KUALA LUMPUR 6 Nov. - Keputusan kerajaan menangguhkan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 tidak menjejaskan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, dalam keadaan negara yang aman seperti sekarang, perkhidmatan helikopter Nuri yang mampu digunakan sehingga tahun 2015 adalah memadai.
''Kita telah gunakan Nuri sejak zaman pemberontakan komunis lagi dan ia terbukti berkesan sehingga sekarang.
''Jadi kita (ATM) akur dengan keputusan penangguhan kerajaan itu berdasarkan kemampuan kewangan negara," katanya pada sidang akhbar selepas menerima tabik hormat Perbarisan Hari Ulang Tahun ATM Ke-75 di Kem Sungai Besi di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Pada 28 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembelian helikopter itu ditangguh sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.
Abdul Aziz memberitahu, perancangan pembelian Eurocopter adalah sebagai nilai tambah kepada aset-aset ATM khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti dalam operasi-operasi mencari dan menyelamat.
''Jika kita perlukan helikopter sebegitu, Nuri masih ada dan ia boleh disokong oleh pesawat milik agensi lain seperti bomba, polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kematangan ATM terbukti setelah dipilih sebagai 'Institusi Paling Dipercayai di Malaysia' hasil kajian Asia Barometer Survey baru-baru ini.
Beliau memberitahu, pengiktirafan itu adalah bukti keyakinan orang awam terhadap integriti dan keupayaan ATM sesuai dengan tema sambutan hari ulang tahunnya iaitu 'Komitmen Kami, Keyakinan Anda'.
Menjawab satu soalan, beliau berkata, penugasan aset serta para pegawai dan anggota ATM yang kini mengawal keselamatan laluan kapal-kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, Somalia akan berakhir pada hujung bulan ini.
Dalam pada itu, perbarisan Jubli Intan ATM hari ini menampilkan 56 pegawai dan 691 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut serta udara yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Romainor Mohamed.
Perbarisan itu turut menampilkan aset-aset ATM yang digunakan sejak awal penubuhannya sehingga sekarang.
0 comments:
Post a Comment