Oleh Farah Marshita Abdul Patah
Peniaga dakwa perniagaan merosot berikutan pembeli berjimat cermat
KUALA LUMPUR: Harga beras terutama beras hancur mengalami peningkatan 10 hingga 20 peratus menyebabkan ramai pengguna serta peniaga merungut kerana terpaksa membayar sehingga RM30 untuk 10 kilogram beras.
Kenaikan harga beras turut menyebabkan kekurangan bekalan beras Super Tempatan 15 peratus yang harganya dikawal.
Tinjauan Berita Harian mendapati, hanya segelintir pengusaha kedai runcit masih mengekalkan harga lama beras hancur iaitu sekitar RM1.40 sekilogram.
Seorang pekedai runcit, Selvarani, berkata pihaknya kini terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga beras hancur oleh pemborong sebanyak RM6 daripada harga lama, RM34 bagi 10 kilogram beras.
“Disebabkan simpanan beras yang banyak, kami masih menjualnya pada harga lama bagi membolehkan pelanggan yang sering berkunjung membeli dengan harga lama dan bersiap sedia dengan harga baru."Kami akan mula menjual dengan harga baru apabila bekalan stok beras lama habis dijual," katanya.
Peniaga, Rofi Hassan, berkata peningkatan harga itu turut menyebabkan barang berasaskan beras hancur seperti tepung beras mengalami kenaikan harga dan menjejaskan perniagaannya.
"Jika sebelum ini orang ramai gemar membeli goreng pisang, namun dengan kenaikan harga beras, duit yang dulunya digunakan untuk membeli bahan makanan sampingan sekarang terpaksa disimpan untuk membeli beras.
“Akibatnya perniagaan kami terjejas dan pendapatan mula merosot kerana pengguna terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka," katanya.
Seorang lagi peniaga kedai makan, Amijah Shahari, berkata walaupun harga beras mula meningkat sejak tiga minggu lalu pihaknya masih tidak menaikkan harga jualan nasi di gerainya.
"Bagaimanapun, kami terpaksa mengurangkan kuantiti nasi yang dijual bagi mengimbangi kenaikan harga untuk mengelakkan aduan pelanggan terhadap kenaikan harga jualan beras.
“Kami mengambil inisiatif mengurangkan kuantiti beras dalam jualan berikutan harga sedia ada masih dianggap mahal.
“Dulu harga beras hanya RM18 tapi kini kami terpaksa membayar sehingga RM27 bagi 10 kilogram beras untuk jualan setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan harga beras hancur membebankan pengguna yang berpendapatan rendah kerana ia adalah keperluan utama hidup mereka.
Sementara itu, Penasihat Biro Ekonomi Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Semat Mahmud, berkata kenaikan harga bahan berkenaan di pasaran tempatan sejak beberapa minggu lalu umpama pesta di kalangan syarikat pembekal beras.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Padiberas Nasional Berhad (Bernas), melaksana langkah lebih tegas menangani masalah kenaikan harga beras.
“Kenaikan mendadak harga bijirin yang menjadi makanan ruji rakyat itu menyebabkan orang ramai kini resah dan mula mempersoalkan keberkesanan usaha serta langkah pihak terbabit dalam mengekang masalah berkenaan.
“Saya yakin menteri yang dilantik menerajui KPDNHEP adalah seseorang yang berkaliber dan berpengalaman, sekali gus mampu mengatasi masalah dihadapi dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan menyorok bekalan berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment