+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, September 9, 2008

Iran cadang OPEC kurangkan pengeluaran minyak

Utusan Online

VIENNA 8 Sept. - Iran mengetuai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang bersidang hari ini mencadangkan supaya pengeluaran minyak dikurangkan.

Para penganalisis menjangkakan kartel itu mengkaji semula pengeluaran minyak untuk memastikan harga minyak kekal berada AS$100 (RM343) setong.

Harga minyak telah menjunam daripada paras tertinggi AS$147 (RM504.21) setong pada Julai lalu kepada AS$109 (RM373.83) setong hari ini.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan 13 negara-negara OPEC bersetuju dengan cadangan mengurangkan pengeluaran secara tidak formal pada mesyuarat kali ini sebelum pertemuan semula pada Disember ini mengubah sasaran pengeluaran secara rasmi.

Pada masa ini, OPEC dipercayai mengeluarkan lebihan satu juta tong minyak berbanding kuota sebanyak 29.67 juta tong sehari dengan Arab Saudi menjadi pengeluar terbesar.

Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan pengeluarannya kepada 500,000 tong sehari pada Mei dan Jun untuk mengurangkan tekanan pasaran minyak mentah atas desakan Amerika Syarikat (AS).

Pada ketika ini, harga komoditi 'emas hitam' itu merosot hingga mencecah AS$100 setong - hingga menyebabkan Iran dan Venezuela begitu bersungguh- sungguh melindungi harga tersebut daripada terus menjunam.

Bagaimanapun, harga minyak bagi dagangan Asia kembali meningkat hari ini berikutan kebimbangan taufan Ike yang boleh mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan minyak di Pinggir Pantai Teluk AS dan pembangunan pasaran minyak dalam tempoh 48 jam yang boleh mempengaruhi keputusan terakhir OPEC, kata para penganalisis.

Pada dagangan pagi, penghantaran bagi minyak berkualiti tinggi 'light sweet' pada bulan Oktober naik sebanyak AS$2.69 (RM9.22) kepada AS$108.92 (RM373.59) setong.

Minyak Brent North Sea juga naik sebanyak AS$1.20 (RM4.10) kepada AS$105.29 (RM361.14).

Menteri Minyak Ecudor, Galo Chiriboga, yang merupakan pengeluar minyak terendah dalam OPEC berkata, kedudukan harga minyak antara AS$110 hingga AS$120 setong adalah munasabah tetapi Iran dan Venezuela mahu harga siling minyak ditetapkan sekurang-kurangnya AS$100 setong.

Bagaimanapun, Raja Abdullah pula mahu harga minyak di bawah AS$100 setong, harga yang anggap di peringkat 'bahaya' pada awal tahun ini.

- AFP

Read More...

Antara pendatang dan penumpang

Kuda ranggi



Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan "menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah "Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.

Kita semua adalah rakyat Malaysia.

Read More...

Pecat Ahmad, tahan di bawah ISA - Wanita Gerakan

Harakahdaily

M Khaleel Kas

Tue | Sep 09, 08 | 11:47:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) -Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail perlu dipecat daripada Umno dan segera ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Gesaan ini dibuat oleh Ketua Wanita Gerakan, Dato' Tan Lian Hoe kerana Ahmad didapati membuat kenyataan berbaur perkauman.

Beliau yang membuat kenyataan di satu sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan pagi ini memberitahu, Wanita Gerakan hari ini mendesak supaya Ahmad dipecat dari Umno kerana membuat kenyataan berbaur perkauman.

Menurutnya dalam laporan Malaysiakini, Abdullah mesti memastikan Ahmad ditahan segera di bawah ISA kerana memainkan isu perkauman.

Katanya, perbuatan Ahmad yang berterusan mengecam masyarakat Cina, menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Beliau bimbang ia boleh mencetuskan rusuhan kaum sepertimana yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Tan juga berkata, ahli-ahli Gerakan kecewa dan marah dengan tindak tanduk penyokong Ahmad semalam yang bertindak mengoyak gambar pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

"Bagaimana pula reaksi ahli-ahli Umno jika gambar presiden mereka dikoyak seperti itu," tambahnya.

Semalam, Ahmad meneruskan perang mulutnya terhadap Dr Koh dengan menuduh pemimpin Gerakan itu memainkan isu tersebut.

Ahmad juga mendesak supaya Barisan Nasional (BN) menyingkirkan Gerakan daripada BN.

Ahmad turut memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya jangan memainkan isu-isu mengenai orang Melayu.

Dalam reaksinya malam tadi, Abdullah mengecam tindak tanduk Ahmad dan akan bersemuka dengan ketua Umno Bukit Bendera itu hari ini.

Sementara itu, Mstar Online melaporkan Gerakan Pulau Pinang mebuat keputusan memutuskan hubungannya dengan Umno negeri itu berkuatkuasa serta-merta ekoran daripada kenyataan terbaru Ahmad Ismail yang didakwa berbau perkauaman.

Koh berkata keputusan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat tergempar yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa perhubungan negeri.

Beliau berkata, ahli Gerakan berasa amat terkejut dan marah serta mengutuk tindakan serta tingkahlaku Ahmad yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Koh memberi tahu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar jawatankuasa perhubungan Gerakan Pulau Pinang malam tadi.

Beliau turut menyelar tindakan Ahmad yang menyifatkan masyarakat Cina di Malaysia sebagai sama dengan orang Yahudi di Amerika Syarikat yang menguasai ekonomi dan politi, sebagai tidak bertanggungjawab.- mks._

Read More...

Tindak tegas terhadap pihak sentuh isu perkauman - Panglima ATM

Mstar Online

09-09-2008 09:24:34 PM













RAFIDAH Aziz (dua, kanan) berkata sesuatu kepada Ismail Omar (kiri), Abdul Aziz Zainal pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Sahrizat Abdul Jalil (tiga, kiri) dan Penolong Setiausahanya, Datuk Faridah Abu Hassan (kanan). --fotoBERNAMA

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membangkitkan isu-isu berbaur perkauman kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan huru-hara.

Beliau menyatakan demikian pada majlis menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepadaATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Jelas Abdul Aziz, isu-isu perkauman tidak seharusnya disentuh kerana ia boleh mencetuskan keadaan tidak aman di negara ini.

"Perkauman merupakan isu yang paling dikhuatiri pasukan keselamatan kerana ia boleh mencetuskan huru-hara. Ia ancaman terhadap keselamatan," kata beliau.

Beliau menggesa demikian berikutan banyaknya polemik kebelakangan ini yang membangkitkan isu perkauman.

Tambahnya, isu perkauman dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan sekiranya tidak dibendung awal.

"Secara realitinya, isu perkauman menjadi ancaman utama pada negara dan ia patut dielakkan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula memberitahu, politik jalanan masih dalam kawalan dan pihaknya dapat memelihara keamanan.

Bagaimanapun tegas beliau, pasukan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi keadaan huru-hara sekiranya tercetus.

"Kami bersedia untuk bekerja siang dan malam, (tanpa mengira) hujan atau panas, tanpa makanan dan minuman untuk menangani ancaman-ancaman sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, Rafidah pula menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak membangkitkan soal latar belakang asal usul mana-mana kaum dan kesetiaan mereka.

Malah, kata beliau, demonstrasi jalanan dan politik jalanan seharusnya ditolak sama sekali demi keamanan dan keselamatan negara.

Sebelum ini Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lepas dengan menyatakan masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum Bumiputera.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka.


Read More...

K'jaan Selangor: Jangan politik bantuan mangsa ribut di Klang

Malaysiakini

Sep 9, 08 11:15am

Kerajaan negeri Selangor mendapati terdapat bantuan yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak sampai ke tangan mangsa ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar semalam, perkara itu diketahui menerusi lawatan yang dibuat ke kawasan terbabit.

"Kejadian ini amat dikesali dan sepatutnya dibincang oleh semua pihak mengapakah perkara seumpama ini boleh terjadi," tambah kenyataan itu lagi.

khalid ibrahimNamun, katanya, isu penting itu telah diabaikan dan sebaliknya terdapat segelintir pihak yang cuba memainkan isu kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan memutarbelitkan perkara yang dicakapkan beliau dalam soal jawab bersama media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa pada 6 September lalu.

Abdul Khalid turut diiringi Pengerusi lawatankuasa Tetap Kebajikan, dan Inovasi; ahli Exco yang juga Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali; Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Husin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Mislan Tuglu.

"Isu pengurusan penyaluran bantuan bencana alam di DUN Selat Klang sebenarnya sudahpun ditangani sejak hari pertama kejadian lagi oleh Dr Halimah Ali.

"Beliau sudah mengerahkan seluruh jentera kawasan memantau, meninjau serta turut membuat bancian terhadap mangsa dan jumlah kerosakan.

"Penyerahan bantuan dibuat dengan lebih teratur serta adil dalam setiap pembahagian tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik mereka," katanya.

Tolak amalan lapuk

Menurutnya kenyataan itu lagi, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak rnahu meneruskan amalan lapuk kerajaan terdahulu yang hanya menguntungkan sesetengah pihak daripada segi "public relation".

"Walaupun sokongan moral itu perlu, namun mangsa bencana
sebenarnya lebih memerlukan bantuan, daripada kehadiran pemimpin yang anya datang untuk berjabat tangan dan rnenghulurkan sedikit wang yang bergimikkan politik murahan.

"Amalan politik murahan ini sudah menjadi tradisi pemimpin terdahulu, dan atas dasar itu, menteri besar tidak terkejut erhadap sikap pihak-pihak yang terlibat, termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak,
yang ghairah memainkan isu kehadiran beliau di Selat Klang.

"Kenyataan Najib memperlihatkan bahawa beliau sebenarnya masih tidak serik dan tidak mengarnbil iktibar daripada kejadian bencana tsunami yang melanda kita beberapa tahun yang lepas.

"Laporan audit mengesahkan bahawa bantuan kerajaan pusat kepada mangsa tsunami di Kedah tidak sampai kepada mangsa walaupun dengan kehadiran beberapa orang menteri termasuk Najib.

"Ini jelas menunjukan bahawa kehadiran seseorang pemimpin sebenarnya tidak menjanjikan penyelesaian rnasalah. Hal yang penting adalah pelan tindakan yang betul ataupun terancang yang boleh rnemberi manfaat semua rnangsa," tambah kenyataan itu.

Operasi secara profesional

Menurutnya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat beroperasi secara profesional dan menegaskan bahawa ia tidak memerlukan kehadiran menteri besar semata-mata untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa.

"Kerajaan negeri menaruh penuh kepercayaan kepada YB kawasan serta Exco berkaitan bagi memantau jenis bantuan serta kesan bencana alam tersebut.

"Menteri besar dengan ini menyeru semua rakyat Selangor agar mula menukar corak pemikiran ataupun perspektif berkaitan isu pengurusan bantuan bencana alam, iaitu perkara utama yang diperlukan ialah bantuan dan bukanlah sekadar kunjungan seorang menteri!

"Kerajaan negeri sedang bekerja keras bagi memastikan semua mangsa bencana menerima bantuan yang setimpal. Yayasan Amal, sebuah badan NGO yang mempunyai pengalaman mengendali bantuan kepada mangsa bencana, juga sudah menggerakkan jenteranya bersama-sama kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada rnangsa," kata kenyataan itu lagi.

Manakala lawatan bantuan dari rumah ke rumah, tambahnya, sedang bergerak sekarang dalam usaha rnemastikan semua rnangsa bencana alam di Dun Selat Klang mendapat bantuan yang sewajarnya.

"Keadilan yang diberikan kepada sernua mangsa bencana alam di Selat Klang juga membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha rnemacu pentadbiran Selangor dengan lebih telus sejajar dengan dasar 'merakyatkan ekonomi Selangor'," tambah kenyataan itu.

Read More...

Ahmad desak pecat Koh

Berita Harian

GEORGETOWN: Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, mencadangkan Gerakan dipecat daripada Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa parti itu menyebabkan hubungan antara parti komponen kucar-kacir.

Cadangan itu dipersetujui oleh semua 13 Umno Bahagian Pulau Pinang.

Ahmad yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman bulan lalu berkata, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Pemangku Presiden Gerakan, juga perlu dipecat sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang.
Beliau mendakwa Gerakan sengaja mengambil kesempatan dengan menjadikan kenyataannya berhubung orang Cina menumpang di negara ini sebagai isu perkauman untuk menyembunyikan kelemahan diri sendiri.

“Gerakan perlu keluar daripada BN kerana dengan adanya parti itu hubungan dalam BN menjadi kucar-kacir.

“Koh juga perlu bertanggungjawab dengan meminta maaf kepada kaum Cina dan Melayu kerana menyebabkan keadaan menjadi tegang,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah dan Setiausaha Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim serta beberapa Ketua Umno Bahagian Pulau Pinang.

Sidang media yang berlangsung kira-kira 40 minit itu dipenuhi dengan penyokong Umno. Beberapa daripada mereka turut bertindak memecahkan bingkai gambar Koh di bilik itu dan mengoyakkannya.

Bulan lalu, Ahmad didakwa membuat kenyataan orang Cina menumpang di negara ini. Bagaimanapun, beliau mendakwa ia merujuk kepada keadaan sebelum merdeka berdasarkan fakta sejarah.

Pada sidang itu, Ahmad turut meminta semua pihak, termasuk Gerakan berhenti menekan Umno atau BN berkaitan ucapannya di Permatang Pauh yang disalah tafsir pemberita.

Read More...

Pertelingkahan Ahmad-Koh bukan baru

Harakahdaily

Mohd Sabri Said
Tue | Sep 09, 08 | 10:58:10 am MYT

Pertelingkahan antara Ketua Umno Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bukan perkara baru dalam arena politik negeri ini bahkan telah lama, cuma ia disembunyikan bimbang berlaku keretakan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Bila kenyataan Ahmad di ceramahnya sempena Pilihan raya Kecil Permatang Pauh ramai masyarakat terutamanya di bahagian Bukit Bendera tidak hairan beliau bertindak begitu kerana beliau memang celupar ketika melepaskan kata-kata.

Di bahagiannya sendiri ramai tidak suka terhadap sikapnya namun tidak berani melafazkan kata-kata sebab bimbang diperhatikan oleh geng-geng tertentu apatah lagi penduduk setempat lagi takut mengatakan bantahan terhadap projek yang nyata tidak membawa keuntungan kepada mereka.

Harakahdaily sendiri ketika mengadakan tinjauan ke perumahan mewah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kebun Bunga sekitar tahun 1998 bersama Allahyarham Salim Hashim aktivis masyarakat yang dikenali ramai, asyik diperhatikan dari jauh oleh tiga orang pemuda yang bermotosikal.

Kami diberitahu oleh salah seorang penduduk tempatan yang mengenali mereka bahawa penduduk yang tinggal selama enam tahun di rumah sementara takut memberikan maklumat lanjut.

Lebih menyedihkan ada yang tutup pintu serta-merta bimbang mereka diapa-apakan oleh orang suruhan Ahmad.

Jadi, bukan perkara baru jika Ahmad secara tiba-tiba mengatakan kaum Cina merupakan bangsa pendatang yang tidak harus diberikan keistimewaan di negara ini sehingga membuatkan seteru politiknya melenting dan cerita terbaru Gerakan cuba menggugut akan keluar BN seandainya persengketaan itu tidak dituruti permohonan maaf oleh Ahmad.

Pernah program pemberian anak kunci rumah tsunami berhampiran Masjid Terapung, Tanjung Bunga tidak jadi gara-gara suara Ahmad yang melarang Koh Tsu Koon datang ke majlis berkenaan walaupun Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Tabung Bencana Alam Negara, Dato' Seri Najib Razak dijangka hadir merasmikan majlis tersebut.

Akhirnya kerusi dan khemah yang dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sehari sebelum itu dirobohkan kembali dan digantikan dengan hari lain.

Beberapa kejadian itu jelas membuktikan persengketaan antara Ahmad dan Koh bukan perkara baru malahan berlarutan bertahun-tahun sejak Koh dilantik menerajui negeri.

Mungkin Ahmad memarahi Koh disebabkan tidak membelanya ketika dipecat daripada Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ataupun perkara lain yang ramai orang tidak tahu.

Pelik juga kes ini kerana orang yang melafazkan kata-kata kesat itu tidak peduli untuk memohon maaf tambahan lagi ia mendapat sokongan padu Umno Negeri di bawah kelolaan Timbalan Pengerusinya, Dato' Abdul Rashid Abdullah.

Tidak semena-mena Najib yang baru menerima malu kerana mengalami kekalahan di Permatang Pauh tersipu-sipu pohon maaf bagi pihak Umno sedangkan Ahmad berbangga mempertahankan ucapannya tempohari.

Bagi Presiden Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Harakahdaily bertemunya dalam majlis penyerahan bantuan banjir di surau Permatang Rawa beliau berpendapat, semua itu mainan Umno untuk menimbulkan kekacauan yang boleh mengwujudkan 'perintah berkurung' di Malaysia semata-mata menyekat kemaraan pembentukkan Malaysia Baru pada 16 September ini.

Apa pun, hari ini Ahmad dipanggil Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Putrajaya bagi mendengar sendiri hal itu bagi mencari jalan mengembalikan kejernihan dalam komponen BN. - mks._

Read More...

Koleksi Video - UMNO Parti Perkauman ?

UMNO Parti Perkauman ?



OK -
Manifesto BN masa PRU13 aritu......Selamat, aman, makmur.....sekarang apa sudah jadi???Ini haprak punya orang dah nak semarakkan permusuhan antara kaum....Ini sudah kes berat beb....patut kena ISA beb....macam Wanita Gerakan cakap....Wa rasa kalo pembangkang la yang cakap macam ni, pastu siap koyak poster lagi, mesti media haprak cerita 40 hari 40 malam tak abis....tapi sebab pemimpin UMNO haprak ni cakap, siap dengan tindakan biadap lagi.....takde apa pun...Pak Lah pun bertindak lembab macam siput....tido je la Pak Lah wei!!!!!!!

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |