Malaysiakini |
Apr 15, 09 9:57am |
Bekas menteri besar Terengganu menggesa penggantinya Datuk Ahmad Said agar tidak paranoid sehingga terfikir ada usaha menjatuhkannya melalui usul undi tidak percaya. "Cuma, saya ingin beritahu, jangan ada pihak yang paranoid... takut bayang-bayang sendiri. "Kalau tiada (usul undi tidak percaya), tiadalah," Datuk Seri Idris Jusoh dipetik berkata di luar sidang DUN hari ini. Beliau bersama sembilan lagi ADUN Barisan Nasional negeri itu hadir semula pada hari terakhir persidangan dewan selepas memulaukan DUN semalam susulan mesej ugutan terhadap tiga rakannya. Idris, juga ADUN Jerteh, berkata mereka mengambil tindakan semalam kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, di samping bersimpati mereka yang diugut, lapor Bernama. Tiga ADUN tersebut awal pagi semalam membuat aduan polis apabila menerima mesej SMS berbunyi: "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?". Ugutan tersebut, didakwa daripada seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dipercayai berkaitan dengan ura-ura membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad. Idris terpaksa melepaskan jawatan menteri besar selepas istana tidak memperkenan pelantikannya bagi penggal kedua pada Mac tahun lalu dan digantikan dengan Ahmad. Krisis terbaru di negeri tersebut dipercayai warisan pergolakan tahun lepas yang menyaksikan ketegangan antara dua kem BN selama beberapa minggu. Mereka yang menerima ugutan tersebut - Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) - bersama Idris tampil pada sesi persidangan pagi yang dilaporkan berjalan lancar. Turut hadir: Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera). Kesemua 10 ADUN itu bertindak sedemikian selepas menerima arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam. Lapan ADUN pembangkang, semuanya PAS, turut hadir bersama 13 wakil rakyat BN dan barisan 10 exco negeri bawah pimpinan Ahmad. Menurut laporan agensi berita itu lagi, Rosol berkata beliau sudah mengemukakan laporan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pihak Istana Terengganu berhubung perkara itu. Beliau juga berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang menghantar SMS ugutan itu kerana ia dianggap serius. "Alhamdulillah, semua hadir. Cuma saya berasa pelik kerana yang menghantar SMS ini adalah pegawai kanan kerajaan negeri kepada wakil rakyat kerajaan. "Perkara ini tidak pernah berlaku dan polis belum mengambil tindakan terhadap beliau," Rosol dipetik berkata. Ahmad pula dilaporkan berkata kesemua ADUN berkenaan "perlu bersikap positif dan mengutamakan parti serta rakyat" dengan menghadiri persidangan hari ini. "Terima kasih, baguslah. Kalau orang lain boleh mari (datang), tak kan mereka tidak boleh mari. Saya tidak berasa hati (dengan mereka)," katanya. Ditanya sama ada beliau takut dengan bayang-bayang sendiri seperti saranan Idris, Ahmad dipetik berkata: "Saya tidak pernah takut, dulu pun saya pernah (berdepan) dengan perkara (seumpama ini semasa pelantikannya sebagai menteri besar)." Dalam sidang media, Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Najib mengenai isu terserbut dan akan bertemu timbalan perdana menteri dalam masa terdekat. Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata beliau ingin menemui Ahmad untuk mendapat gambaran sebenar mengenai kemelut politik yang melanda kepimpinan BN negeri itu sekarang. Ahad lalu, Muhyiddin menerima rombongan ADUN BN negeri itu yang tidak berpuas hati pada menteri besar mereka. |
Wednesday, April 15, 2009
Idris: MB 'jangan takut bayang-bayang sendiri'
Posted by
Sang Pemantau
at
9:51 PM
Labels: malaysiakini, terengganu, tolak BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment