+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 17, 2008

Pelacuran politik terbesar babitkan Shabery Chik

Harakahdaily

Mat Zain Mat Isa
Fri | May 16, 08 | 10:52:41 am MYT

Tergamak sungguh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melabelkan golongan yang terlibat dengan usaha mempengaruhi wakil rakyat supaya melompat parti sebagai pelacur yang kehausan pelanggan.

Barangkali beliau tidak terfikir bahawa dengan sejarah politiknya sendiri yang pernah dua kali melompat parti, orang lain juga boleh mengaitkan Shabery sendiri dengan label diberikannya itu.

Akhbar Berita Harian, Khamis (15 Mei) memetik Ahli Parlimen Kemaman itu sebagai berkata, perbuatan pihak yang menawarkan ganjaran wang dan jawatan untuk mempengaruhi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti membuktikan sikap tidak bermoral serta corak kepimpinan mereka yang sangat rendah.

"Ada pemimpin parti tertentu saban hari merayu dan meramalkan kononnya ada (Ahli Parlimen BN) berminat datang kepada mereka dengan cara tidak bermoral, tetapi tindakan mereka itulah yang sebenarnya kemuncak kepada corak kepimpinan paling tidak bermoral," katanya.

Tidak syak lagi, pemimpin parti tertentu dimaksudkan itu bukan dari kalangan pemimpin BN. Apatah lagi di muka surat sama akhbar berkenaan, berita utama disiarkan adalah mengenai usaha yang didakwa sedang dilakukan parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN.

Berita Harian memetik dakwaan beberapa Ahli Parlimen Sabah bahawa pembangkang sanggup menawarkan ganjaran besar kepada mana-mana Ahli Parlimen BN yang snaggup berpaling tadah. Laporan sama secara terbuka mengaitkan usaha itu dengan impian Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat bagi menggantikan BN sebelum 16 September.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, malah berkata beliau telah menerima beberapa panggilan dan dikunjungi duta kecil pembangkang yang memujuknya menyertai pembangkang. Beliau mendakwa dijanjikan sejumlah wang dan kedudukan dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang akan dibentuk.

"Kalau saya ambil, saya akan senang dua tiga generasi," katanya, sebagaimana dipetik Berita Harian, Khamis lalu.

lompat parti

Pendedahan Abdul Rahman itu menambahkan lagi kehangatan perbahasan mengenai isu lompat parti sebelum ini. Isu itu sebenarnya mula didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 19 Mac lalu. Dalam kenyataannya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet barunya, Abdullah berkata beliau sedar dan mendengar mengenai desas-desus ada wakil rakyat BN akan menyertai pembangkang.

Beliau bagaimana pun menegaskan tidak ada sebab untuk kerajaan pimpinannya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat. Abdullah dipercayai merujuk kepada kenyataan Anwar sebagaimana disiarkan laman berita internet bahawa beberapa Ahli Parlimen BN terutama di Sabah dan Sarawak sedia menimbang kemungkinan menyertai pembangkang.

Keyakinan Abdullah itu bagaimana pun gagal menghilangkan kebimbangan para pemimpin BN lain. Mereka sendiri seolah-olah turut meragui kesetiaan sebilangan rakan mereka terhadap parti. Hakikat itu terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar undang-undang antilompat parti digubal. Katanya, pembentukan undang-undang itu penting bagi mengelak seseorang wakil rakyat dengan mudah berpaling tadah selepas menang pilihan raya.

Cadangan itu bagaimana pun mendapat reaksi berbelah-bahagi, termasuk di kalangan para pemimpin BN sendiri. Antara yang menentang undang-undang itu ialah pemimpin BN Sabah dan Sarawak.

"Anda tidak boleh buat perkara bertentangan dengan kemahuan manusia normal. Tidak kira berapa banyak pertikaian mengenainya (lompat parti) dan berapa banyak undang-undang (mengenainya), calon yang terpilih tidak boleh sama sekali dihalang untuk meninggalkan partinya," kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Jemut Masing.

negara polis

Sikap terbuka tentang perbuatan lompat parti itu dikongsi lain-lain pemimpin di kedua-dua negeri itu. Seperti Masing, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman juga tidak bersetuju dengan undang-undang antilompat parti. Baginya mewujudkan undang-undang itu boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam negara polis apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.

"Apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal. Adakah kita perlu akur dan pertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat?" soalnya, ketika berucap di Dewan Rakyat, 7 Mei.

Nada serupa diulang sebut seorang lagi wakil BN Sabah beberapa hari kemudian. Pada 12 Mei, juga dalam persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghafur Salleh pula membayangkan kemungkinan mereka mengalihkan sokongan kepada parti pembangkang.

"Kita (BN Sabah) tidak akan lompat parti, kita tidak akan masuk pembangkang, tapi kalau kita buat parti baru sendiri di Sabah, ini berkemungkinan. Kita boleh sertai sana (pembangkang), kita boleh sertai sini. Jadi anggaplah ini serius," katanya.

Barangkali mengambilkira sikap terbuka para pemimpin Sabah dan Sarawak tadi mengenai lompat parti ini menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta BN mengambil serius kemungkinan pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan dalam masa terdekat. Dr Mahathir percaya dorongan untuk melompat parti timbul apabila tidak wujud lagi kesetiaan kepada parti atau ekoran wujudnya sesetengah pihak yang merasakan mereka tidak mendapat apa-apa daripada BN, kini mempunyai peluang mendapat jawatan penting dalam kerajaan baru.

Kenyataan beberapa pemimpin BN itu menjurus kita kepada beberapa kesimpulan. Pertama, perlu diakui bahawa soal melompat parti diterima sebilangan para pemimpin BN sendiri, terutama dari kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak. Tidak semua mereka menganggap perbuatan melompat parti sebagai tidak bermoral. Kedua, kekecewaan dan rasa tidak puas hati yang diluahkan secara terbuka beberapa pemimpin BN Sabah terhadap layanan Kerajaan Pusat mutakhir ini menjelaskan bahawa kemungkinan terjadinya perbuatan lompat parti bukan semata-mata atas dorongan tawaran lumayan parti lawan. Kekecewaan dan ketidaksetiaan mereka kepada parti yang kini mereka sertai juga boleh menjadi penyebab utama.

Ketiga, andai kata lompat parti berlaku, ia tidak boleh disalahkan kepada sebelah pihak sahaja. Kalau pun ada pemimpin pembangkang memujuk pemimpin BN, ia tidak akan berkesan sekiranya wakil BN itu tidak melayannya. Kata orang-orang tua, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Ertinya, jika para pemimpin BN, termasuk Shabery menganggap perbuatan mendorong wakil BN melompat kepada pembangkang sebagai tidak bermoral, adakah persoalan moral itu hanya terbatas kepada pihak pembangkang sahaja?

"Maaf saya katakan, jika ada orang sanggup melanggani pelacur, orang itulah sendiri pelacur paling besar. Itulah sifat dan taraf moral yang ada pada pemimpin yang saban hari merayu dan mencari pelanggan untuk mendapatkan kepuasan kehidupan politik mereka," itu kata Shabery.

Soalnya, dalam perkembangan politik yang diwarnai sikap terbuka sebilangan pemimpin BN sendiri terhadap perbuatan melompat parti, siapakah sebenarnya pelacur dan siapa pula yang melanggani pelacur itu? Apatah lagi jika diteliti sejarah, tindakan melompat parti paling besar dan bersejarah ialah apabila para pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (S46) secara en bloc menyertai Umno. Bukan hanya beberapa pemimpin yang terlibat, malah keseluruhan organisasinya. Bermula Presiden dan Ahli Majlis Kepimpinan Tertingginya, sehinggalah kepada ahli-ahlinya di peringkat akar umbi. Mereka bersepakat membubarkan S46 dan serentak melompat kepada BN.

Kita tidak tahu apa tawaran dibuat pemimpin tertinggi BN kepada S46 ketika itu. Bagaimana pun, mengambil kira ganjaran diterima sebilangan bekas pemimpin utama parti itu, termasuk dilantik menganggotai Kabinet kemudiannya, rakyat boleh menyimpulkan bahawa kemasukan mereka ke dalam BN bukan sekadar suka-suka.

Rakyat ada dorongan sangat kuat untuk percaya bahawa sudah ada tawar-menawar sangat besar antara para pemimpin tertinggi S46 dan BN sebelum itu. Perlu diingat, di sepanjang episod pada pertengahan 90-an itu, Shabery sendiri adalah antara pemimpin kanan S46 yang sangat ghairah menerima tawaran melompat menyertai Umno.

Apakah beliau mahu mengatakan tidak terlibat dengan episod pelacuran politik itu? - tajdid

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |