundur. Ketika itu saya cakap saya akan meninggalkan bidang ini selepas album baru saya dikeluarkan.
"Tetapi nampaknya banyak pula perkara yang berlaku. Album saya pula yang sepatutnya sudah siap terpaksa ditunda sehingga hari ini. Memang saya masih lagi menyimpan hasrat untuk tinggalkan bidang seni.
"Tetapi nampaknya lagi banyak pula tawaran yang datang. Insya-Allah, saya tetap akan berundur juga...mungkin selepas album baru saya nanti siap.
"Buat masa ini, album saya itu masih lagi dalam proses pembikinan. Saya juga ingin buat sebuah lagu tentang mangsa Gaza. Banyak benda lagi yang ingin saya telitikan apatah lagi album ini juga akan turut dijayakan oleh beberapa individu lain, termasuklah Ustaz Akhil Hayy sendiri," kata Waheeda.
Terbaru, penyanyi kelahiran Johor Bahru ini turut membintangi sitkom bersiri, Nana Tanjung arahan Prof Madya A.Razak Mohaideen yang telah mula bersiaran di TV9 pada 2 Mac lalu.
Waheeda yang pernah menjayakan siktom Anak Mami tidak lama dulu berkata, karektornya di dalam sitkom Nana Tanjung juga tidak ada banyak perbezaan dengan Anak Mami.
"Saya membawakan watak anak kedua dalam keluarga Pak Piee. Saya tidak ada masalah bawakan watak ini, cuma banyak perkara sebenarnya saya perlu teliti ketika berlakon dalam sitkom ini.
"Antaranya dari segi dialog dan perwatakan. Saya kena berhati-hati juga dari segi percakapan, maklumlah saya sedar tentang penampilan dan imej saya yang perlu bersesuaian dengan gaya bercakap dan tingkah laku.
"Ditambah pula ada juga adegan menari diselitkan. Saya perlu jaga antara syariat dan komersial. Itu lah yang cukup mencabar sebenarnya. Tetapi, berbanding dengan Anak Mami, watak dalam Nana Tanjung lebih senang untuk saya bawakan.
"Dan seronok juga dapat kembali berlakon bersama Saiful Apek," ujarnya yang juga pernah membintangi Nana Tanjung dalam versi filem sebelum ini.
Sitkom ini masih mengekalkan Saiful Apek sebagai Akhbar Khan dan juga menantu kepada Pak Piee dan Mak Bee. Telatah dan kelakuannya sering membuatkan Pak Piee dan Mak Bee pening kepala kerana memikirkan sikapnya yang mengambil mudah akan urusan rumahtangga.
Ditanya tentang projek terbarunya selepas ini, kata Waheeda, selain meneruskan penghasilan album barunya, dia juga sedang meneliti beberapa lagi tawaran lain termasuklah tawaran menjayakan program Cafe Akhil Hayy di Astro Oasis, membawakan watak isteri kepada penceramah itu.
"Belum ada kata putus tentang perkara itu dan sebab itu saya tidak mahu ulas lanjut lagi," kata Waheeda yang tiada masalah bekerja dengan Akhil walaupun kisah panas yang melanda dirinya dan penceramah itu masih terus diperkatakan.
Waheeda juga kemungkinan akan berduet bersama Akhil pada persembahan Maulidurrasul di Dataran Merdeka pada 9 Mac ini.
0 comments:
Post a Comment