Oleh Bernama |
Rabu, 30 April 2008
|
KL: Kekeliruan mengenai kertas undi mungkin menyebabkan 17 Anggota Parlimen pembangkang memilih calon Barisan Nasional untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat semalam, kata Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini. Katanya kertas undi menetapkan mereka mengundi dua calon tetapi sesetengah daripada wakil rakyat tidak sedar bahawa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan mereka memilih seorang calon saja. Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) mendapat 157 undi untuk jawatan Timbalan Speaker, mengalahkan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang mendapat 140 undi dan Dr Tan Seng Giar (DAP-Kepong) yang menerima 81 undi. Dewan Rakyat mempunyai 140 wakil daripada BN dan 82 daripada pembangkang. Karpal Singh berkata kekeliruan itu juga mungkin disebabkan sesetengah Anggota Parlimen adalah muka baru dan mereka ini kurang faham mengenai proses memilih Timbalan Speaker. Mengenai identiti satu-satunya wakil rakyat pembangkang yang tidak memilih Dr Tan, beliau berkata pakatan pembangkang mengesyaki seseorang tetapi beliau enggan menamakannya. Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang mengisytihar dirinya seorang Bebas walaupun beliau bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya 8 Mac lepas, berkata satu daripada undi beliau adalah untuk Wan Junaidi. "Yang satu lagi saya tak dapat nak sahkan," katanya. |
0 comments:
Post a Comment