Utusan Online
KUALA LUMPUR 26 Mei - Kerajaan digesa menghapuskan subsidi minyak yang diberikan kepada penduduk negara ini dengan jumlah subsidi keseluruhan kini mencecah RM56 bilion setahun.
Ketua Jabatan Ekonomi, London School of Economics and Political Science (LSE), Prof. Danny Quah (gambar) berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengekang peningkatan kadar inflasi secara berterusan.
"Namun kerajaan harus melakukan langkah tersebut dalam beberapa peringkat atau fasa bagi membiasakan rakyat dengan kehilangan subsidi tersebut.
"Selepas subsidi ditarik balik, harga minyak sudah semestinya akan meningkat berganda-ganda dan kadar inflasi juga akan naik sama, tetapi ia merupakan kenaikan sekali sahaja berbanding dengan kenaikan secara berterusan sekiranya kerajaan terus memberikan subsidi,'' katanya ketika menyampaikan syarahan awam mengenai kenaikan dan kejatuhan subsidi di Malaysia di sini hari ini.
Penghapusan subsidi minyak yang dilakukan secara berperingkat-peringkat boleh dimulakan dengan pengurangan sebanyak 15 hingga 20 peratus bagi tempoh enam bulan pertama, tambahnya.
"Apabila subsidi dikurangkan atau dihapuskan, harga barangan akan mula melambung, oleh itu kerajaan harus mencari mekanisme lain bagi membantu golongan miskin atau memberikan pampasan dengan cara pembayaran terus kepada mereka.
"Ini bagi memastikan rakyat miskin tidak terbeban dengan kenaikan barangan keperluan. Bagi melaksanakan pembayaran pampasan, kerajaan perlu mencari maklumat tepat terhadap kedudukan pendapatan rakyat sebelum membuat sebarang pembayaran,'' jelasnya.
Kesan ketara selepas penghapusan subsidi adalah peningkatan kadar inflasi jangka pendek sebanyak lima hingga enam peratus, tetapi peningkatan mendadak itu tidak akan meningkat secara berterusan, katanya.
"Peningkatan inflasi secara mendadak akan menjadikan harga barangan di pasaran mempunyai jurang yang luas antara harga murah dan harga mahal.
"Secara tidak langsung ia akan memberitahu sistem ekonomi supaya berubah dengan meningkatkan pembelian terhadap barangan murah dan mengurangkan penggunaan barangan mahal yang pada akhirnya dapat mengimbangkan harga pasaran,'' ujarnya.
Ketika ditanya kewajaran kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat kini, Quah berkata, kerajaan harus mengekalkan subsidi lain seperti subsidi makanan.
"Memandangkan keadaan dunia sekarang yang sedang menghadapi krisis makanan, kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat menderita dengan menghapuskan subsidi makanan atau beras,'' katanya.
Selain itu, katanya, penghapusan subsidi minyak dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan masalah tidak efisien dalam pemberian subsidi.
0 comments:
Post a Comment