+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 29, 2008

Ezam rela diperalat serang Anwar, dua lagi sertai Umno

Mstar Online

29-05-2008 09:44:43 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor hari ini menegaskan, beliau kembali ke pangkuan Umno semalam demi prinsip, tetapi rela diperalatkan untuk melawan bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembangkang.

Lima jam selepas beliau mendedahkan rahsia menyertai Umno, dua lagi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan permohonan untuk menyertai Umno kerana mendakwa sudah hilang kepercayaan ke atas Anwar

Bekas Ketua Bahagian PKR Bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari, 40, dan bekas Exco Pemuda Keadilan Pusat, Khairul Anuar Ramli, 27, menyerahkan borang permohonan mereka kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan di Parlimen petang ini.

Terdahulu, Ezam ketika menjawab soalan sama ada beliau bersedia diperalatkan Umno untuk menangkis pengaruh Anwar, penasihat PKR berkata:

"Saya orang politik. Dalam politik kita sentiasa dipergunakan. Saya rela untuk dipergunakan Umno demi kebaikan,"

Sehari selepas menghantar borang menganggotai semula Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti yang telah memecatnya pada 1998, Ezam pada sidang akhbar di sini pagi ini, secara terbuka mengkritik Anwar yang dianggapnya seorang pemimpin yang terlalu obses dengan kuasa.

Walaupun pada awal sidang akhbar Ezam menggunakan pendekatan mengkritik bekas mentornya itu secara beralas, tetapi selepas bertubi-tubi soalan diajukan mengenai pendiriannya tentang Anwar, beliau tidak lagi berselindung.

Anwar, katanya, berdosa besar kerana setelah dibebaskan dari penjara, telah mengubah prinsip perjuangan PKR daripada sebuah parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu menjadi sebuah parti yang telah membuang terus perjuangan Melayunya itu.

Beliau juga dengan sinis mengkritik Anwar sebagai pemimpin yang mengamalkan politik menghalalkan cara sehingga sanggup memperalatkan Dasar Ekonomi Baru dalam kempen pilihan raya umum ke-12 hanya untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Anwar, jelas Ezam telah membawa PKR keluar daripada landasan perjuangannya semata-mata untuk kepentingan peribadi beliau.

"Jika tidak percaya, tanyalah pemimpin-pemimpin peringkat negeri dan bahagian. Janganlah tanya pemimpin besar, kerana mereka sudah kenyang," ujar Ezam, bekas Ketua Angkatan Pemuda PKR, yang keluar parti itu April 2007.

Ditanya apakah punca menyebabkan beliau terus hilang kepercayaan terhadap Anwar setelah hampir 10 tahun berjuang dalam Parti Keadilan, Ezam menjawab:

"Sebabnya besar. Ia satu perselisihan yang serius. Jangan lupa, saya dan Datuk Nala (S Nalakaruppan yang turut hadir pada sidang akhbar itu) adalah dua orang yang pernah masuk penjara kerana Anwar. Semuanya kami akan dedahkan nanti."

Ezam juga menafikan spekulasi bahawa beliau ditawarkan jawatan untuk menyertai Umno.

Katanya, jika tawaran menjadi ukuran sudah lama beliau menganggotai semula Umno dan bukannya sekarang.

Sebelum ini, dedah Ezam, beliau pernah ditawarkan jawatan dan kedudukan tinggi untuk meninggalkan Keadilan (kini PKR) oleh pemimpin kerajaan, tetapi tidak berminat kerana tidak ada tanda-tanda reformasi dalam Umno.

Beliau mengulangi bahawa minatnya kepada Umno bangkit semula berikutan perubahan dasar yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu rasuah dan institusi kehakiman.

Ditanya sama ada benar beliau ditawarkan jawatan pengerusi di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau pantas menjawab: "Tidak, walaupun saya berharap ia benar."

Ezam berkata, beliau juga tidak bimbang untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Umno yang pernah beliau kritik satu masa dahulu kerana tuduhan-tuduhan rasuah serta salah guna kuasa kerana beliau berpegang pada perinsip kebenaran.

"Itu bukan satu masalah bagi saya, tetapi mungkin bagi mereka. Mereka semua kini perlu berhadapan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang lebih bebas," tegasnya.

Walaupun kini berada dalam Umno, Ezam berkata, beliau bukan sahaja akan meneruskan agendanya menentang rasuah, malah akan juga akan menyuarakan tentangan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggapnya satu akta yang kejam.

Ezam merupakan antara mereka yang pernah ditahan di bawah ISA.

Beliau juga berazam membuka mata seramai mungkin pemimpin dan penyokong PKR tentang kepincangan parti itu serta mengajak mereka beramai-ramai menyertai Umno dengan melancarkan program bergerak ke seluruh negara tidak lama lagi.

Katanya, hanya konsep perkongsian kuasa yang didukung Barisan Nasional sahaja boleh menjamin masa depan Malaysia, seperti yang terbukti lebih 50 tahun selepas merdeka.

Perkongsian kuasa antara PKR, DAP dan Pas di bawah nama Pakatan Rakyat, kata beliau bukan satu alternatif kerana walaupun baru sahaja ditubuhkan untuk membolehkan mereka memerintah di beberapa negeri, telah terdapat bibit keretakan.

"Siapa tidak tahu bahawa sejak kebelakangan ini pemimpin DAP telah pun bertindak memboikot semua mesyuarat Pakatan Rakyat. Tetapi jika ditanya pemimpin Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka akan nafikan," katanya lagi.

Ditanya kemungkin beliau bertanding jawatan tinggi, termasuk jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akhir tahun ini, Ezam tidak mengiya atau menidakkannya tetapi berkata, ia sesuatu yang akan ditentukan oleh pihak lain kerana ia bergantung pada pencalonan yang akan beliau terima.

Pada sidang media itu, Ezam juga mengumumkan kemasukan ke dalam Umno lima rakan seperjuangannya ketika dalam Pergerakan Pemuda PKR dahulu.

Dalam pada itu, Anuar dan Khairul Anuar menyerahkan borang permohonan mereka kepada Najib di bangunan di Parlimen petang ini.

Kedua-dua mereka dikatakan sudah hilang kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan PKR dan ingin menyertai Umno atas dasar keikhlasan dan kesedaran serta mahu berjuang untuk agama dan bangsa.


NAJIB Tun Razak menerima borang menyertai Umno daripada Anuar Shaari dan Khairul Anuar Ramli di Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Anuar yang pernah menjadi ahli Umnodan juga bekas Setiausaha Sulit Menteri Kewangan (jawatan yang pada ketika itu disandang Anwar) sehingga 1998, berkata, beliau telah menemui Najib tahun lalu dan menyatakan hasratnya.

“Penyertaan semula ke dalam Umno ini adalah atas kesedaran kerana saya sudah berada dalam Umno dan PKR.

"Justeru setelah membuat perbandingan dan kesimpulan, saya harus kembali kepada akar iaitu agama dan bangsa yang diperjuangkan Umno.

“Saya telah meninggalkan PKR pada tahun lalu sebelum menjadi Ahli Lembaga Pengarah Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK)," katanya.

Menurut Anuar, beliau telah mengumumkan kenyataan keluar daripada PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinanan di hadapan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tahun lalu.

“Hari ini, saya mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno sebagai ahli biasa dan saya perlu bekerjasama dengan ahli-ahli lain serta menunjukkan prestasi yang baik," katanya.

Anuar turut mengakui terdapat lagi ahli PKR yang akan menyertai Umno.

Sementara itu, Khairul Anuar yang tidak pernah menjadi ahli Umno sebelum ini berkata, sikap Anwar yang tidak konsisten dalam tutur katanya menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap enasihat PKR itu.

“Saya sebenarnya menyertai Umno dari sekolah lagi kerana menyangka ia satu wadah bagi rakyat.

"Kemudian, saya melihat sikap Anwar dengan Pas, cakap lain, dengan DAP cakap lain, itu yang menyebabkan saya hilang kepercayaan kepada beliau," katanya yang pernah bertanding atas tiket bebas merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kulim pada pilihan raya umum lalu.

Ditanya sama ada penyertaan mereka ke dalam Umno telah dirancang memandangkan Ezam mengumumkan penyertaan beliau semalam, Anuar berkata, itu hanya ebetulan dan mereka tidak pernah merancang.

“Saya suka kalau mereka mahu masuk Umno secara ikhlas. Saya tak pernah ajak ahli lain,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |