+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 29, 2008

Mukhriz rayu Najib pujuk Pak Lah, tidak rela Presiden Umno diaibkan

Mstar Online

29-05-2008 09:36:57 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Datuk Mukhriz Mahathir, yang lantang mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak pilihan raya umum ke-12, menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dua minggu lalu untuk merayu agar beliau "melakukan sesuatu bagi mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan dengan segera."

Mukhriz mengakui telah menemui Najib untuk menyampaikan pendiriannya itu pada 15 Mei lalu, empat hari sebelum ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno di Alor Star.

"Ada perjumpaan dengan beliau (Najib). Itulah, saya terangkan pendirian saya. Beliau kata beliau faham, saya pun merayu kepada beliau melakukan sesuatu.

"Tetapi nampaknya setakat itu sahaja. Masih belum nampak apa-apa lagi," kata beliau yang juga Exco Pemuda Umno ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun menjelaskan, beliau telah merayu kepada Najib agar berbincang dengan Abdullah untuk membincangkan peralihan kuasa dengan segera - sebelum mesyuarat cawangan dan bahagian.

Pada pertengahan bulan lalu, Abdullah yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak 2003 berkata, beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan, hanya selepas pemilihan itu, beliau akan berbincang dengan Najib berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

"Mungkin beliau rasa satu tahun, dua tahun boleh lagi. Bagi saya, satu, dua tahun bermakna kita cuma ada dua atau tiga tahun untuk membuat kerja-kerja menawan balik negeri-negeri yang tewas," kata Mukhriz yang memutuskan untuk kekal dalam Umno walaupun Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno kerana kecewa dengan senario politik dalam parti.

Mukhriz juga telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Dalam pertemuan itu, beliau yang turut ditanya mengenai tindakannya terus mendesak Abdullah melepaskan jawatan parti dan kerajaan dengan segera, Mukhriz menjelaskan, beliau tidak mahu Abdullah diaibkan dengan kemungkinan kekalahan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"Tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan.

"Jadi, saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua Umno Bahagian Gua Musang) mahupun sesiapa melawan beliau untuk jawatan presiden.

"Jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan yang mengaibkan," kata beliau yang seolah-olah memberikan alternatif kepada Abdullah agar mengelak daripada 'kekecewaan' seterusnya.

Sama ada beliau ingin menyelamatkan Abdullah daripada kemungkinan tersebut dengan memberi alternatif, Mukhriz menjelaskan:

"Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun.

"Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti.

"Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita mulakan mesyuarat cawangan (Julai ini)."

.

IKUTI SEDUTAN PERBUALAN MUKHRIZ BERSAMA WARTAWAN MSTAR ONLINE DAN AGENDA DAILY BARU-BARU INI.


Komen berhubung gesaan Badan Perhubungan Umno Kedah agar Mukhriz henti kritik kepimpinan Umno?:

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (Datuk Seri Mahdzir Khalid) pun dilantik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Apa yang kita boleh harapkan daripada beliau (Datuk Mahdzir). Setakat ini, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan hanya daripada mereka yang dilantik termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah, yang kedudukan beliau sendiri pun, di peringkat negeri, sebagai bekas Menteri Besar yang mengakibatkan negeri (Kedah) kalah, dilantik memegang jawatan tersebut. Walhal semasa Tan Sri Sanusi Junid (Menteri Besar) dulu, walaupun tidak kalah negeri, tetapi disebabkan kalah banyak kerusi Dewan Undangan Negeri, beliau dengan rela meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Wajarkah Mahdzir Khalid berundur?:
Ini bukan saya yang berkata. Tetapi kalau kita dengar apa yang telah disebutkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Negeri dengan Jawatankuasa Pengurusan, yang dihadiri oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (Timbalan Presiden), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Naib Presiden) dan Datuk Seri Rafidah Aziz (Ketua Wanita) dan Datuk Noraini Ahmad (Ketua Puteri), salah satu perkara yang dituntut oleh ketua-ketua bahagian Kedah ialah selepas ini biarlah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dilantik daripada kalangan ketua-ketua bahagian dan bukannya timbalan atau naib ketua bahagian. Saya ingat ia satu cadangan baik.

Pendirian dalam isu mengecam kepimpinan parti?:
Sudah tentu saya bukan hipokrit. Apabila saya bercakap, saya konsisten sepanjang masa. Itu yang penting. Kalau saya diberi peluang untuk memberi penjelasan kepada peringkat (Jawatankuasa) Pengurusan, apa yang saya bercakap dan kenapa saya bercakap, jadi itu yang saya akan sampaikan kepada pihak pengurusan, kalau ditanya.

Apakah kesudahan pendirian Mukhriz dalam mengecam Abdullah selepas ini?:
Kalau Abdullah tidak mengalah, contohnya, beliau tidak mahu berundur, maka Umno akan berhadapan dengan satu masalah yang besar, satu dalam pemilihan kali ini dan seterusnya yang lebih penting dalam pilihan raya akan datang. Jadi, kalau boleh kita memerlukan masa yang panjang untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. Jadi, kalau mengatakan masih ada empat tahun, empat tahun lah kita mahu untuk memulihkan parti. Jadi jangan dilewatkan lagi.

Mengenai pembaharuan diumumkan oleh Abdullah sejak pilihan raya umum ke-12?:
Bermaksud merealisasikan manifesto pembangkang? (Secara berseloroh). Saya ingat itu tidak membantu langsung manifesto kita. Manifesto BN belum lagi dikotakan. Apa yang kita janjikan dalam manifesto belum dikotakan. Saya pun rasa agak pelik apabila Yang Berhormat Senator Datuk Mohd Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata, perkara-perkara yang dilaksanakan sekarang ini sebenarnya telah disebutkan dalam manifesto pilihan raya tahun 2004. Jadi, apa yang kita buat selama ini. Sekarang ini baru hendak dibangkitkan. Bila pembangkang membangkitkan, baru kita hendak melakukan. Jadi, mahu tidak mahu, saya terpaksa berfikir bahawa ada agenda lain.

Setakat saya melihat, setakat ini, macam itu. Kita tidak memimpin. Kalau kita mengatakan bahawa kita masih berkuasa, kononnya kan, kita pegang kuasa, tapi kita asyik menari ikut rentak pembangkang. Jadi apa gunanya kita berkuasa. Kalau sayalah, buat apa hendak mempedulikan pembangkang. Laksanakan sahaja apa yang kita hendak melaksanakan. Setakat ini, suruhanjaya kehakiman, agensi pencegahan rasuah, mungkin itu penting, tetapi bukankah patut kita mengotakan janji yang kita buat semasa pilihan raya, dalam manifesto BN. Ini pula kita membantu pembangkang merealisasikan apa yang mereka sebutkan dalam manifesto mereka. Itu yang saya rasa agak pelik.

Konsisten dengan pendirian mengecam kepimpinan?
Sudah tentu. Dan, walaupun kita tidak mendengar kenyataan daripada pihak-pihak lain seperti yang dilakukan oleh akhbar dan sebagainya, tetapi bila saya bergerak (ke seluruh negara sejak kebelakangan ini), begitu ramai sekali pemimpin akar umbi dalam Umno, yang bersependapat dengan saya dalam hal ini bahawa kita tiada masa untuk memulihkan Umno dan kita berharap peralihan kuasa yang dituntut itu akan berlaku pada kadar yang segera.

Adakah tindakan Mukhriz hanya gimik publisiti?:
Sudah tentu saya tidak mahu tinggalkan parti. Saya sendiri sudah menekankan bahawa saya akan kekal dalam parti dan pada waktu yang sama, saya berpegang pada hak saya untuk bersuara. Jadi sampai sekarang ini pun saya tidak fikir bahawa apa yang diperkatakan ini, memberi alasan kepada mana-mana pihak berkenaan untuk memecat atau mengambil tindakan disiplin terhadap saya. Setakat yang saya tahu, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti, mahupun tataetika yang mengatakan bersuara hingga mengkritik presiden parti bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan parti.

Mukhriz sanggup hadapi tindakan disiplin?:
Saya terpaksa menerima apa pun keputusan yang (jika) dibuat. Tetapi itu satu tindakan yang saya lihat tidak... kerana akan membawa mesej bukan sahaja kepada ahli-ahli Umno, tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa dalam Umno ini tiada sifat (ruang) untuk tegur-menegur. Jadi, itu saya rasa salah satu sebab ramai orang menolak Umno dalam pilihan raya (umum lalu). Dan, bila tidak boleh bercakap akhirnya orang, dalam diam-diam itu, menzahirkan rasa tidak puas hati dalam undi. Jadi, kita tidak mahu tunggu sampai itu berlaku lagi. Biarlah kita memahami dan mengawal keadaan itu daripada sekarang.

Antara peralihan kuasa dan pemilihan parti? Tiada peruntukan peralihan kuasa dalam perlembagaan Umno:
Yang pertamanya, kita memerlukan masa untuk memulihkan parti. Jangan anggap bahawa dalam masa empat tahun, dua tahun ataupun dalam satu tahun, kita boleh memulihkan parti dan menang balik dalam pilihan raya akan datang. Ini andaian yang saya ingat merbahaya. Jadi kita memerlukan masa yang panjang untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno.

Keduanya, bagi saya kita menyelesaikan masalah yang kita ada sekarang. Masalah yang kita ada sekarang ialah isu kepimpinan, maksudnya ini pun pandangan saya sendiri, sebahagian besar masalah sekarang ini adalah disebabkan oleh presiden parti sendiri. Jadi pada pandangan saya, kalau beliau mengundur dan memberi laluan kepada penggantinya, maka sebahagian besar daripada masalah kita akan sekali gus selesai. Walaupun kita kata dalam perlembagaan cuma ada pemilihan dan tiada peralihan kuasa, kita selalu ada peralihan kuasa kecuali zaman Allahyarham Tun Abdul Razak apabila beliau meninggal dunia ketika masih memegang jawatan. Yang lain, kita serah kuasa dan selepas serah kuasa, baru ada pemilihan. Itu yang selalunya kita amalkan. Saya faham bahawa dalam politik ada pemilihan. Tetapi tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan yang diadakan. Jadi saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah, mahupun sesiapa pun boleh melawan dia untuk jawatan presiden. Jadi jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan mengaibkan.

Mukhriz pula memberi alternatif kepada Abdullah?:
Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun. Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti. Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita memulakan mesyuarat cawangan (Julai ini). Tapi bagi jawatan lain terpulanglah kepada ahli-ahli Umno macam mana hendak lakukan.

Sekarang ini pun, preesiden parti sudah diaibkan. Dengan kehadiran Abdullah, sokongan kepada presiden parti menurun, orang tidak hormat pada Umno, dan jauh sekali hormat pada presiden. Jadi, setahu saya, ini tidak pernah berlaku walaupun saya akui ada ketikanya bila timbul masalah berhubung Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang dipecat pada 1998) dan Tengku Razaleigh melawan ayanda saya (dalam pemilihan 1987 dan disusuli perpecahan dalam Umno), ada ketikanya presiden parti pun kehilangan sokongan, tetapi tidak sampai kalah pemilihan atau kalau dalam pilihan raya. Jadi itu yang kita perlu membezakan. Tetapi kali ini seolah-olah orang menidakkan apa yang telah berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini, yang kerapkali kita sebut tetapi seolah-olah orang tidak ingat bahawa kita sudah hilang lima negeri campur satu. Di Parlimen tengoklah apa yang berlaku tiap-tiap hari. Ini yang kita bimbangkan.

Mukhriz yakin Abdullah akan kalah dalam pemilihan?:
Saya ingat banyak perkara boleh berlaku. Antaranya, kalau orang nampak dia bertanding juga maksudnya di peringkat kepimpinan tertinggi dalam parti, tiada sifat hendak dengar cakap ahli-ahli peringkat akar umbi. Maka oleh itu, mesyuarat cawangan pun (kemungkinan) tidak cukup kuorum, orang tidak hadir, benda-benda macam itu akan berlaku. Jadi sekali gus ia menunjukkan bahawa ahli Umno sudah menjauhi diri daripada parti. Sekarang ini pun kononnya cuma 1,000 orang yang keluar parti. Tetapi ahli-ahli Umno yang tidak secara rasmi keluar parti, sebaliknya dari hakikatnya sudah pun keluar daripada parti.

Mukhriz menghadapi dilema antara keluarga dan politik Umno?:
Saya tidak rasa ada dilema sebab saya tidak nampak apa yang ayah saya buat akan menghancurkan saya. Beliau sebenarnya sayang kepada parti sebagaimana saya pun sayang pada parti. Cuma pendekatan yang berbeza. Beliau memutuskan hendak memperjuangkan perkara ini di luar parti, saya hendak buat dalam parti, tapi matlamat sama saja. Jadi, saya mempersoalkan presiden parti, adakah beliau benar-benar sayang kepada parti sebab beliau dari segi politiknya, banyak pihak telah menemui dengan beliau, merayu supaya mengundurkan diri. Jadi dari segi politik sudah jelas sangat apa yang harus beliau lakukan. Jadi atas pertimbangan apa yang beliau masih mahu kekal dalam jawatan? Saya kira bukan politik lagi. Itu yang saya risau!

Langkah susulan Mukhriz?:
Saya telah berjumpa dengan ramai orang, ada yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pendirian Pemuda Perak, tetapi tidak keluar dalam akhbar. Setakat ini, sambutan yang diberikan amat baik sekali. Tiada pihak yang mengatakan kepada saya jangan meneruskan usaha ini kecuali perjumpaan yang dianjurkan oleh Ketua Bahagian Jerlun.

Mukhriz berhasrat untuk menemui Abdullah?:
Tiada ada rancangan. Tetapi jika ada peluang, kalau hendak jumpa tiada masalah. Pendirian saya sudah jelas. Saya tidak akan berubah pendirian walaupun berpeluang untuk menemui Abdullah kelak.

Kemungkinan pertemuan antara Dr. Mahathir-Abdullah?:
Bagi Tun (Dr. Mahathir) saya kira, setakat ini, bukan mengatakan beliau sudah tutup pintu, tetapi kalau hendak jumpa untuk merayu atau hendak memujuk beliau mengubah pendirian, memang ia satu tindakan membuang masa.

Adakah kecaman Mukhriz 'keterlaluan'?:
Apa yang saya bawa ini satu pendekatan. Mungkin orang lain ada pendekatan lain. Orang lain pun fikir macam itu juga, maksudnya Abdullah kerana berundur dan memberi ruang kepada Najib. Jadi bila kita selesaikan barulah kita benar-benar boleh meyakinkan ahli-ahli kita dan orang Melayu dengan parti kita.

Regu semasa pemilihan Disember ini?:
Sehingga sekarang saya tidak ada gandingan dengan sesiapa. Yang itu terpulang kepada ahli-ahli Umno sendiri yang buat keputusan tentang siapa yang patut tanding.

Calon pilihan untuk jawatan presiden?:
Tapi kalau tanya siapa pilihan saya, saya kata Najib. Tapi saya sendiri tidak jamin yang Najib sendiri akan merestui kehendak saya atau merestui hajat saya untuk bertanding Ketua Pemuda. Itu terpulang kepada beliau.

Kalau ahli-ahli Umno memutuskan untuk memilih Tengku Razaleigh sebagai Presiden, kita akur kepada kehendak ahli-ahli Umno. Bagi saya asalkan Abdullah tidak jadi presiden lagi.

Jika Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein kekal Ketua Pemuda?:
Setahu saya beliau sudah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan akan bertanding jawatan sekurang-kurangnya setaraf dengan Ketua Pemuda. Kalau begitu maksudnya jawatan Naib Presiden. Macam saya katakan dulu, jika beliau kekal mahu mempertahankan jawatan Ketua Pemuda, saya tidak akan langgar (menentang) beliau. Saya mungkin bertanding jawatan lain. Bagaimanapun saya pun kena dengar juga pandangan ahli-ahli Umno.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |