+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 7, 2008

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Bakal Tubuhkan Badan Penyelaras Pelancongan

Bernama

Daripada Jumiati Rosly

DUBAI, 6 Mei (Bernama) -- Lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat merancang untuk menubuhkan satu badan penyelaras pelaksanaan pelancongan bagi merancakkan lagi sektor pelancongannya.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong berkata satu pertemuan antara wakil kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak akan diadakan di Selangor pada 15 Mei, khusus bagi membincangkan cara untuk merapatkan lagi kerjasama dalam membangunkan produk-produk pelancongan antara mereka.

"Penubuhan badan itu adalah inisiatif kerajaan negeri Selangor yang akan menjadi titik permulaan bagi memajukan lagi industri pelancongan di kelima-lima negeri tersebut," katanya kepada pemberita di pameran Arabian Travel Market (ATM) 2008 di Pusat Pameran dan Persidangan Antarabangsa Dubai di sini Selasa.

Beliau berkata penubuhan badan penyelaras itu juga dibuat bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang berkaitan dengan isu pelancongan.

"Biarpun kami (Pakatan Rakyat) berbeza pandangan politik dengan kerajaan pusat tetapi kami serius dalam usaha membangunkan sektor pelancongan dan kehadiran kami di ATM 2008 ini adalah salah satu daripada buktinya," katanya.

Sementara itu Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia Kedah Mohammad Radzhi Salleh pula berkata penubuhan badan itu akan dapat menyatukan kelima-lima negeri, untuk bergerak seiring di bawah satu pasukan dalam sektor pelancongan.

Katanya kelima-lima negeri di bawah Pakatan Rakyat masih memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan pusat untuk menggerakkan sektor pelancongan.

"Pelancongan adalah soal yang neutral dan ia adalah tanggungjawab bersama untuk memajukannya. Tidak ada soal parti jika kita bercakap tentang sektor pelancongan," katanya.

Empat kerajaan negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu merupakan antara 85 perwakilan yang menyertai delegasi Malaysia ke ATM yang berlangsung empat hari bermula Selasa.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |