Suara Keadilan
PARLIMEN: Keputusan kontroversi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum PRU12 yang lalu berlangsung berdasarkan kepada desas-desus, jawab kerajaan kepada Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar kepada MP Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), beliau menjelaskan SPR dan kerajaan tidak mempunyai bukti kukuh ketika membuat keputusan tersebut.
Pada 4 Mac lalu, SPR mengumumkan keputusan saat-saat terakhir membatalkan dakwat kekal atas alasan keselamatan. Pengunaan dakwat kekal ini dituntut Pakatan Rakyat dan Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) bagi menyekat penipuan pilihanraya khususnya pengundi hantu.
Ketika membatalkan pelan tersebut, Pengerusi SPR Rashid Abdul Rahman berkata keputusan itu dibuat berdasarkan laporan polis mendakwa sebilangan pihak telah membeli dakwat-dakwat kekal dari luar negara untuk menipu dalam pilihanraya.
Walaubagaimanapun, Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan bahawa siasatan polis tidak menghasilkan apa-apa bukti kukuh terhadap dakwaan tersebut, meskipun setelah tiga kali siasatan dijalankan.
“Selepas laporan polis disiasat, dan soalsiasat dijalankan kepada pengadu dan saksi, ia didapati tiada sebarang bukti menunjukkan adanya dakwat kekal diseludup masuk dari
“Dari kenyataan saksi, tiada individu, sindikat atau mana-mana pihak dapat dikenalpasti terbabit dalam penyeludupan dakwat kekal. Laporan pengadu dan saksi dibuat berdasarkan desas-desus,” kata Syed Hamid.
Keputusan membatalkan dakwat ini menarik kritikan hebat dari pelbagai pihak sebagai satu langkah ke belakang dalam reformasi sistem pilihanraya negara.
MP Fong berkata Pakatan Rakyat akan membawa isu ini dalam sidang Dewan Rakyat seterusnya.
“Seseorang dalam kerajaan harus bertanggungjawab kerana memberi nasihat tidak berasas sehingga membawa kepada pembatalan dakwat itu,” kata Fong.
syafiq @ May 6, 2008
0 comments:
Post a Comment