Mstar Online
09-09-2008 09:24:34 PM
RAFIDAH Aziz (dua, kanan) berkata sesuatu kepada Ismail Omar (kiri), Abdul Aziz Zainal pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Sahrizat Abdul Jalil (tiga, kiri) dan Penolong Setiausahanya, Datuk Faridah Abu Hassan (kanan). --fotoBERNAMA
(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membangkitkan isu-isu berbaur perkauman kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan keadaan huru-hara.
Beliau menyatakan demikian pada majlis menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepadaATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.
Jelas Abdul Aziz, isu-isu perkauman tidak seharusnya disentuh kerana ia boleh mencetuskan keadaan tidak aman di negara ini.
"Perkauman merupakan isu yang paling dikhuatiri pasukan keselamatan kerana ia boleh mencetuskan huru-hara. Ia ancaman terhadap keselamatan," kata beliau.
Beliau menggesa demikian berikutan banyaknya polemik kebelakangan ini yang membangkitkan isu perkauman.
Tambahnya, isu perkauman dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan sekiranya tidak dibendung awal.
"Secara realitinya, isu perkauman menjadi ancaman utama pada negara dan ia patut dielakkan," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula memberitahu, politik jalanan masih dalam kawalan dan pihaknya dapat memelihara keamanan.
Bagaimanapun tegas beliau, pasukan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi keadaan huru-hara sekiranya tercetus.
"Kami bersedia untuk bekerja siang dan malam, (tanpa mengira) hujan atau panas, tanpa makanan dan minuman untuk menangani ancaman-ancaman sedemikian," katanya.
Dalam pada itu, Rafidah pula menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak membangkitkan soal latar belakang asal usul mana-mana kaum dan kesetiaan mereka.
Malah, kata beliau, demonstrasi jalanan dan politik jalanan seharusnya ditolak sama sekali demi keamanan dan keselamatan negara.
Sebelum ini Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lepas dengan menyatakan masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum Bumiputera.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka.
0 comments:
Post a Comment