[DIKEMAS KINI, sehingga 5.30 petang] SHAH ALAM: Editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang membebaskan beliau secara rasmi daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang amat berharga.
"Saya terkejut sebenarnya. Saya memohon dibebaskan di bawah Seksyen 8 (di bawah ISA) dan ia berjaya. Tidak ramai yang mencabar Seksyen 8 berjaya, jadi (sebelum ini) saya tidak terlalu berharap.
"Ia (peluang dibebaskan) seperti 50-50," katanya.
Raja Petra dibebaskan secara rasmi oleh Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.20 petang tadi.
Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.
Hakim Syed Ahmad Helmy turut memuji sikap profesional pihak pendakwaan yang menyelesaikan urusan pembebasan Raja Petra sebelum jam 4 petang seperti yang diminta oleh beliau pagi tadi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya selepas dibebaskan, Raja Petra berkata, dia tidak dapat memikirkannya buat masa ini dan berasa amat letih.
Ditanya mengenai pengajaran yang diperolehinya sepanjang berada dalam tahanan ISA, Raja Petra berkata, dia mahu berjuang habis-habisan supaya ISA dimansuhkan.
Katanya, beliau tidak tahu sebab beliau dibebaskan dan berfikir mengenainya.
"Ia mungkin disebabkan ISA bukan undang-undang yang sah untuk digunakan bagi penentang politik.
"Saya rasa keputusan mahkamah hari ini telah menjelaskannya. Mesejnya adalah ia (ISA) tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.
"Saya bukan pengganas...saya bukan orang yang berbahaya...saya hanya seorang penulis," katanya yang kelihatan begitu gembira dengan pembebasannya.
Terdahulu, Raja Petra tiba di mahkamah dengan sebuah van polis dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping kira-kira pukul 3.05 petang dengan memakai kemeja-T berwarna coklat dan seluar jeans biru.
Kira-kira 30 jurugambar dari dalam dan luar negara berasak-asak untuk mengmabil gambarnya sebaik beliau turun dari van tersebut.
Kira-kira 100 penyokongnya yang sudah mula berkumpul sejak pukul 8 pagi tadi melaungkan 'RPK' (Raja Petra Kamarudin) sebagai menyambut ketibaan penulis laman web itu.
Kebanyakan mereka memakai kemeja T yang tertera perkataan 'Free RPK, no to ISA' sebagai tanda sokongan mereka terhadap beliau.
Dalam pada itu, isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah menyatakan rasa gembiranya dengan pembebasan suaminya itu.
"Saya gembira semuanya menjadi baik seperti yang saya harapkan. Ia satu perkembangan yang hebat.
"Saya harap akan ada perubahan nanti dalam negara ini," katanya.
Raja Petra dan isteri meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 3.30 petang dengan menaiki kereta jenis Rolls Royce.
Raja Petra, 58, ditahan pada 12 September lalu iaitu hari yang sama ketika ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah akta yang sama.
Bagaimanapun Teresa dan Tan telah pun dibebaskan.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Raja Petra daripada penahanan mengikut ISA setelah membenarkan permohonan habeas corpusnya.
Dalam penghakimannya, Hakim Syed Ahmad Helmy berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.
Beliau telah mengarahkan agar Raja Petra, 58, yang kini berada di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, sejak 12 Sept lepas, dibawa ke mahkamah sebelum pukul 4 petang bagi urusan pembebasannya.
Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun.
Barisan peguam yang mewakili Raja Petra adalah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.
Manakala peguam pihak pendakwaan adalah Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad
0 comments:
Post a Comment