Harakahdaily Azamin Amin Wed | Apr 30, 08 | 7:17:53 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis. Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut. "Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut. "Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam. Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat. "Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata. "Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang. Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja. Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama. "Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya. Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun. Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi. Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. - mks. |
Wednesday, April 30, 2008
Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan
Posted by
Sang Pemantau
at
8:38 AM
Labels: Harakahdaily, mufti, Perlis, TV3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment