+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 14, 2008

Perhimpunan dilarang di Parlimen Malaysia.


Berita Harian

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Zulhilmi Hat dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my


PASTIKAN KETENTERAMAN: Sarjan Baharuddin Harun dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menampal notis di KL Sentral melarang Anwar dan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di kawasan Parlimen hari ini.

Mahkamah Majistret perintah usah berkumpul di Parlimen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam mengeluarkan perintah melarang Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyokong Pakatan Rakyat serta mana-mana orang berkenaan, berada atau berhimpun di perkarangan Parlimen atau lingkungan lima kilometer dari bangunan itu, hari ini.

Perintah yang ditandatangani Majistret Nazran Mohd Sham itu dikeluarkan atas permohonan polis selepas mendapat maklumat bahawa satu perhimpunan bagi menyo- kong usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri akan diadakan di perkarangan Parlimen hari ini.

Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah berpuas hati bahawa Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan penyokong Pakatan Rakyat akan meneruskan perhimpunan itu walaupun tidak memohon permit.

"Mahkamah mendapati satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelak sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan orang ramai atau rusuhan jika perhimpunan itu diadakan," kata Nazran dalam perintah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md Yassin, berkata pihaknya memohon perintah mahkamah itu selepas mengetahui perhimpunan berkenaan akan diteruskan walaupun penganjurnya tidak memohon atau mendapatkan permit.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai termasuk pihak penganjur diberi amaran supaya tidak berada atau berkumpul untuk mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan haram yang akan diadakan kawasan terbabit.

"Polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 jika Anwar atau mana-mana pihak melanggar perintah mahkamah itu. Salinan perintah mahkamah ini sudah diedarkan ke seluruh negara dan mereka yang masih ingkar akan berdepan tindakan tegas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggotanya menampal salinan perintah mahkamah itu di tempat awam termasuk perhentian bas, stesen komuter, stesen LRT serta laluan tumpuan orang ramai.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberi amaran supaya orang awam tidak menghadiri atau menyebar SMS mengenai satu perhimpunan haram yang dijadual diadakan di Parlimen, hari ini.

Perhimpunan haram yang dirancang itu menyebabkan polis membuat sekatan jalan raya dan lencongan di 12 jalan utama di ibu negara sejak kelmarin bagi mengawal keadaan serta menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, pula berkata sekatan jalan raya yang dilakukan polis bukan untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya bagi membolehkan polis membuat pemantauan serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

"Penganjur perhimpunan kini cenderung tidak memohon permit menyebabkan kita tidak tahu apa yang akan mereka buat. Jadi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga dan membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |