+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 15, 2009

Tiga Adun BN terima SMS ugutan

Berita Harian

Oleh Johari Ibrahim, Kamarulzaidi Kamis, Saufi Hamzah, Shaarani Ismail dan Baharom Bakar
bhnews@bharian.com.my


AHMAD SAID melihat SMS yang ditunjukkan Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizan Abdul Hamid ketika penangguhan Sidang DUN di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Najib arah YB Terengganu hadir sidang, SMS tak sahih

KUALA TERENGGANU: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam, kerana mendakwa keselamatan mereka terancam.

Ini berikutan ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kelmarin, iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Ariffin (Paka), dipercayai mempunyai kaitan dengan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, yang dikatakan akan dibentangkan pada sidang DUN itu.

Selain Rosol, Abd Halim dan Zakaria, tujuh Adun lain yang tidak hadir ialah Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alor Limbat); Zawawi Ismail (Kuala Berang); Ramlan Ali (Jabi); Muhammad Ramli Nuh (Tepoh); Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera) dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).

Rosol mendakwa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih); Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamed (Hulu Besut) turut menyokong tindakan itu. Ketiga-tiganya, bagaimanapun mengikuti sidang DUN pada jam 11 pagi sehingga sesi berakhir 5 petang.

Dalam sidang media bersama sembilan Adun BN lain di sini, Rosol yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri berkata, mereka akan hadir pada hari terakhir sidang DUN hari ini jika mendapat jaminan keselamatan daripada polis.

Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan 10 Adun terbabit supaya hadir ke sidang DUN seperti biasa kerana SMS ugutan itu tidak sahih.

"Mereka dapat SMS, tapi SMS itu tidak berpunca dari Pejabat MB, jadi saya minta supaya mereka hadir persidangan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri.

Najib berkata, beliau sudah bercakap dengan Ahmad mengenai perkara berkenaan dan Menteri Besar Terengganu itu juga memaklumkan SMS itu bukan dihantar daripada pejabatnya.

"Ini bukan sesuatu yang luar biasa dan kita boleh uruskan," katanya sambil menjelaskan tidak ada cubaan menjatuhkan Ahmad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata Perdana Menteri dan beliau memandang berat perkara itu dan tidak mahu masalah berkenaan berlarutan.

"Saya belum menerima laporan terbaru. Beberapa hari lalu saya berjumpa beberapa Adun untuk mendapatkan gambaran sebenar," katanya selepas majlis menerima tugas Menteri Pelajaran.

Muhyiddin berkata, BN diberi kepercayaan untuk memerintah Terengganu dan ia perlu dilihat melaksanakan tugas berkenaan.

"Setiap perasaan tidak puas hati yang boleh menjejaskan kerajaan, kita perlu selesaikan," katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Pusat puas hati dengan perkhidmatan Ahmad, Muhyiddin berkata:

"Beliau adalah seorang Menteri Besar dan melakukan apa yang perlu dilakukan, tetapi mungkin ada isu dan masalah perlu kita lihat."

Kira-kira jam 11.20 malam kelmarin, Abd Halim dan Zakaria menerima SMS ugutan bunuh daripada telefon bimbit, sementara Rosol menerima ugutan itu daripada komputernya.

Abd Halim serta Zakaria membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan mendakwa SMS itu dihantar daripada telefon bimbit yang didaftarkan sebagai kepunyaan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda.

Rosol berkata, pada mulanya beliau menganggap SMS itu sebagai perkara biasa, tetapi membuat keputusan membuat laporan polis selepas mendapati ugutan itu menggunakan ejaan yang sama dan dipercayai daripada orang sama.

"Perkara ini terjadi berkemungkinan hasil daripada isu undi tidak percaya (terhadap Menteri Besar) yang dimainkan sesetengah pihak dan dijangka dibawa untuk diusulkan ke dewan sama ada hari ini (semalam) atau esok (hari ini).

"Saya ingin menjelaskan bahawa kami tak pernah berbincang untuk membawa usul undi tidak percaya dan kami tidak tahu punca yang menyatakan akan berlaku undi tak percaya pada sidang DUN kali ini," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |