Harakahdaily Tarmizi Mohd Jam Mon | Jul 14, 08 | 8:50:22 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 14, Julai (Hrkh) - Perintah mahkamah yang diperolehi polis bagi menghalang Ketua Umum Parti KeAdilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke parlimen hari ini, jelas melanggar perlembagaan kerana telah mencabul doktrin pengasingan kuasa dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu. Profesor Dr. Abdul Aziz Bari hairan dan berasa aneh bagaimana mahkamah boleh memberi perintah tersebut kepada pihak polis. Ini adalah kali ketiga polis mendapat perintah tersebut, ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perintah mahkamah yang diperolehi polis bagi membolehkan mereka menangkap Anwar jika beliau menghampiri kawasan parlimen itu. Perintah menghalang Anwar tersebut dikatakan telah dikeluarkan oleh mahkamah majisteret secara ex-parte, yakni permohonan sebelah pihak. Beliau menyifatkan tindakan polis itu menunjukkan betapa mereka tertekan dan tidak mampu berbuat apa-apa. "Apa yang kita lihat ini cukup ganjil dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara bertamadun yang mempunyai perlembagaan bertulis. Hanya negara polis atau negara diktator sahaja yang menyaksikan insiden seperti ini. "Saya kurang jelas undang-udang apa yang dirujuk oleh mahkamah. Apa pun perlembagaan tidak menyebut kuasa mahkamah itu. Malah selama ini ada banyak kes mahkamah yang memutuskan bahawa parlimen mempunyai kata putus dalam hal-hal sedemikian", tegas Aziz yang juga pakar perlembagaan. Ini bermakna, sambungnya, hanya parlimen - kebiasaanya melalui speaker - mempunyai kuasa menyekat atau memerintahkan ahli parlimen atau sesiapa yang difikirkan menghina parlimen meninggalkan dewan. Pihak eksekutif (dalam insiden ini polis) dan mahkamah, ujarnya, tidak mempunyai kuasa atau hak untuk berbuat apa-apa. Dari satu sudut pihak eksekutif dan badan perundangan telah mencabul doktrin pengasingan kuasa dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu. Malangnya, kata profesor undang-undang itu lagi, parlimen memilih untuk berdiam diri dan membenarkan kehormatannya dicabul oleh kedua-dua pihak tersebut. Aziz berkata, beliau tidak nampak mengapa Anwar perlu dihalang. "Apakah Anwar seorang penjenayah atau seorang yang berpotensi melakukan jenayah? Atau apakah pihak polis mempunyai maklumat bahawa Anwar seorang pengganas?" soal Aziz. Beliau berkata, pihak polis hanya boleh menghalang Anwar sekiranya bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai potensi untuk melakukan jenayah di parlimen. Jika tidak mereka tidak mempunyai kuasa atau hak untuk menghalang apatah lagi menangkap Anwar. Tetapi malangnya, tegas Aziz, mahkamah yang sepatutnya meneliti isu-isu ini mengambil jalan mudah dan membenarkan permohonan pihak polis. Beliau percaya pihak polis menggunakan peruntukan di dalam Kanun Prosedur Jenayah atau Akta Polis 1967. "Tetapi kita harus ingat bahawa kedua-dua status ini adalah undang-undang biasa yang tertakluk kepada peruntukan dan semangat perlembagaan," tegasnya. Katanya lagi, sebagaimana perintah mahkamah dalam kes Protes di KLCC itu, perintah terbaru ini menandakan kegagalan mahkamah mentafsirkan perlembagaan dengan sewajarnya. Menurut Aziz, hanya mahkamah tinggi sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberi tafsiran perlembagaan yang kemudiannya boleh dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi. Kes ini sepatutnya dirujuk kepada mahkamah atasan supaya isu perlembagaan yang berkaitan dapat dihalusi. Dengan perintah demikian, tegas beliau, akan timbul tanggapan bahawa Anwar adalah seorang yang dianggap oleh polis sebagai suspek atau seumpamanya! Beliau percaya perintah mahkamah itu ada hubungan dengan usul undi tidak percaya yang telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan kerajaan gabrah dengan perkembangan terbaru itu. Anwar dan para penyokong Pakatan Rakyat bercadang untuk hadir bagi menyaksikan pembentangan usul undi tidak percaya itu. Tindakan polis dan perintah mahkamah adalah titik hitam yang akan tercatat di dalam perjalanan demokrasi di negara ini dan ia amat memalukan, katanya. "Pihak polis dan mahkamah sepatutnya tidak menghalang satu proses yang dibenarkan oleh perlembagaan sendiri. Soal huru-hara, kacau-bilau dan demonstrasi adalah isu yang diada-adakan,"jelasnya lagi. Pihak polis, jelas Aziz, sepatutnya mengambil langkah mengawal ketenteraman awam supaya undi tidak percaya itu berjalan mengikut prosedur. Apa yang berlaku ini, pada pendapat Aziz, akan memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara polis di mana pihak berkenaan campur tangan di dalam proses demokrasi biasa yang diamalkan dengan aman termasuk di negara-negara ASEAN lainnya. "Kita telah lihat bagaimana kerajaan tumbang melalui undi tidak percaya di Jepun, India dan Thailand," tambah beliau. Aziz menyeru pihak polis dan mahkamah bukan sahaja menghormati tetapi juga mempertahankan perlembagaan. "Ini adalah tanggungjawab semua pihak yang diberi kuasa awam terutamanya para hakim," tegas Aziz sambil mengingatkan bahawa di sisi undang-undang keselamatan bukan cek kosong yang menjadi hak mutlak polis untuk menafikan hak rakyat. - tmj/mks. _ |
Monday, July 14, 2008
Sekali lagi perintah mahkamah cabul kehormatan parlimen
Posted by
Sang Pemantau
at
5:17 PM
Labels: badan kehakiman, Harakahdaily, parlimen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment