+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 23, 2008

1 Okt sasaran baru Pakatan, Anwar masih berharap temui PM

Mstar Online

PETALING JAYA: Selepas dua permintaan Pakatan Rakyat ditolak Perdana Menteri minggu lalu, kini perikatan pembangkang itu meletakkan tarikh sasaran yang baru - 1 Oktober ini - cuba merealisasikan pelan menukar kerajaan.

Ketika ditemui wartawan di Kota Baru hari nii, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih berharap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menemui beliau untuk membincangkan perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

"Saya tidak faham mengapa sukar bagi Dollah (Abdullah) untuk bertemu.

"Pertemuan antara kerajaan dan pembangkang adalah urusan biasa. Di mana-mana negara, ia selalu berlaku," kata beliau selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Saya menggesa Abdullah agar mempertimbangkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan menghormati sistem demokrasi.

"Beliau seharusnya tidak takut dengan ahli-ahli parti beliau. Gunakan kedudukan beliau untuk memanggil sidang khas Parlimen," kata beliau lagi.

Pada 16 September lalu, Abdullah telah pun menolak permintaan Anwar agar diadakan pertemuan bagi membincangkan keadaan politik semasa negara dan membincangkan proses peralihan kerajaan secara aman, dan syor diadakan sidang khas Parlimen hari ini, yang dikemukakan dua hari kemudian.

Sasaran 16 September dan 23 September sudah pun berlalu.

Sambil menegaskan masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi, Anwar berkata, beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membentuk kerajaan disebabkan adanya bilangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam jumlah yang memadai untuk melompat parti.

"Saya tidak boleh pergi dan mengetuk pintu di Putrajaya, mengatakan saya mempunyai jumlah wakil yang mencukupi. Ini merupakan proses perundangan dan perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan, justeru ia akan mengambil sedikit masa tetapi akan bermula dengan pertemuan bersama Dollah (Abdullah)," katanya.

Kata Anwar, bagi mengelakkan ketidakstabilan politik, pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan akan dibuat menerusi Parlimen.

"Saya masih berharap untuk menemui Abdullah untuk perundingan.

"Apabila ia berlaku, perkara-perkara lain yang berkaitan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri boleh dibincangkan. Kami mempunyai bilangan (wakil rakyat BN).

"Kerajaan (pimpinan BN) lemah dan kini mengenakan undang-undang kejam ke atas rakyat. Ekonomi berada dalam krisis.

"Saya mahu bertemu dan berkongsi idea bagaimana hendak membincangkan masalah-masalah negara. Beliau tidak akan mengalami kerugian jika bertemu kami," katanya.

Anwar juga menolak saranan supaya pihak ketiga menggerakkan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri.

Katanya, usaha pihak ketiga tidak diperlukan dalam hal tersebut.

Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat akan terus memastikan peralihan kuasa akan berlaku pada tarikh tersebut walaupun sidang Parlimen tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ditolak.

"Kita sasarkan peralihan kuasa secara aman akan berlaku sebelum hari raya nanti.

"Ataupun satu persefahaman ke arah itu (peralihan kuasa) akan dapat dicapai pada 1 Oktober nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Pakatan Rakyat sedang mengatur satu rundingan dengan wakil Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai perlihan kuasa antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

"Perdana Menteri enggan menemui kita, jadi kita akan berusaha untuk berurusan dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang.

"Kami percaya melalui perbincangan kita dapat membentuk kerajaan dalam keadaan aman," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat mempunyai perancangan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi memohon perkenan membentuk kerajaan baru, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan cara terbaik.

"Sebelum kita mengadap Yang di-Pertuan Agung, lebih baik kita selesaikan dengan rakyat biasa dahulu," katanya.

Anwar mengumumkan saran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September pada 1 April lalu.

Esok, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

"Esok mahkamah akan mendengar hujah kedua-dua pihak untuk mementukan permintaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada mahkamah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

"Sukar untuk dikatakan sekarang... kami ada banyak perkara untuk dihujah," katanya.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

Read More...

Pakatan belum utus surat kepada Agong

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Sep 23, 08 2:29pm

Pakatan Rakyat belum mengutus surat kepada Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan senarai nama ahli parlimen BN yang menyokong gabungan pembangkang sebelum membentuk kerajaan baru.

Anggota sekretariat Pakatan Rakyat, Johari Abdul yang diberi tanggungjawab menyerahkan surat itu berkata, beliau sedang menunggu arahan untuk berbuat demikian.

Beliau yang juga ahli parlimen Sungai Petani menambah, apabila ketiga-tiga pemimpin tertinggi PKR, DAP dan PAS memberikan arahan, beliau akan menghantarnya.

Johari berkata, beliau bagaimanapun tidak mengetahui isu kandungan surat itu.

“Saya cuma tukang hantar, orang suruh hantar saya hantar,” kata bekas ketua perhubungan PKR Kedah kepada Malaysiakini hari ini.

Mengulas sama ada surat kepada baginda menjadi sebahagian starategi Pakatan untuk mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan BN, Johari berkata:

“Ada sebab kita letakkan 23 September (sebagai tarikh akhir untuk panggil sidang khas parlimen).

"Kalau (perdana menteri) Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) gagal – hari ini sudah berakhir – kita ada strategi selepas 23 September. Kita ada rancangan.”

Ketua penerangan PKR Tian Chua ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara itu.

Tambahnya, tidak ada pemimpin Pakatan yang bercakap tentang perkara itu dan "persoalan ini tidak wujud."

Mereka diminta mengesahkan kenyataan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Mujahid Yusof Rawa yang dilaporkan menyebut Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat rasmi bagi memohon mengadap Seri Paduka minggu lepas.

Beliau yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata, Pakatan Rakyat bergantung kepada Istana Negara untuk menasihatkan perdana menteri supaya memanggil sidang khas Parlimen untuk berdepan dengan usul tidak percaya yang mahu dibentangkan oleh pembangkang.

Malaysiakini hari ini difahamkan surat kepada baginda telah disediakan.

Read More...

16 Sept bukan tarikh serta-merta tubuh kerajaan baru

Suara Keadilan

Oleh : Hafiz Mohamad

KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER (SK) - Tarikh 16 September yang dijanjikan penubuhan kerajaan baru bukanlah bermaksud kerajaan baru Pakatan Rakyat di bentuk dengan serta merta pada tarikh tersebut.

Ini disebabkan pelbagai protokol dan undang-undang perlu dibuat walaupun bilangan Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu usaha supaya proses peralaihan kuasa secara aman dapat dilakukan dengan teratur tanpa melibatkan insiden tidak di ingini berlaku.

Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan(AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan bahawa walaupun 16 September tidak terjadi kerajaan baru serta-merta tetapi tarikh tersebut tetap merupakan visi dan wawasan Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim dalam mencapai hasrat murni tersebut.

“Pada tarikh tersebut kita mengetahui bahawa Anwar mengumumkan secara rasmi bahawa jumlah minimum ahli Parlimen yang diperlukan telah mencukupi,”ujarnya kepada Suara KeADILan pagi ini.

Shamsul menjelaskan pada tarikh tersebut Ahli Majlis Tertinggi (MPT) KeADILan Johari Abdul telah menemui Perdana Menteri Abdullah Badawi bagi menyerahkan surat bagi membincangkan soal peralihan kuasa kepimpinan negara.

“Malah dalam sidang akhbar baru-baru ini Anwar menjelaskan bahawa beliau ingin mengambil alih kuasa secara aman tanpa sebarang huru-hara dalam negara,”katanya.

Shamsul berpendapat Anwar Ibrahim juga memikirkan tentang keselamatan rakyat justeru itu usaha pertimbangan bagi mengambilkira keselamatan Ahli Parlimen BN yang telah berhijrah tetap ditekankan.

“Disebabkan itu identiti mereka sengaja tidak didedahkan demi menjamin keselamatan mereka,”tambahnya.

Beliau turut melahirkan perasaan kecewa apabila kerajaan pusat pimpinan BN telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) bagi menangkap Exco Selangor Teresa Kok, penulis blog Malaysia Today Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily yang telah dibebaskan baru-baru ini, Tan Hoon Cheng.

“Ini juga adalah salah satu faktor kenapa kita dalam Pakatan Rakyat mahu berunding secara baik dan proses pertukaran yang bakal berlaku akan menjamin keselamatan dan keamanan negara,”ujarnya.

Shamsul turut mempersoalkan tindakan Abdullah dan Timbalannya Najib Abdul Razak yang menukar portfolio kedua masing-masing sebelum ini iaitu jawatan Menteri Kewangan yang disandang oleh Abdullah serta Najib sebagai Menteri Pertahanan.

“Kita tidak menolak kemungkinan tindakan menukar jawatan ini adalah sebagai persiapan Abdullah bagi menghadapi tindakan pertukaran kuasa yang mengancam kedudukan beliau dan timbalannya selaku pemimpin tertinggi negara,”kata Shamsul.

Bagi Shamsul AMK tetap mendesak supaya Perdana Menteri tersebut supaya menyahut seruan Anwar selaku Ketua Pembangkang supaya dapat diadakan pertemuan empat mata antara mereka.

Menurut Shamsul lagi beliau berharap agar Abdullah dapat membuat Sidang Rakyat tergempar di Parlimen seperti mana yang telah diminta oleh Anwar baru-baru ini.

“Dalam mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi tidak ada kejanggalan bagi Perdana Menteri berjumpa dengan Ketua Pembangkang untuk berbincang mengenai soal peralihan kuasa melainkan Abdullah benar-benar takut kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan tergugat,”tambahnya lagi.

Dalam pada itu Shamsul memberi saranan kepada Abdullah supaya jika beliau benar-benar memikirkan kepentingan rakyat beliau mesti tidak mengelak daripada berjumpa dengan Anwar.

“Keadaan ekonomi negara memang sudah tidak stabil lagi ditambah lagi dengan pergolakan politik negara yang kacau-bilau,”ujarnya lagi.

Tambah Shamsul lagi transformasi kuasa mesti dilakukan dengan baik seperti mana tradisi negara mengalami proses kemerdekaan dengan baik.

“Cuma ini saja caranya dan saya berharap tidak akan ada pertumpahan darah,”tambahnya lagi.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad juga menegaskan bahawa tarikh 16 September tetap menjadi agenda kemuncak bagi komponen Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru.

Menurut Dr.Zulkifli agenda menubuhkan kerajaan baru telah bermula sejak pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac lalu selepas gabungan pembangkang berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga BN disamping merampas 5 negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

“Sejak pakatan pembangkang memperoleh pencapaian cemerlang kami terus merangka menggantikan nama gagasan pembangkang sebelum ini iaitu Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat,”kata Dr.Zulkifli.

Pada tarikh itu, menurut Dr Zulkifli, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat telah menetapkan bahawa 16 September iaitu tarikh sejarah pengisytiharan Malaysia sebagai semangat baru ke arah kerajaan baru.

“Kita sedia maklum bahawa pada tarikh yang telah berlalu itu tidak ada persidangan parlimen kerana parlimen masih berehat sempena bulan Ramadhan,”tambahnya.

Ujar Dr.Zulkifli disebabkan itu Anwar Ibrahim menuntut Abdullah mengadakan Sidang Rakyat tergempar bagi membincangkan usul tidak percaya kepada kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah selaras dengan undang-undang dan mengikut Perlembagaan Negara.Kalau hendak menunggu sehingga persidangan seterusnya iaitu 13 Oktober memang tidak munasabah,”kata Dr.Zulkifli.

Dr.Zulkifli menambah bahawa negara ini sudah tidak ada pelabur asing untuk melabur di sini setelah meneliti masalah yang berlaku dalam negara ini.

“Ekonomi Malaysia sudah semakin parah dan pelabur asing akan kembali melabur untuk menaikkan ekonomi Malaysia dengan syarat Pakatan Rakyat mesti mengambilalih pentadbiran negara segera,”ujarnya lagi.

Tambah Dr.Zulkifli lagi rakyat secara ketara mahukan perubahan dalam kerajaan apabila pengundi Permatang Pauh menolak calon BN Arif Shah ketika pilihanraya kecil pada 26 Ogos lalu dengan memberikan kemenangan yang besar kepada Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Anwar sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan,Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew menjelaskan bahawa tarikh 16 September baru-baru ini bukan untuk sewenang-wenangnya boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan secara mendadak.

Adun Pandamaran itu menjelaskan bahawa proses teknikal masih belum selesai.

“Walaupun kita (Pakatan Rakyat) sudah mencukupi bilangan ahli Parlimen dan layak menubuhkan kerajaan, kita kena ikut prosuder yang sepatutnya,”ujar Ronnie.

Menurut Ronnie walaupu Pakatan Rakyat sudah memohon mengadakan Sidang Rakyat tergempar di Parlimen sehingga kini Abdullah Badawi masih belum memberikan jawapan mengenai perkara itu.

“Sebab itu kita memberi peluang sehingga 23 September dan jika tidak ada apa-apa jawapan selepas itu kita bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya,”tambah Ronnie lagi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub menjelaskan walaupun tidak ada perubahan serta-merta pada tarikh 16 September tetapi melalui tarikh tersebut adalah ke arah kerajaan baru.”Tarikh ini merupakan “Seruan Perjuangan” iaitu gegakan sempena mengingati detik bersejarah pengistiharan gagasan Malaysia pada 16 September 1963″kata Salahuddin.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa tidak semestinya pertukaran kerajaan berlaku secara mengejut pada tarikh tersebut namun perubahan akan tetap berlaku selepas itu kelak.

Menurut Salahudin untuk mencapai sasaran ke tarikh tersebut sebenarnya bukannya mudah kerana ianya melibatkan ramai Ahli Parlimen BN yang sendiri mahu berpindah parti.

“Menjelang tarikh itu juga macam-macam perkara terjadi seperti perbicaraan kes liwat ke atas Anwar, Ahli Parlimen di bawa lari ke Taiwan dan penangkapan Exco Selangor Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh,”ujarnya lagi.

Salahudin turut mengaku bahawa rakyat Malaysia sendiri yang menuntut perubahan berdasarkan keputusan pilihanraya umum dan pilihanraya Permatang Pauh yang lepas.

Read More...

Tambatan ringgit bukan pilihan semasa - Zeti

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Ekonomi negara akan berada dalam keadaan 'sangat terjejas' sekiranya cadangan tambatan ringgit dilaksanakan semula, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

''Apa yang negara perlukan sekarang ialah kestabilan dan bukan sesuatu yang tega,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zeti berkata demikian sebagai mengulas saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir semalam yang mencadangkan tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan kesan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negara.

Zeti berkata, kadar pertukaran mata wang yang tetap tidak dapat mengelakkan berlakunya keadaan tidak menentu, cuma ia dipindahkan kepada harga dalam negeri seperti harga aset dan inflasi.

''Sehubungan itu, tambatan semula ringgit tidak menjadi pilihan kerana ia (pelaksanaan semula) akan menjejaskan ekonomi negara,'' jelas beliau.

Berikutan itu, kata Zeti, ringgit akan terus beroperasi di bawah rejim apungan terurus dengan nilainya ditentukan oleh pasaran.

Gabenor BNM itu berkata, rejim kadar pertukaran mata wang berasaskan apungan memberikan fleksibiliti kepada negara untuk membuat penyelarasan terhadap perkembangan ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Malah, rejim itu juga memberikan kestabilan kadar pertukaran berbanding dengan rakan dagangan utama negara.

Sebaliknya, Zeti berkata, mata wang tempatan itu akan terus diapung dengan membenarkan nilainya ditentukan oleh pasaran.

Tambah beliau, langkah itu memberi fleksibiliti kepada Malaysia untuk melakukan penyelarasan terhadap ekonomi antarabangsa dan pembangunan kewangan.

Tambah Zeti, operasi BNM akan terus memastikan keadaan pasaran yang teratur, terutamanya dalam menangani gangguan yang berlebihan dalam pasaran.

Menurut beliau, mata wang tempatan itu telah menambah nilai secara beransur-ansur sejak ringgit tidak ditetapkan pada tahun 2005, mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi negara.

''Aliran ini dijangka berterusan pada masa hadapan,'' ujar beliau.

Ringgit ditambat pada RM3.80 kepada dolar AS pada September 1998 bagi mengawalnya daripada tindakan spekulator mata wang semasa krisis kewangan Asia 1997/98, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Sebelum krisis, yang bermula dengan serangan ke atas baht Thai pada Julai 1997, ringgit diniagakan pada paras yang tinggi iaitu RM2.42, namun turun mendadak berbanding dolar susulan spekulasi berlebihan.

Pada satu ketika pada 1998, ia susut kepada RM5.20, menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit.

Read More...

Penyanyi 'Negarakuku' disiasat polis

Malaysiakini

Sep 23, 08 12:03pm

Penyanyi lagu rap kontroversi 'Negarakuku', yang popular dengan nama Namewee, disiasat polis berhubung lagu itu yang mendapat perhatian nasional tahun lalu apabila ia disiarkan di Internet.

Wee Meng Chee hadir selama tiga jam di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Kuala Lumpur mulai 10.30 pagi.

Beliau yang tiba dari rumahnya di Muar, Johor bersama ibu bapanya, antara lain diminta menterjemah lagu rap dalam bahasa Cina itu kepada bahasa Malaysia.

negarakuku national anthem film strip 170707 oi veySewaktu kontroversi itu memuncak Ogos tahun lalu, lagu pemuda 25 tahun itu di laman web Youtube mendapat sambutan hangat anak muda dan pengunjung Internet.

Dianggarkan lebih satu juta orang telah menyaksikan video tersebut di Internet sejak tercetus kontroversi tersebut.

Wee, yang masih belajar di Taiwan waktu itu, turut mendapat kecaman ahli politik kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa membangkitkan isu-isu sensitif tentang agama dan kaum.

Lagu dalam bahasa Cina itu mengkritik polis, amalan rasuah, kelemahan birokrasi, dasar pro-Bumiputera, dan juga mengulas gaya azan dilaungkan yang berselang dengan lagu kebangsaan.

Bercakap kepada pemberita selepas siasatan pada kira-kira 1.30 petang, beliau berkata polis telah menyoal motifnya membuat klip video lagu tersebut.

Beliau mendakwa, polis juga memberitahunya bahawa mereka ingin menutup fail mengenai perkara tersebut.

Sambil menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik, Wee yang telah memohon maaf terhadap penyiaran video tersebut, berkata beliau tidak fikir tindakan lanjut akan diambil terhadapnya.

Bagaimanapun polis pula berkata, Wee sedang disiasat mengikut Akta Hasutan dan perkara itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwaraya.

Laporan penuh di sini

Read More...

Takut punca PM enggan temui pemimpin Pakatan Rakyat - Anwar

Harakahdaily

Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir
Tue | Sep 23, 08 | 6:33:57 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Sept (Hrkh) - Dato' Seri Anwar Ibrahim memberitahu beberapa langkah lain terpaksa diambil berikutan keengganan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bertemu dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang itu melahirkan rasa dukacita terhadap keengganan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara penting berkaitan politik negara.

"Saya tidak mengerti kenapa pertemuan yang begitu penting untuk rakyat ditolak. Kenapa Perdana Menteri sukar ditemui untuk berbincang dengan pembangkang.Image

"Janganlah kerana rasa takut kepada penyokong sendiri maka pertemuan itu ditolak, gunakan kedudukan dan kuasa kita sebagai seorang Perdana Menteri jangan sekali-kali dipengaruhi pihak lain," ujarnya pada persidangan media di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Abdul Hadi Awang di JKR 10.

Perdana Menteri baru-baru ini menolak untuk berjumpa dengan pemimpin Pakatan Rakyat selepas dihantar surat bagi diadakan pertemuan tersebut.

Anwar yang juga anggota parlimen Permatang Pauh berkata, selain menolak pertemuan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, cadangan persidangan khas parlimen pada 13 Oktober depan juga tiada sebarang reaksi daripada Perdana Menteri.

"Sudahlah pertemuan ditolak, persidangan khas parlimen juga tak nak buat, mungkin takut ada undi tidak percaya, atau undi percaya," ujarnya.

Beliau juga berkata, Pakatan Rakyat membantah keras tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar terus menahan penulis blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA kerana hanya mendedahkan kepincangan pemimpin kerajaan.

ImageKatanya,�kerajaan sepatutnya membebaskan Raja Petra sebagaimana pembebasan yang dilakukan ke atas anggota Parlimen Seputih, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang juga turut ditahan di bawah ISA.

"Tindakan itu sebagai satu ugutan kerajaan untuk menakutkan rakyat. ISA sebenarnya akan memburukkan lagi imej pentadbiran pemimpin negara di bawah Barisan Nasional," katanya.

Ditanya pertemuan tertutup dengan dua pemimpin tertinggi PAS, beliau berkata, ia banyak menyentuh mengenai perkembangan semasa dan mencari titik pertemuan untuk meneruskan langkah-langkah lebih baik dalam parti.

Beliau juga tidak menafikan perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru. - mj _

Read More...

Enam jongkong emas RM800,000 dirompak


Wan Abdullah (kiri) mendengar cerita pengusaha emas (tiga dari kanan) mengenai rompakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam.


BAYAN LEPAS - Tergamam dengan pistol di leher, seorang pengusaha kedai emas dan pembekal barangan itu terpaksa membiarkan enam jongkong emas berharga RM800,000 dikebas tiga perompak semalam.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku di tempat letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini sejurus selepas jongkong-jongkong emas seberat 5.9 kilogram itu baru tiba dari Dubai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said berkata, rompakan tersebut membabitkan tiga lelaki dipercayai warga Vietnam bersenjatakan pistol.

Menurut beliau, sebelum kejadian, pemilik kedai emas berusia dalam lingkungan 40-an itu datang ke lapangan terbang tersebut untuk menjemput pembekal emasnya yang baru sampai dari Dubai.

"Ketika kedua-dua mangsa mahu naik kereta pacuan empat roda milik pengusaha kedai emas tersebut, mereka didatangi tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol.

"Dua lelaki mengacu pistol kepada kedua-dua mangsa sambil mengarahkan kedua- dua menundukkan kepala sambil mencangkung di tepi kenderaan,'' kata beliau.

Wan Abdullahj memberitahu, seorang lagi perompak terus mengambil dua buah beg berisi jongkong emas yang telah dimasukkan ke belakang kenderaan.

Jelasnya, rompakan itu berlaku dalam beberapa minit dan perompak dipercayai melarikan diri dengan kereta yang diletakkan tidak jauh dari kenderaan mangsa.

Read More...

Abdullah Harap Harga Minyak Akan Turun

Bernama


BIAR KABINET PUTUSKAN... Abdullah bersama Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan pada sidang berita selepas Mesyuarat Majlis Exco Ekonomi Kedua di Putrajaya, Selasa. Abdullah berkata pengurangan harga bahan api perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Kabinet esok. "Jika esok kita tengok ada, adalah," katanya. <>Foto: Mahayudin Mohamad

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah menjadi harapannya harga petrol dan diesel dapat dikurangkan daripada harga semasa berikutan harga minyak mentah dunia yang kini berada pada paras kira-kira AS$100 setong.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Kabinet esok.

"Perkara yang berkaitan dengan minyak, subsidi dan seumpamanya adalah perkara-perkara yang diputuskan di dalam Kabinet.

"Dan lebih baiklah kita tunggu dulu daripada memberi sebarang bayangan berkaitan dengan perkara itu.

"Jika esok kita tengok ada, adalah, harap-harap begitulah (harga minyak turun)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Exco Ekonomi Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya sama ada pengumuman esok, berhubung harga minyak, merupakan hadiah hari raya kepada rakyat menjelang sambutan perayaan tersebut tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata keputusan sama ada kerajaan akan menurun atau mengekalkan harga runcit petrol dan diesel bakal diketahui pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Harga seliter petrol RON 97 sekarang RM2.55 seliter manakala harga diesel pula ialah RM2.50 seliter.

Pada Jun lalu, kerajaan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua bahawa telah ada hubungan awal antara orang tengah mereka dan orang tengah Abdullah berhubung peralihan kuasa, Abdullah berkata ia merupakan laporan paling gila yang beliau pernah dengar.

Abdullah turut menegur pihak media yang membuat laporan berhubung perkara itu.

"Ia adalah laporan paling gila yang pernah saya dengar. Apa yang perlu dilaporkan, kamu (media) perlu fikir dahulu sebelum membuat laporan sedemikian," katanya.

Beliau berkata tidak ada sebarang mesyuarat diadakan dengan wakil daripada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam laporan Agence France-Presse (AFP), Tian Chua berkata hubungan itu telah dibuat pada hujung minggu dan lebih daripada satu perjumpaan telah diadakan.

-- BERNAMA

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |