Malaysiakini |
Apr 14, 09 10:39am |
Sepuluh ADUN Barisan Nasional (BN) memulaukan DUN Terengganu pada hari kedua persidangan hari ini selepas beberapa orang daripada mereka menerima ugutan "YB tak sayang nyawa?" malam tadi. Mereka kini berada di beberapa tempat di negeri itu kerana bimbang keselamatan mereka tidak terjamin, kata ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Tiga ADUN penyokong kerajaan membuat laporan polis tengah malam tadi setelah menerima mesej SMS berbentuk ugutan - dispekulasikan berhubung usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu. Rosol bagaimanapun menafikan ketidakhadiran 10 ADUN tersebut termasuk beliau sendiri, sebagai langkah menjatuhkan Datuk Ahmad Said (foto) seperti diura-urakan sejak minggu lalu. Selain beliau sendiri, ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh turut membuat laporan polis selepas mendapat mesej SMS ugutan pada jam 11.20 malam tadi. Mesej yang didakwa dikirim oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?". Selain mereka bertiga, turut tidak hadir di sidang DUN pagi ini ialah Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera). Dipercayai, beberapa ADUN BN akan ke Putrajaya untuk mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin berhubung krisis terbaru di negeri itu. Krisis kepemimpinan menteri besar Terengganu kali ini tercetus genap setahun selepas berlaku perebutan kuasa antara Ahmad - yang disokong oleh istana - dengan Idris, menteri besar waktu itu. Minggu lalu, Ahmad memberi amaran keras termasuk memecat ADUN BN terbabit jika usul undi tidak percaya dikemukakan dalam sidang dewan minggu ini. BN menguasai 24 kerusi DUN, sementara PAS pula lapan kerusi. Sementara itu, Rosol yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, memberitahu sidang akhbar pagi ini bahawa selain 10 Adun berkenaan, tiga lagi Adun BN yang menyokong tindakan mereka, tidak menghadiri sidang DUN hari ini. Bagaimanapun, Berita Harian memetiknya sebagai berkata, ketiga-tiga ADUN tersebut tidak bersama mereka dalam sidang media itu. Bagaimanapun Bernama melaporkan, selain menteri besar dan 10 exco kerajaan negeri, hanya tiga wakil rakyat BN dalam sesi soal jawab itu. Tindakan memulaukan dewan itu, lapor agensi berita itu lagi, menyebabkan ia didominasi semua lapan ADUN pembangkang. Menurut Rosol di sidang media itu, mereka tidak akan hadir persidangan DUN selagi tidak mendapat jaminan keselamatan berikutan ugutan bunuh menerusi SMS itu. "Kita akan hadir pada hari terakhir sidang dewan esok jika mendapat jaminan keselamatan daripada polis," katanya. Sementara, Berita Harian melaporkan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda, membuat laporan di balai polis Kuala Terengganu, menafikan pembabitannya dengan penyebaran SMS berbau ugutan bunuh kepada tiga ADUN BN negeri itu. Wan Ahmad ditemani Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan dan Tugas-Tugas Khas), Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail, membuat laporan itu pada jam 12 tengahari tadi. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, mengesahkan polis menerima laporan Wan Ahmad dan akan menyiasat mengikut lunas undang-undang. Menurut laporan Berita Harian itu, Kira-kira jam 11.20 malam tadi, tiga Adun BN Terengganu tersebut - Abd Halim (Permaisuri) dan Zakaria (Paka) menerima SMS berbau ugutan bunuh dari nombor telefon bimbit 019-9158369 manakala Rosol (Ajil) menerima SMS dari komputer. Abd Halim dan Zakaria ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Tengganu jam 1.15 pagi tadi, berkata selepas menyemak Diari Kerajaan Negeri, mereka dapati SMS itu dihantar daripada telefon bimbit yang didaftarkan sebagai kepunyaan SUSK berkenaan. |
Wednesday, April 15, 2009
ADUN BN diugut, 10 boikot DUN T'ganu
Posted by
Sang Pemantau
at
9:19 PM
Labels: malaysiakini, terengganu, tolak BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment