Oleh Haika Khazi
Rosmah bersama Riza Shahriz (kiri), Nooryana Najwa dan Norashman Razak di KLIA, malam kelmarin. |
Ibu bapa orang kenamaan bukan satu keistimewaan, kelebihan
SEPANG: "Kami tetap perlu berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan... bukan kerana kami anak orang kenamaan."
Itu pendirian anak Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang tetap merendah diri dan menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun bapa dan ibu mereka Perdana Menteri dan wanita pertama Malaysia.
Bagi Nooryana Najwa, 20, beliau tidak pernah kekok atau melalui perbezaan kehidupan terlalu ketara apabila bergelar anak Perdana Menteri.
Pelajar jurusan politik dan perhubungan antarabangsa di Georgetown University, Washington, Amerika Syarikat itu berkata, status sebagai anak pemimpin nombor satu Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dan kelebihan.
"Kami tetap tinggal di asrama bersama pelajar lain. Daddy (Najib) juga tidak berubah apabila berada di rumah... sikapnya sama seperti bapa lain," katanya.
Nooryana Najwa ditemui ketika bersama adiknya, Norashman Razak, 18, menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini untuk berangkat ke Washington, malam kelmarin.
Norashman Razak, pelajar tahun pertama di universiti sama pula berkata, mereka tetap perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan walaupun bergelar anak Perdana Menteri.
"Saya merahsiakan status diri daripada pengetahuan rakan di universiti. Kami kena berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dan membuatkan daddy bangga dengan kejayaan kami," katanya.
Seorang lagi anak Rosmah, Riza Shahriz, 31, berkata walaupun ibunya wanita pertama Malaysia, kehidupannya tidak berubah dan perlu mencari rezeki seperti biasa sebagai kakitangan HSBC di London.
"Kami sedar beliau (Najib) memikul tanggungjawab besar dan akan cuba sedaya upaya tidak menyusahkannya dengan menjadi anak yang baik supaya beliau boleh memberikan perhatian dan komitmen 150 peratus untuk mengurus negara," katanya.
Bagi Rosmah, anaknya tidak perlu diberikan layanan istimewa kerana beliau mahu mereka menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.
"Tiada layanan istimewa... mereka perlu bawa beg sendiri dan melalui pemeriksaan imigresen seperti penumpang lain ketika berangkat ke luar negara kerana saya mahu mereka menjalani kehidupan seperti rakyat biasa," katanya.
0 comments:
Post a Comment