+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 3, 2009

SPRM terima lebih 15,000 maklumat setahun, lucunya sebahagian besar tiada kaitan dengan rasuah

Mstar Online

PETALING JAYA: Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima tidak kurang daripada 15,000 maklumat daripada orang-ramai setiap tahun tetapi malangnya sebahagian besar daripada jumlah tersebut tiada kaitan dengan rasuah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed pagi Rabu.

Beliau berkata, maklumat yang SPRM terima adalah daripada pelbagai sumber antaranya melalui surat (yang kebanyakkannya surat layang); email dan panggilan telefon.

“Kami mempunyai satu bahagian yang terdiri daripada enam hingga tujuh orang yang menerima dan menyaring segala bentuk maklumat yang disalur, dihantar dan dikirimkan kepada SPRM. Dan dalam setahun kita menerima tidak kurang daripada 15,000 maklumat daripada orang-ramai yang mengadu akan pelbagai hal,” katanya selepas menghadiri temuramah dengan webtv The Star online (www.thestar.com.my) dan The Star Online live chat di Studio V The Star di One Utama, Damansara.

Temuramah itu dikendalikan oleh Pengarang Berita Meja Jenayah The Star, Lourdes Charles.

Bercakap kepada mStar Online dan The Star selepas itu, Abu Kassim berkata, apa yang melucukan ialah sebahagian besar daripada aduan dan maklumat yang diadukan kepada SPRM tidak ada kaitan pun dengan bidang kuasa suruhanjaya itu.

Misalnya kata beliau, ada yang meminta SPRM menyiasat kenapa mereka tidak dinaikkan pangkat malah ada yang mengadu akan perbalahan domestik (rumahtangga) kepada SPRM.

“Dalam satu kes, ada seorang isteri meminta SPRM menahan suami dan anaknya di lapangan terbang kerana perbalahan rumahtangga dan ada juga isu-isu cemburu di pejabat turut dilaporkan kepada SPRM untuk disiasat.

“Kami di SPRM tidak pernah membakul sampahkan mana-mana aduan pun. Cuma kita ada bahagian yang membuat saringan supaya kita mengenalpasti aduan mana yang di bawah bidang kuasa kami dan maklumat mana yang terkeluar daripada bidang kuasa kami,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, sebahagian besar daripada maklumat yang disalurkan kepada SPRM bersifat khabar angin atau diklasifikasikan sebagai surat layang dengan tiada nama pengadu, nombor telefon pemberi maklumat dan juga alamat yang membolehkan pihak SPRM menyiasat aduan tersebut secara mendalam.

Abu Kassim berkata, beliau dan SPRM memahami hakikat bahawa kebanyakkan pemberi maklumat khuatir identiti mereka akan terdedah sebaik sahaja kes yang mereka adukan di bawa ke mahkamah.

Buat masa ini katanya, SPRM hanya boleh memberi jaminan kepada pemberi maklumat bahawa identiti mereka akan dirahsiakan.

“Tetapi sebagai pemberi maklumat kepada SPRM, sukalah saya nyatakan kita masih belum mempunyai satu akta yang memberi perlindungan kepada pemberi maklumat sepertimana di Australia dan beberapa negara lain.

“Oleh yang demikian SPRM kini di dalam proses untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya akta seumpama ini diwujudkan kerana hanya dengan itu akan menyelesaikan masalah berhubung pemberi maklumat kepada SPRM,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |