+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 19, 2008

Batal dakwat: Tubuh suruhanjaya kenalpasti pembohong

Harakahdaily

Abdul Halim Mohd Rashid

Sun | May 18, 08 | 7:53:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Hrkh) - Satu suruhanjaya siasatan diraja mesti ditubuhkan untuk mengenalpasti pihak yang berbohong sehingga dibatalkan penggunaan dakwat pada kuku pengundi yang telah mengundi dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menekankan, suruhanjaya tersebut perlu diadakan berikutan kenyataan bercanggah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman

Suruhanjaya itu juga, katanya, hendaklah mengenalpasti pihak yang mencipta pembohongan untuk mempengaruhi pembatalan penggunaan dakwat tersebut.

"Siapa cipta pembohongan? Kabinet, polis atau SPR?" beliau mempersoalkan.

Bernama melaporkan Abdul Rashid berkata, kabinet tidak meluluskan penggunaan dakwat tersebut semasa pilihan raya walaupun SPR telah bersetuju untuk menggunakannya bagi menjamin ketelusan.

Beberapa jam selepas itu, agensi berita nasional itu melaporkan pula Perdana Menteri berkata, keputusan supaya membatalkan penggunaan dakwat khas dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas bukan satu arahan, sebaliknya pandangan kerajaan kepada SPR.

6 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu Dewan Rakyat, polis tidak menemui sebarang bukti terdapat individu yang membawa masuk dakwat penanda kuku dari Thailand untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12.

Menurut beliau, polis telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan berikutan terdapat laporan daripada beberapa individu bahawa dakwat itu telah dibawa masuk dari Thailand.

''Polis telah menemu bual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari Thailand.

''Ini kerana tidak ada sebarang saksi pun yang pernah melihat dakwat tersebut dan daripada keterangan saksi, tiada sebarang individu, sindiket atau pihak-pihak tertentu yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan ini," kata Menteri Dalam Negeri.

Penggunaan dakwat itu dibatalkan oleh SPR setelah polis mendakwa wujud parti-parti politik yang membeli sendiri dakwat-dakwat kekal dari luar negara.

"Saya dimaklumkan bahawa PAS di pantai timur membeli dakwat dari Thailand. Kemudian Umno mendapat tahu (mengenainya) dan Umno juga membeli dakwat tersebut.

"(Maklumat) ini diberikan kepada saya secara hitam putih oleh polis dan laporan yang sama diberikan kepada kabinet dan mereka (kabinet) percaya ia memang benar-benar wujud," kata Pengerusi SPR.

Kenyataan-kenyataan bercanggah tersebut, kata Mahfuz, memberi gambaran wujudnya permainan politik untuk menghalang kemenangan suara rakyat dalam pilihan raya tersebut.

Sebab itulah, katanya, suruhanjaya itu mesti ditubuhkan bagi mengenalpasti siapa dalang pembatalan penggunaan dakwat itu, siapa yang memulakan pembohongan dan lebih penting lagi, siapa yang mengarahkan pembohongan.

Kenyataan-kenyataan bercanggah yang menggambarkan pembohongan itu juga, katanya, memperlihatkan bahawa pengendalian pilihan raya di bawah SPR memang tidak adil dan tidak bersih.

"Bukan kita hendak cakap sombong dan bersikap angkuh, tetapi Pakatan Rakyat mungkin mendapat kemenangan lebih besar dan Barisan Nasional mungkin dihambat dari persada kuasa oleh rakyat jika pilihan raya dikendalikan dengan adil dan bersih," katanya.

Demi masa hadapan dan ketenteraman negara, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, suruhanjaya tersebut mesti ditubuhkan kerana pembohongan di peringkat atasan sedemikian rupa mesti dihukum.

"Jika suruhanjaya siasatan ditubuhkan kerana ada pihak mempengaruhi perlantikan hakim-hakim, suruhanjaya yang sama juga mesti ditubuhkan untuk mengenalpasti pihak yang mencipta pembohongan untuk mempengaruhi pembatalan penggunaan dakwat tersebut," tegas beliau.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |