+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 19, 2008

Siasat percutian Lingam


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja turut mencadangkan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR), membuka semula siasatan terhadap bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dan peguam, Datuk VK Lingam.

Suruhanjaya itu dalam laporannya yang diumumkan Jumaat lalu, secara khusus mahu BPR menyiasat mengenai percutian antara kedua-dua mereka bersama keluarga ke New Zealand pada 1994.

Malah, suruhanjaya turut mencadangkan BPR menyiasat beberapa hakim yang dikatakan pernah menerima hadiah daripada Lingam.


Suruhanjaya mendapati, siasatan awal terhadap percutian Lingam dan Mohd Eusoff serta keluarga mereka ke New Zealand itu turut membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Laporan itu juga menyatakan bahawa jika BPR tidak mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka, masyarakat mungkin memandang rendah terhadap integriti badan kehakiman.

Suruhanjaya merumuskan demikian berikutan bekas setiausaha dan adik Lingam, G Jayanthi dan V Thirunama, dalam kenyataan bersumpah mereka ketika memberi keterangan dalam inkuiri berkenaan, mengesahkan wujud hubungan baik antara Mohd Eusoff dan Lingam.



“Siasatan baru sepatutnya dibuat kerana ia membabitkan kelakuan yang tidak sepatutnya oleh Mohd Eusoff dan beberapa hakim lain yang dipercayai rakyat. Integriti BPR akan dipersoal melainkan tindakan positif diambil,” kata laporan itu.

Jumaat lalu, Kabinet mengarahkan Peguam Negara memulakan siasatan serta-merta berhubung segala tuduhan terhadap enam individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video yang didakwa mengandungi perbualan peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.

Mereka adalah Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Mohd Eusoff serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Thirunama membuat laporan polis pada 1998 terhadap Lingam kerana mendakwa merasuah beberapa hakim termasuk Mohd Eusoff. Beliau mendakwa turut menghantar hadiah kepada mereka selepas diminta Lingam berbuat demikian.

Bagaimanapun, ketika inkuiri diadakan, Lingam cuba membuktikan bahawa Thirunama mengalami masalah mental tetapi suruhanjaya menolaknya. Suruhanjaya juga menerima keterangan Jayanthi dan mendapati beliau adalah saksi yang mempunyai kredibiliti.

Jayanthi dalam keterangannya mengesahkan kepada suruhanjaya bahawa percutian antara Lingam dengan Mohd Eusoff ke New Zealand pada 1994, dirancang dan bukannya kebetulan.

Jayanthi berkata, beliau sendiri yang mengatur urusan percutian termasuk mendapatkan tiket penerbangan dan jadual perjalanan daripada syarikat agensi pelancongan. Semua tiket penerbangan itu dibayar oleh Lingam.

Suruhanjaya itu mendapati, percutian antara Lingam dan Mohd Eusoff amat mengejutkan kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan perkara itu memang berlaku.

Mohd Eusoff dalam keterangannya menafikan merancang percutiannya dengan Lingam dan mendakwa bertemu secara kebetulan dengan peguam itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura dan di New Zealand.

“Melihat kepada terlalu banyak kebetulan yang didakwa berlaku, kita hanya perlu melihat dari segi logik untuk menolak kemungkinan berkenaan,” kata laporan itu.

Sementara itu, dalam penutup laporan berkenaan, suruhanjaya itu antara lain menyebut bahawa tugas mereka dalam inkuiri itu ‘bukan sekadar untuk merawat tetapi juga membasmi penyakit’.

“Dalam kata lain, satu usaha bersungguh-sungguh mesti dilakukan untuk mencari punca sebenar ‘penyakit’ yang sudah ditemui itu,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |