+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, September 14, 2008

Usah guna ISA terhadap orang awam, mahu bincang dengan PM - Zaid

Mstar Online

14-09-2008 11:06:48 PM

(Dikemas kini) KOTA BAHARU: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar).

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan soal perundangan dan kehakiman itu berkata, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan Persekutuan kembali kepada matlamat asal penggubalan ISA, yang digubal untuk mengawal komunis, ataupun pada hari ini untuk menangani pengganas ataupun mereka yang hendak menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

"Saya tidak meminta supaya ISA dimansuhkan tetapi hanya menggunakannya apabila wujud ancaman ke atas keselamatan negara seperti pengganas dan bukan orang awam," kata beliau kepada wartawan di rumahnya di sini hari ini.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawui untuk mengadakan perbincangan terus terang bagi mendapatkan pandangan beliau dalam isu ini secepat yang mungkin," jelas beliau.

Kata Zaid, dengan memberikan pandangan sedemikian beliau kemungkinan dilihat bertindak bertentangan dengan 'dasar kerajaan' tetapi bersedia untuk menghadapi kesannya.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Tambah Zaid, beliau bukan pencetus masalah dan tidak mahu menyusahkan Perdana Menteri dalam isu berkenaan.

Sebaliknya, katanya, beliau mempunyai prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Kata beliau lagi, kerajaan mempunyai undang-undang secukupnya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan didapati kesalahan, antaranya Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Kelmarin, tiga orang iaitu masing-masing seorang penulis blog, wartawan dan ahli politik ditahan di bawah ISA.

Penulis laman blog Raja Petra Kamaruddin yang pertama ditahan di rumahnya pada pukul 1.50 tengah hari di Sungai Buloh dekat sini berkaitan artikel yang disiarkan dalam laman webnya yang bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" dan juga
"Not all Arabs are descendants of the Prophets".

Kedua-dua artikel itu didakwa menggunakan ayat yang menghina orang Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA.

Beliau pertama kali ditahan pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

Selepas penahanan Raja Petra, polis menahan pula wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tan ialah wartawan yang menulis berita yang mendakwa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa memberi ceramah dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, telah melabelkan masyarakat Cina di negara ini sebagai "penumpang."

Selepas Tan, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, turut ditahan di bawah akta sama di hadapan kondominiumnya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Tan telah dibebaskan petang semalam.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |