[DIKEMAS KINI] TENGGULUN: Keluarga kepada tiga pengebom Bali yang telah menyebabkan kematian 202 orang pada tahun 2002 diarahkan "bersiap-sedia" dengan hukuman mati yang bakal dijatuhkan kepada ketiga-tiga militan itu - ditembak oleh skuad khas, dalam waktu terdekat, bulan ini.
Menurut laporan AFP, para pendakwa dan polis hari ini telah melawat abang kepada dua pengebom, Amrozi, 47, dan Mukhlas, 48, di perkampungan Jawa Timur dan memberikan memberi amaran agar mereka bersedia untuk "berita buruk".
"Kami datang ke sini hanya untuk memberitahu mereka (keluarga) agar bersedia dengan hukuman mati yang akan dilaksanakan terhadap militan itu," kata Ketua Pendakwa Daerah Irnensis selepas bertemu dengan keluarga tersebut selama 30 minit.
Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila hukuman ke atas tiga pengebom tersebut - Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra akan dilaksanakan.
Salah seorang ahli keluarga pengebom itu, Ali Fauzi berkata, keluarganya sudah bersedia dengan hukuman itu.
"Pihak pendakwa telah arahkan kami bersedia dan berkata agar tidak menantikan surat mengenai hukuman tersebut. Kami tidak ada masalah tentang hal ini," katanya.
Media tempatan turut melaporkan bahawa kunjungan yang sama juga telah dibuat ke rumah keluarga Samudra di bandar Jawa Barat, Serang semalam.
Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan. Pesalah selalunya akan diberitahu tentang hari hukuman mereka tiga hari sebelumnya.
Helikopter juga telah disediakan untuk membawa mayat militan-militan itu kelak dari penjara Nusakambangan ke rumah keluarga masing-masing.
Tiga pengebom tersebut sebelum ini pernah berkata, mereka rela "mati syahid" untuk mencapai impian mereka mewujudkan utopia Islamik di Asia Tenggara.
BERITA TERDAHULU
JAKARTA: Pelampau Islam semalam berarak di ibu negara Indonesia, di sini sebagai tanda protes dengan keputusan hukuman mati yang dikenakan ke atas tiga pengebom Bali, di mana peguam bela juga sedang meminta kebenaran agar ahli keluarga ketiga-tiganya dibenarkan melawat pada masa yang sama.
Sambil melaungkan "Allahu Akhbar", kira-kira 100 ahli militan menuju ke pejabat badan hak asasi kebangsaan di mana peguam-peguam pengebom itu berbincang dengan pegawai di sana bagi mendapatkan kebenaran tersebut.
Mereka mengutuk hukuman tersebut dan menyifatkan pengebom-pengebom tersebut - Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron sebagai "pejuang suci".
Peguam bela Mahendradatta seperti yang dipetik AFP, menggesa agar badan hak asasi, Komnas Ham supaya menyokong permintaan ahli keluarga untuk melawat tiga militan itu, yang dijangka akan menjalani hukuman mati - ditembak oleh skuad khas, dalam waktu terdekat, bulan ini.
Menurut Pengerusi Komnas Ham, Ifdhal Kasim, tiga pesalah itu mempunyai hak untuk bertemu dengan keluarga masing-masing sebelum hukuman dijatuhkan.
"Pesalah yang menantikan hukuman dijatuhkan seharusnya diberikan peluang untuk bertemu ahli keluarganya," katanya.
Sementara itu, ahli keluarga tiga pengebom itu telah menulis surat kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono merayu agar hukuman tersebut ditangguhkan, kata seorang lagi peguam bela, Fahmi Bachmid.
Namun begitu, katanya, surat tersebut bukan permohonan untuk pengampunan. Tiga pengebom tersebut sebelum ini pernah berkata, mereka rela "mati syahid" untuk mencapai impian mereka mewujudkan utopia Islamik di Asia Tenggara.
0 comments:
Post a Comment