+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 21, 2010

Bung Moktar, Zizie Mengaku Berpoligami Tanpa Izin

Mstar Online

Bung Moktar dan Zizie Izette ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini. - Foto Utusan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, Zizie Ezette mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.

Bung Moktar, 51, dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan Zizie, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudiannya melepaskan pasangan itu dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong yang mewakili pasangan itu mengemukakan rayuan bertulis.

Sementara itu di mahkamah yang sama, dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan anggota Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim Mahyuddin turut menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong mengemukakan rayuan bertulis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof.

Kedua-dua mereka mencetuskan kontroversi Disember lalu apabila menafikan berita pernikahan mereka tetapi akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka selepas dihidu oleh media.

Pada 21 Disember lalu, Bung dan Zizie, 31, akhirnya mengakui bahawa mereka telahpun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri tetapi enggan menyatakan lokasi pernikahan tersebut berlangsung.

Bung yang ketika itu berada di luar negara telah menjawab melalui kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bahawa beliau telah menikahi Zizie.

"Jika Datuk (Bung) kata benar, maka jawabnya benarlah kami dah berkahwin," kata Zizie ketika mengulas mengenai pengakuan suaminya itu.

Ketika ditanya oleh mStar Online dan The Star Zizie memberitahu, jika benar sekalipun mereka berkahwin, mereka tidak bersalah di sisi Allah walaupun mungkin bersalah pada sisi undang-undang dan peraturan buatan manusia.

Beberapa minggu kemudian, gambar Bung dan Zizie yang baru pulang dari luar negara berjaya dirakam media sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |