+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, July 20, 2008

Pemimpin Pas diingatkan pertemuan hanya untuk peribadi bukan parti: Nik Aziz

Berita Harian

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin kanan parti, yang membuat pertemuan dengan pemimpin Umno, hanya boleh mengadakan pertemuan membabitkan perbincangan peribadi dan bukannya membabitkan isu politik kedua-dua parti.

Namun Menteri Besar Kelantan itu menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pemimpin Umno untuk membincangkan isu agama atas kapasiti peribadi tetapi tidak atas nama parti.

Nik Abdul Aziz menyatakan pendiriannya bahawa beliau hanya boleh menerima jika pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno atas urusan peribadi seperti menyentuh isu agama yang memberi manfaat dalam membaiki sahsiah diri.

Beliau menolak sebarang tindakan bagi pihak pemimpin Pas untuk mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu parti.

“Kalau nak jumpa jangan jumpa dengan parti. Bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dan individu, saya setuju,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa pertemuan bersama Pas sebenarnya telah diadakan sebanyak tiga kali dengan membincangkan beberapa isu yang berkait rapat dengan keagamaan.

Nik Aziz berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai pertemuan tiga kali itu namun beliau pernah dimaklumkan sememangnya pernah wujud pertemuan antara Umno dan Pas tetapi lebih kepada isu agama dan peribadi.

Beliau berkata, pertemuan antara parti dengan parti atau antara Umno dan Pas tidak perlu diadakan kerana sudah terbukti dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 70-an, ketika era Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, Pas telah ditendang daripada parti gabungan.

“Jadi bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dengan individu saya setuju, dapat menyampaikan Islam secara langsung kepada individu terbabit,” katanya.

Mengenai muzakarah yang disarankan beliau, Nik Aziz berkata perlu ada orang ketiga sebagai Hakkam yang mengadilkan pertemuan itu sebagaimana perbincangan antara dua negara berjiran perlukan kepada negara ketiga.

“Kalau di peringkat dunia berbalah dan perbincangan yang hendak diadakan perlu pihak ketiga, PPB (Pertubuhan Bangsa-Bersatu)lah yang terbaik,” katanya.

Beliau tidak berminat untuk mengadakan pertemuan dengan nama parti dan sedia menerima pemimpin Umno yang mahu berbincang mengenai isu agama untuk kebaikan semua. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |