+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 17, 2008

Puas hati wujud pakatan sulit - Suruhanjaya Siasatan Pita Lingam

Berita Harian


LAPORAN LENGKAP: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan buku laporan suruhanjaya mengenai rakaman klip video di Putrajaya, semalam.

Suruhanjaya yakin pelantikan Hakim Besar Malaya pada Ogos 2001 diatur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Klip Video V K Lingam berpuas hati wujud pakatan sulit oleh peguam itu untuk membabitkan diri secara aktif dalam pelantikan dan kenaikan pangkat hakim, terutama Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Suruhanjaya itu yang dipengerusikan Tan Sri Haidar Mohamed Noor yakin Lingam dibantu sahabat karibnya, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam pakatan itu, terutama bagi pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya dan seterusnya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.


Menurut suruhanjaya itu, keadaan berkenaan mengakibatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terkait dalam proses berkenaan.

"Perkara ini dapat dilihat terutama jika mengambil kira keadaan di mana Allahyarham Tan Sri Malek Ahmad tidak dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.

(Dr Mahathir tidak menerima nasihat Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah supaya melantik Allahyarham Tan Sri Malek Ahmad menjadi Hakim Besar Malaya pada Ogos 2001. Sebaliknya, jawatan itu diberikan kepada Ahmad Fairuz yang ketika itu lebih junior berbanding Malek). "Sayangnya, matlamat utama mereka tidak dapat dipastikan sepenuhnya memandangkan skop terma rujukan suruhanjaya ini adalah agak terhad.

"Bagaimanapun ia boleh dikaitkan dengan penyusunan kes dan penghakiman, seperti yang dihujahkan peguam pemerhati ketika inkuiri, termasuk wakil Majlis Peguam. Adalah munasabah untuk mengandaikan tujuan pakatan itu semata-mata untuk kepentingan peribadi," katanya.

Mengikut laporan itu, titik permulaan bagi siasatan suruhanjaya adalah untuk menentukan tema perbualan dalam klip video yang seterusnya diteliti dengan mengambil kira peranan setiap watak dalam rakaman berkenaan.

Sehubungan itu, suruhanjaya juga berpuas hati bahawa isi kandungan serta butiran perbualan yang dirakamkan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne, adalah benar. Rakaman itu dibuat di rumah Lingam pada 20 Disember 2001.

Suruhanjaya berpuas hati bahawa adanya perbuatan salah laku kerana tindakan 'watak utama' dalam klip video sepanjang 17 minit itu akan mengakibatkan pandangan serong rakyat terhadap integriti dan kebebasan badan kehakiman di negara ini, memandangkan perkara itu menjadi isu induk yang dibualkan.

Rumusan suruhanjaya itu sekali gus menyangkal dakwaan Lingam bahawa rakaman berkenaan sekadar menunjukkan beliau bercakap besar, mabuk atau merapu dalam perbualan telefon.

"Kami berpeluang menonton dan mendengar klip video itu tidak kurang dari lima kali sepanjang siasatan berlangsung, dan tiada langsung tanda menunjukkan Lingam mabuk sama ada dari perlakuan atau percakapannya.

"Malah beliau mampu ingat pelbagai fakta dan kejadian dengan menyeluruh dan terperinci serta nampak rasional (ketika bercakap) selain berdialog secara lancar.

"Selain itu, dua saksi iaitu ahli perniagaan Loh Mui Fah dan anaknya, Gwo Burne, yang hadir sepanjang rakaman memberi keterangan bahawa Lingam tidak mabuk.

"Tidak masuk akal untuk Lingam mabuk sedangkan mereka ke rumahnya khusus untuk makan malam selain membincangkan beberapa hal perundangan," katanya.

Selain itu, Haidar berkata isu mabuk bukanlah sesuatu yang Lingam ingat sebagai satu fakta sebaliknya ditimbulkan sebagai satu andaian berdasarkan gambar botol dalam dua keping gambar yang juga diambil pada malam sama.

"Lingam juga mengakui dirinya sekadar minum pada majlis tertentu, dan bukannya seorang yang sering minum arak," kata laporan itu.

Mengikut suruhanjaya, keterangan Lingam bahawa beliau sekadar menipu atau bercakap besar turut tidak diterima kerana kebanyakan pernyataan yang didakwa peguam itu sepanjang perbualan akhirnya terbukti benar.

Malah, isi kandungan perbualan itu tidak pernah dipertikaikan kecuali beberapa perkara remeh, itupun disebabkan kata-kata yang sebenar tidak dapat didengar dengan jelas.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |