+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, November 29, 2008

Komando bebaskan Hotel Taj, kekacauan di Mumbai berakhir

Mstar Online

KEKACAUAN berakhir..Pasukan komando India berjaya menumpakan saki baki pengganas kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini. -foto AP

[DIKEMAS KINI] MUMBAI: Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan.

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas. Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya. Hotel itu mengalami kerosakan teruk.BERNAMA

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Polis melaporkan serangan di Hotel Taj Mahal kini berakhir, hampir mencapai matlamat untuk tiga hari pertempuran di sini di mana lebih daripada 150 orang telah terbunuh.

Ketua Polis Mumbai Hasan Ghafoor berkata kepada AP: "Operasi di Hotel Taj Mahal kini berakhir. Dua pengganas terakhir yang bersembunyi di sana telah terbunuh.''

Ini telah menamatkan satu daripada serangan yang paling mengakibatkan kebinasaan di India. Keganasan itu bermula Rabu lalu apabila penyerang-penyerang menyerbu 10 buah tempat merentasi Mumbai, ibu negara komersial India.

Pihak berkuasa yang terlibat mencari siapa angkara sebalik serangan ini, mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali sebelum ini yang mengelarkan diri sebagai Deccan Mujahideen.

Lima belas pelancong adalah antara yang terbunuh. AP

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Pertempuran senjata antara komando India dan anggota militan berterusan di Taj Mahal Palace Hotel, sejak malam tadi hingga awal pagi ini, dalam usaha akhir pasukan keselamatan untuk menumpaskan saki baki anggota pengganas.

Sejak semalam, angota komando berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 orang yang ditahan di hotel itu sejak Rabu malam, apabila sekumpulan pengganas melancarkan serangan di bandar ini.

Sejumlah pengganas di hotel Taj terbunuh dalam Operasi Black Tornado itu, manakala sejumlah kecil lagi masih bertempur dengan pasukan keselamatan sejak lebih 50 jam lepas, atau mulai awal pagi Sabtu.

"Ini operasi yang unik," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada pemberita malam tadi.

"Kami telah hantar pasukan NSG yang baru, kami tidak mahu lagi kehilangan nyawa. Operasi ini berjaya dan berdasarkan tembakan yang dilepaskan masih terdapat dua hingga tiga orang pengganas di dalam hotel itu," katanya.

Lebih 40 letupan didengar daripada hotel itu apabila anggota militan yang terdesak melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan berterusan ke arah pasukan komando. Petang semalam, dua wartawan cedera ringan apabila terkena serpihan bom tangan.

Seni bina hotel itu, dengan tangga yang berpusing dan bilik tersembunyi menyukarkan pasukan keselamatan menumpaskan anggota militan, yang jumlahnya antara 20 dan 30 orang ketika mereka menawan hotel itu.

Pasukan keselamatan juga menemui hampir 25 kg bahan letupan RDX di dalam hotel mewah itu.

Letupan dan tembakan berterusan dari beberapa bahagian hotel warisan itu yang mempunyai bangunan lama dan baru memusnahkan sebahagian hotel yang berusia satu abad itu.

Sementara itu, komando NSG petang semalam membebaskan Oberoi Trident dan Nariman House, yang turut ditawan pengganas sejak Rabu. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |