+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, March 25, 2009

Suara Nizar , Suara Keramat !

TBO


Apabila seseorang yang dihormati kerana kebaikannya, maka orang itu akan terus diingati. Inilah yang berlaku di Kelantan Darul Naim. Kebaikan yang dimiliki oleh sosok kecil Tok Guru, menundukkan ramai orang.

Mereka hormat kerana sayang bukannya takut. Tok Guru tidak pernah menjatuhkan aib sesiapa. Maka, itulah sedikit bayangannya muncul di Perak, lewat perlantikan tanpa duga Ir Nizar sebagai Menteri Besar.

Lama dahulu…jangan kata orang Kelantan, kami di Perak pun tidak mengenali sangat sosok tinggi gagah Ir Nizar. Bahkan, mungkin jika terlanggar bahu di pasar, kami mengingatkan dia seorang cina.

Matanya yang sepet dan iras wajahnya memang seorang cina, kerana ibunya memang seorang cina. Rupa-rupanya, Allah SWT menyimpan Ir Nizar untuk menjadi MB kami. Sungguh tak disangka.

Apabila Ir Nizar menjadi MB, baharulah rakyat sedar siapa beliau.

Bukan sekadar jaminan kelayakan akademik yang begitu tinggi…tetapi juga pakej lain yang ada pada diri Ir Nizar. Saya sendiri tidak menyangka, dengan imej seorang aktivis PAS berjanggut sejemput itu, dia rupa-rupanya adalah manusia yang hebat seakan bayang Tuan Guru yang muncul di Perak.

Barulah kami tahu, Ir Nizar bukan sekadar seorang jurutera lulusan luar negara; tapi juga seorang 'ustaz' yang sering mengajar di masjid dan surau. Nizar juga bukan sekadar petah berpidato di pentas politik, malah petah bicaranya di mimbar masjid. Nizar yang ada bukan sekadar fasih berbahasa Melayu; tetapi juga Inggeris, Cina, Tamil dan Arab!

Apabila Ir Nizar memberikan ucapan sulungnya di hadapan ribuan rakyat Perak berketurunan cina, ramai yang terkedu apabila beliau berkomunikasi dengan lidah cina. Bukan satu dialek, tetapi tiga. Jarang orang Melayu-Islam-PAS yang mampu bertutur dalam dialek Kantonis, Hokkien dan Mandarin. Tapi Ir Nizar boleh!

Apabila Nizar bertamukan orang India, maka lancar sahaja lidahnya berbahasa tamil. Sekali lagi kami terkedu. Apakah Ir Nizar ini anak 'buluh betung' yang mampu berbicara dengan sesiapa sahaja?

Apabila menceritakan komunikasinya dengan Pak Arab dari Timur Tengah, Ir Nizar menceritakan bahawa dia berbicara dengan bahasa yang sama dengan mereka. Lalu ia memudahkan 'cerita' dan Pak Arab setuju datang melabur ke Perak. La…rupa-rupanya Ir Nizar kami fasih juga berbahasa Arab!

Bahasa Inggeris…Bahasa Melayu…jangan cakaplah. Jika sudah bertahun di luar negara mengaji ilmu kejuruteraan, takkan tak reti bahasa Inggeris. Jika sudah keturunan Melayu, takkan jelek berbahasa Melayu!

Kemudian, kami di Perak tambah teruja apabila MB kami ini rupanya sangat sayangkan Bahasa Melayu. Siapa pun tidak menyangka, rupa-rupanya dek kerana sayangkan bahasa ibundanya sendiri, maka Ir Nizar lama sebelum menjawat jawatan MB telah membawa anaknya menyaman Kerajaan Malaysia. Samannya berasas, kerana Kerajaan Malaysia telah melanggar hak Bahasa Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan Perkara 152. Sungguh bangga kami mempunyai MB seperti Ir Nizar…sayangnya bukan setakat di mulut tapi di kota apa yang dikata.

Apabila bergelar MB pun, Ir Nizar tetap mengekalkan watak seorang lelaki biasa. Tidak pula kelihatan dia memasang 'body guard' keliling pinggang. Bahkan, apabila Nizar menjadi MB lah, maka kediaman Menteri Besar di Ipoh makin terbuka untuk rakyat. Merasalah kami memijak aspal dan rumput di dalam kawasan kediaman MB. Jadilah…

Ir Nizar tidak malu pun untuk menikmati nasi bungkus di pejabatnya. Samalah dengan Tuan Guru mentornya di Kelantan. Nasi bungkus sudah jadi santapan biasa. Bukan haram pun…bahkan itulah yang rakyat suka.

Apabila diteropong kepada isterinya pula, lega hati…tak adalah pula Datin Seri Fatimah sudah naik 'tocang' dengan ternobatnya suami menjadi MB.. Masih lagi bertudung litup, masih sopan berkerudung dan berkurung. Masih sopan melayan tetamu dan pengunjung. Tidaklah berubah menjadi 'kaduk naik junjung.'

Anak-anak Ir Nizar lagilah…sungguh kami tak sangka, MB kami ini berwawasan akhirat melampaui dunia yang singkat. Anak-anaknya dihantar ke Timur Tengah, belajar syariah dan menjadi hafiz Quran. Samalah juga seperti Tuan Guru Nik Aziz, anak-anaknya alim dan warak…samalah seperti ayahandanya.

Itulah…sejuk hati kami rakyat Perak ber-MB-kan Ir Nizar. Tapi…selalunya orang yang baik memang ada yang berdengki. Maka, dilemparkanlah fitnah dan tohmah. Disebarkanlah berita palsu dan dakyah. Semuanya agar imej MB Ir Nizar yang baik bertukar comot dan kelam.

Semuanya ditangani dengan baik oleh Ir Nizar. Namun, kami rakyat Perak sedar…tidaklah semuanya sempurna 100 peratus. Adalah sedikit-sedikit kesalahan yang beliau terbuat atau terlepas pandang. Namun, semuanya masih boleh dimaafkan. Bukanlah besar sangat pun.

Malangnya, kesalahan kecil itulah diperbesarkan. Isu pemberian tanah kepada orang cina menjadi bahan utama. Kasihan MB Nizar. Takkanlah memberi tanah kepada rakyat Perak itu salah. Lainlah memberikan tanah kepada orang Singapura…macam terlepasnya Pulau Batu Puteh…tapi, penjelasan dan penafiannya tidak didengari. Mereka asyik mengecam dan mencaci. Kasihan MB kami.

Kini, puaslah agaknya hati para pendengki itu. Mereka sudah berjaya menafikan hak MB kami. Ir Nizar dipaksa turun dari jawatannya. Mereka peralatkan sultan. Mereka peralatkan media. Mereka jaja nama tuanku. Kononnya Ir Nizar sudah derhaka. Lalu, mereka angkat sumpah menjadi MB baru…walaupun MB Nizar masih MB yang sah.

Inilah cerita MB kami, Datuk Seri Hj Ir Muhammad Nizar Jamaludin. Anak Kampar Perak yang membesar di sekolah cina, belajar hingga ke England dan akhirnya mampu berkhutbah di mimbar masjid dan berceramah agama di mana-mana. Sayang…seorang teknorat agama seperti ini difitnah oleh orang seagama, yang kemaruk kuasa.

Tapi kami yakin…tak lama lagi, beliau akan jadi MB semula. Kami yakin…kami percaya, kerana kami pegang janji Allah…siapa yang tolong Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan tapak kaki mereka. Amin…!

Read More...

Pas benar semua media buat liputan muktamarnya.

Berita Harian

KOTA BHARU: Pas akan membenarkan semua media membuat liputan sepanjang mukmatar agungnya, Jun ini walaupun Umno melarang media milik pembangkang membuat liputan semasa persidangan Umno yang sedang berlangsung sekarang, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kita tidak akan halang. Kita akan membiarkan media arus perdana membuat liputan Muktamar Agung Pas nanti,” kata Menteri Besar Kelantan itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang melarang media pembangkang daripada membuat liputan perhimpunan agung Umno kali ini.

Nik Aziz menyifatkan sekatan itu sebagai mengelakkan percambahan pemikiran orang ramai.

Mengenai penggantungan pengedaran akhbar Harakah milik Pas, beliau berkata pihak pengurusan akhbar itu perlu merayu supaya tindakan tersebut ditarik balik. - Bernama

Read More...

Poster Hari Ini - Friday the 13th: Welcome to Najeeb Country!

mob's crib


Feel the cold wind and wet-wet weather lately?
Now you know the cause.

more:
Malaysia-Today

Read More...

Keris 'kontroversi' Panca Warisan 'dihadiahkan' kepada Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Keris kontroversi 'Panca Warisan' yang membayangi Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno dua tahun lalu tidak lagi bersama sayap parti itu tahun ini.

Sebaliknya keris tersebut dihadiahkan kepada Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai simbolik membawa semangat perjuangan Pemuda ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau kemudian mengucup keris tersebut dan tidak menjulangnya sebagaimana dilakukan sebelum ini.

Hishammuuddin yang melepaskan jawatannya dengan tidak bertanding kali ini, menerima keris berkenaan daripada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin selepas menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda pukul 10.35 pagi.

Menteri Pelajaran itu bertanding jawatan Naib Presiden umno, esok.

Isu keris Panca Warisan penah mencetuskan kontroversi apabila Hishammuddin mencium dan menghunuskan keris berkenaan dalam Persidangan Agung Umno 2007.

Tindakan Hishammuddin itu telah mengundang reaksi banyak pihak terutamya pembangkang yang mengaitkan seolah-olah Umno memerangi kaum-kaum lain.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Pemuda, Hishammuddin turut menasihatkan kepada barisan kepimpinan baru yang akan menerajui sayap paling lantang parti itu supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran yang akan dihadapi pada masa akan datang.

"Kita mesti merapatkan perjuangan agar sentiasa bersedia menghadapi saingan dan cabaran," katanya.

Beliau turut menegaskan sepanjang 11 tahun beliau memimpin parti itu, beliau tidak pernah mengkhianati orang Melayu.

"Saya sedar banyak SMS (khidmat pesanan ringkas) dan surat layang disebarkan menyerang peribadi saya... saya menyerahkan kepada penilaian Ilahi yang Maha Mengetahui.

"Bahawa, dalam diri cucunda Datuk Onn (Jaafar pengasas Umno) ini, mengalir darah perjuangan Melayu yang sejati berpaksikan kepada keluhuran nilai dan idealisme murni.

"Saya sama sekali tidak akan menderhakai wadah perjuangan yang diwarisi daripada nenda dan ayahanda saya. Saya sama sekali tidak akan mengkhianati perjuangan Melayu," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Read More...

Khairy: Halang media baru 'strategi salah'

Malaysiakini

Mar 25, 09 1:29pm

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata tindakan Umno mengharamkan media baru daripada membuat liputan perhimpunan agung Umno sebagai "satu strategi yang salah".

"Kita (Umno) sepatutnya mengalu-alukan media baru. Ini adalah trend masa depan.

"Kita perlu buka pintu kita, jika tidak (kita) akan dibanjiri khabar angin dan surat layang.

"Apa salahnya dengan penulis blog dan media baru. Kita tidak mengadakan mesyuarat tentang perkara rahsia, malah kita merupakan parti yang paling terbuka.

"Saya akan meminta pihak parti supaya menimbang semula keputusan tersebut untuk memboleh media baru membuat liputan perhimpunan esok," katanya kepada pemberita.

Sekurang-kurangnya enam media internet, termasuk Malaysiakini, gagal mendapat pas media daripada Umno untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu yang bermula malam tadi.

Perhimpunan kali ini akan menyaksikan pemilihan sengit bagi jawatan tertinggi parti - daripada timbalan presiden, naib presiden, Majlis Tertinggi serta pucuk pimpinan utama Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Tiada alasan rasmi diberikan mengapa parti itu enggan mengeluarkan kad media kepada pertubuhan berkenaan untuk membuat liputan perhimpunan agung selama lima hari itu.

Pertubuhan media lain yang gagal mendapatkan pas media dari Umno antaranya The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review.

Read More...

Sekat pengaruh besar Harakah, 'pengakuan kalah' pusingan pertama BN

Harakahdaily

Azamin Amin
Tue | Mar 24, 09 | 10:20:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Tidak mampu berhadapan dengan pengaruh besar akhbar Harakah yang berperanan mengubah minda rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat selama ini dilihat sebagai punca tindakan menggantung permit Harakah selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta semalam.

Tindakan ini secara tidak langsung merupakan 'pengakuan kalah' kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai media arus perdana seperti TV1, TV2, radio, akhbar dan stesen televisyen swasta tetapi tidak mampu untuk memulihkan imej BN dan Umno yang semakin buruk di mata rakyat yang senantiasa mendapat maklumat tepat dan benar daripada akhbar pembangkang.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi berhubung tindakan penggantungan permit tersebut.

"Ia adalah usaha untuk menyekat pendedahan maklumat berhubung situasi politik yang bercelaru dalam negara khususnya membabitkan parti yang 'bergelumang' rasuah seperti Umno termasuk pemilihan parti dan pemimpinnya.

"Mereka berusaha menutup maklumat tentang politik gawat Umno yang akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai," katanya. Image

Selain itu kata Mahfuz, ianya bertujuan untuk menonjolkan 'kejaguhan' Menterinya Dato' Seri Syed Hamid Albar supaya dilihat mampu menyekat kemaraan pembangkang dengan mencantas media alternatif yang sedia ada kerana beliau mahu meraih sokongan untuk bertanding sebagai calon Naib Presiden Umno dalam pemilihan di perhimpunan parti itu.

Walau apa jua tindakan defensif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan parti pemerintah, ia sama sekali tidak akan dapat memulihkan imej dan wajah Umno yang sudah terpalit dengan gejala rasuah yang parah dan kepimipinan yang bobrok.

"Jika ikut peruntukan yang sedia ada, KDN mesti memanggil Harakah dan bersedia mendengar penjelasan malah jika tidak puas hati atau Harakah tersilap lapor atau mana-mana pemimpin Umno rasa terjejas, mereka boleh ambil tindakan undang-undang sepert lazim yang dilakukan.

"Jelas tindakan ini akan memburukkan lagi imej BN-Umno di mata masyarakat dan juga antarabangsa yang tidak mendukung aspirasi dan melaksanakan amalan demokrasi dalam negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Rakyat katanya, sudah pasti tidak berdiam diri apabila maklumat dan laporan tidak sampai kepada mereka dan akan beralih kepada internet seperti Harakahdaily.net, laman-laman web pembangkang dan blog-blog.

"Apatah lagi kini kita bertembung dengan Umno dan BN di padang yang tidak sama rata apabila sumber media kita telah dicantas dan 'senjata' kita telah dilumpuhkan maka akan membangkitkan lagi kemarahan orang ramai yang mahukan maklumat yang sebenarnya.

"PAS akan berusaha yang terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan mengedarkan risalah, buletin-buletin tidak berkala dan akan memantapkan lagi Harakahdaily.net dan berharap agar semua blogger dan laman-laman web alternatif akan terus menyokong dan membantu kempen kita," katanya. - azm/mks. _

Read More...

Kereta termurah dapat pujian.

kosmo online


PEMANDU kereta Formula Satu India, Narain Karthikeyan bergambar dengan kereta Tata Nano yang dilancarkan kelmarin.


MUMBAI - Pakar-pakar automotif di India semalam memuji kereta termurah di dunia, Tata Nano dan menyifatkannya antara tawaran terbaik sepanjang zaman dan merupakan cetusan kepintaran minda anak watan negara berkenaan.

Kereta kecil semurah AS$2,000 (RM7,251) untuk model asas itu diperkenalkan kepada umum kelmarin oleh pengerusi syarikat Tata Motors yang menyatakan Tata Nano akan merevolusi kaedah perjalanan berjuta-juta rakyat India.

Rata-rata media India bersetuju kereta dengan reka bentuk sporty memiliki kapasiti enjin 624 cc itu melepasi ujian sebagai kereta yang setaraf dengan jenama kenderaan kompak Eropah seperti Smart dan Volkswagen Beetle.

Majalah kereta Autocar India menyifatkan Tata Nano sebagai comel, disukai dan menarik terutamanya kepada golongan wanita manakala ramai pemberita automotif terpegun dengan keluasan ruang dalamannya.

Menurut mereka, ruang dalaman kereta dengan ukuran panjang 3.1 meter itu cukup untuk penumpang menempuh kesesakan lalu lintas dengan selesa.

"Ia bukan kereta mainan atau beca beroda empat seperti dakwaan golongan skeptik. Tata Nano ialah sebuah kereta yang boleh dipercayai dan melakukan tugasnya dengan baik," kata AutoCar.

"Kereta itu kukuh dan berbaloi untuk setiap sen yang anda keluarkan dan kami percaya ia akan digilai ramai seperti Beetle," tambahnya.

Bagaimanapun, menurut penganalisis, para pembeli terpaksa menunggu agak lama sebelum dapat memandunya kerana permintaan untuk Tata Nano jauh melepasi jumlah pengeluaran 50,000 kereta setahun bagi tahun pertama. - AFP

Read More...

Tuesday, March 24, 2009

Kebangsawan Najib Sudah Menyerlah

msomelayu

BARU sekejap tadi bakal Perdana Menteri, Mohd Najib Razak selesai merasmikan serentak perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC. Ada beberapa kelainan dalam ucapan Najib kali ini terutamanya, intonasi, gaya serta isu kandungannya. Yang paling ketara gaya Najib bercakap tadi seperti dia sudah perdana menteri Malaysia, menjerit-jerit dan kadang-kadang mempersendakan orang lain.

Kebangsawannya Najib juga mula menyerlah. Lihat sahaja apabila dia sudah menggunakan skrin lut sinar yang memaparkan teks ucapannya. Skrin lut sinar berkenaan hanya digunakan oleh Dr Mahathir Mohamad sahaja sebelum ini dan tidak pernah digunakan oleh orang lain.

Abdullah Badawi atau Ghafar Baba maupun Anwar Ibrahim semasa menjadi timbalan perdana menteri dulu tidak berkesempatan menggunakan skrin berkenaan. Inilah kehebatan dan kebangsawanan Najib bin Razak bin Hussein.

Sepanjang ucapan hampir 45 minit tadi Najib kelihatan begitu ceria, gembira, dan konfiden sekali. Najib sudah yakin peralihan kuasa akan berlaku minggu depan. Mungkin beliau sudah mendapat tanda-tanda dan syarat-syarat jelas. Mungkin juga dia membaca apa yang saya paparkan dalam blog ini.

Bagaimana pun dalam nada penuh bersemangat, ghairah untuk melakukan perubahan getaran suara kebimbangannya tidak dapat disembunyikan Najib. Bila beliau memohon dan mengharapkan kerjasama ahli Umno menjelaskan Najib bimbang dengan masa depan Umno. Katanya beliau meminta disiapkan saf kepimpinan yang berintergriti, dedikasi dan baik untuk bergerak bersamanya.

Beliau mengakui peralihan kuasa berlaku dalam keadaan mencabar. Tanggungjawab yang akan dipikulnya sungguh mencabar. Najib menyedari masalah itu, dan inilah yang mungkin menganggunya. Justeru beliau berharap sokongan padu diberikan kepadanya. Ya... Najib memerlukan sokongan padu daripada Umno. Sekiranya berlaku peralihan kuasa tetapi ahli Umno tidak sepadu menyokongnya ia tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada Najib.

Beberapa perubahan juga dijanjikan. Sebenarnya perubahan biasa dilakukan mana-mana pemimpin yang baru nak naik. Saya teringat semasa saya menganggotai jawatan kuasa PIBG sekolah anak-anak dulu. Setiap kali pengerusi baru naik ada-ada sahaja janji dan pembaharuan yang hendak dibuat oleh pengerusi baru. Selepas berjalan beberapa bulan kedudukan dan kemajuan PIBG tetap juga sama.

Apakah hal ini juga akan berlaku dalam Umno? Inilah yang membimbangkan Najib.

Ada dua perubahan yang bakal dibuatkan Najib. Pertama akan melatih pemuda menjadi pemimpin yang berintegriti, dedikasi dan komited. Latihan itu katanya akan di buat dua malam tiga hari, atau tiga hari emapat malam bukan lagi di hotel lima bintang tetapi di luar bandar. Dia mahukan pemuda lasak dan tahan diuji.

Apakah Umno sudah tidak ada duit untuk mengadakan latihan di hotel lima bintang? Saya bimbang latihan itu nanti tidak mendapat sambutan kerana pemuda Umno tidak biasa dengan kem latihan seperti PLKN itu kerana di kem-kem seperti itu banyak pacat dan lintah. Apakah pemuda dibentuk pada zaman Hishamuddin itu berani dan tidak geli dengan pacat dan lintah?

Perubahan kedua menurut Najib ialah beliau mahu ubah sistem pemilihan dalam Umno. Sistem kuota akan dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang melibatkan lebih ramai lagi ahli yang boleh menentukan pemimpin. Sistem itu juga katanya bagi mengelakkan berlakunya politik wang dan perebutan kuasa.

Sama-samalah kita tunggu apakah perubahan itu dapat dilakukan dan dapat mengubah budaya dalam Umno yang sudah mentradisi sejak lama dulu. Sudah pasti sekiranya perubahan itu tidak berlaku tempoh Najib menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri mungkin lebih singkat daripada Abdullah.

Kelainan lain dalam ucapan Najib tadi ialah apabila ada beberapa perkataan Arab digunapakai oleh Najib. Saya mencatat satu persatu perkataan itu apabila disebut oleh Najib dan mendengar serapi mungkin untuk mengetahui apakah sebutan makhraj konsoni)nya betul.

Antara perkataan yang sempat saya dengar dan tanda ialah, mahasabah, sirah, tarbiyah, al-falah, tawaduk, mazmumah, mahmudah dan lain-lain. Najib menggunakan perkataan-perkataan Arab ini apabila beliau bercakap mengenai Islam. Inilah satu pembaharuan yang mulai diterokai Najib di mana cuba mensepadankan bahasa dengan topik percakapannya.

Tetapi malang sedikit apabila beberapa kali menyebut Rasulullah Najib tidak berselawat dengan menyebut sallahuailaihiwasalam (s.a.w.) mungkin lidahnya masih lagi keras. Apakah Najib tahu biasanya mereka yang tidak bersalawat ke atas Nabi ialah orang Yahudi ataupun para orentalis.

Mengenai kedudukan bahasa Melayu (PPSMI) yang kini sedang ditentang oleh para pejuang bahasa dan budaya tidak mendapat perhatian Najib. Najib sikitpun tidak simpati dan tetap mengatakan PPSMI akan diteruskan. Nada dan bahasa percakapan Najib mengenai bahasa Melayu ini sama dengan apa yang diucapkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Najib juga begitu berkeyakinan beliau mampu untuk memikul tanggungjawab yang ditinggal Abdullah. Sepanjang ucapannya Najib langsung tidak bercakap soal perpaduan Melayu sejagat untuk mempelawa pembangkang. Cara Najib bercakap menunjukkan ego dan sombongnya bahawa beliau akan pulihkan Umno dan menjadikan Umno lebih hebat dari sekarang.

Alangkah baik kalau dalam ucapan pertama menjelang penobatan beliau sebagai perdana menteri Najib membuka ruang dan membawa irama lemah lembut dalam pentadbirannya. Cara itu menyebabkan orang tidak nampak kesombongannya dan tidak rugi kalau Najib mengalah dan berlembut.

Dengan gaya, nada dan isu ucapan malam ini payah untuk Umno melakukan perubahan dan membaiki kecacatan kini kerana Najib sendiri tidak memiliki sifat mahmudah seperti mana yang disarankan itu. [wm.kl. 10:30 pm 24/03/09]

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |