Harakahdaily Salmiyah Harun Mon | Jul 14, 08 | 5:11:19 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Peralihan kuasa pada tahun 2010 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi dilihat sebagai satu helah politik bagi menghadapi pemilihan Umno pada Disember ini setelah mendapati dirinya yang mungkin dicabar oleh timbalannya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak atau Tengku Razaliegh. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), Salahuddin Ayub berkata, taktik licik terbaru Abdullah Badawi yang kononnya menyetujui satu pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya Najib Razak dilakukan pada 2010. Katanya, pengumuman pelan itu adalah satu strategi untuk mengurangkan musuh sekaligus membolehkan Abdullah membentuk pasukan dengan Najib bagi berhadapan dengan Tengku Razaliegh. "Abdullah yang selama ini terkenal sebagai 'Mr Clean' telah terpalit dengan pelbagai dosa semenjak beliau menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan. Salahudin berkata, isu-isu yang melibatkan bekas isterinya dalam kempen 'Satu Suami Satu Isteri', anaknnya yang kini menjadi antara 10 orang terkaya di Malaysia, anak perempuannya yang aktif bersama Sister in Islam, serta menantu kesayangannya yang dikatakan menguasai tingkat empat Jabatan Perdana Menteri. Kemudian, katanya, apabila Abdullah gagal menangani isu inflasi, krisis makanan dan harga minyak, ketidakyakinan itu turut melibatkan ahli-ahli Umno dan komponen BN seperti SAPP yang mengumumkan tidak percaya lagi kepada beliau. "Tindakan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah keluar dari Umno turut menggambarkan hakikat yang sama. Kini Pak Lah terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan musuh di luar dan di dalam Umno," katanya. Tegasnya, Anwar Ibrahim semakin mendapat kepercayaan rakyat untuk menggugat Abdullah tetapi di dalam Umno pula Tengku Razaliegh pula sudah mencanang gendang untuk merebut jawatan Presiden Umno. "Najib sendiri masih berdiam diri, tetapi dijangka turut berbuat demikian sebelum dipintas oleh Ku Li atau Anwar. Dr Mahathir pula berterusan mengajak rakyat dan ahli Umno menjatuhkan Pak Lah,"tambahnya. Jelasnya, inilah realiti yang dihadapi oleh Abdullah sehingga beliau sanggup merangka satu pelan peralihan bagi meredakan tekanan tersebut, terutama bagi mengurangkan musuh dan meredakan kemarahan ahli Umno. Tetapi, katanya, rakyat sudah tidak percaya lagi kepada janji Abdullah kerana beliau sering kali membohongi rakyat dengan menipu tarikh pembubaran parlimen dan tarikh kenaikan harga minyak. "Pak Lah menafikan desas-desus parlimen akan dibubarkan pada Februari lepas, tetapi beberapa jam selepas itu beliau membubarkan parlimen. Begitu juga isu harga minyak, para menterinya mendakwa ia hanya dinaikkan selepas Ogos, tetapi tiba-tiba Pak Lah mengumumkan kenaikan 41 peratus,"katanya. Justeru, katanya, itulah amalan penipuan yang menjadi 'trade mark' Abdullah dan kini giliran Najib pula akan berhadapan dengan isu serupa. "Lagipun, Najib bukanlah 'putera mahkota' Pak Lah, kerana menantu kesayangan beliau juga mengidam jawatan tertinggi itu. Nampaknya Najib hanya mendapat bukan sahaja 'post dated cheque' tetapi cek kosong!" katanya. - mks._ |
Monday, July 14, 2008
Peralihan Kuasa 2010: Najib dapat cek kosong
Posted by
Sang Pemantau
at
11:49 PM
Labels: Harakahdaily, najib razak, Pak Lah undur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment