Siasah daily
Sunday, May 25, 2008
KUALA LUMPUR, 26 Mei: PAS mengajak para pemimpin Umno supaya membuat perubahan dengan cara baru iaitu menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan para pemimpim Umno ini penting bagi memastikan tertegaknya kerajaan baru yang berasaskan kepimpinan Melayu Islam serta perpaduan dan keadilan untuk semua kaum di negara ini.
Untuk melaksanakan hasrat itu, katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menemui mana-mana pihak bagi menyatakan hasrat PAS itu.
Abdul Hadi berkata demikian dalam kemelut peralihan kuasa yang sedang melanda negara ini sekarang ekoran pengisytiharan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu.
Bagi Abdul Hadi, parti Umno sudah sampai umur bersara dan para pemimpinnya perlu mencari pendekatan dan platfom baru.
Platform baru ini, kata beliau, akan memastikan tidak ada diskriminasi untuk negeri-negeri di pantai timur (Kelantan dan Terengganu) atau negeri-negeri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.
"Kalau selama ini Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sentiasa ketinggalan di bawah kerajaan lama dan berada dalam kategori negeri-negeri miskin, walaupun mempunyai sumber yang kaya, melalui pakatan baru ini kita berharap akan dapat memperbetulkan keadaan ini," kata beliau dalam pertemuan khas dengan Siasah.
Berhubung dengan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu, Abdul Hadi berkata, tindakan itu membayangkan kerajaan BN pimpinan Umno sememangnya sangat lemah sekarang.
"Kita bersedia untuk memberikan pentas PAS kepada Tun Dr Mahathir jika beliau mahu dan sedia juga mempertimbangkan jika beliau memohon untuk menyertai PAS," kata beliau mengulas tawaran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Mahathir menyertai PAS.
Menurutnya, PAS sekarang sedang menangani perkembangan baru yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan berusaha untuk meneguhkan lagi pakatan ini.
"Kita selalu bertemu dengan pimpinan lain dalam Pakatan. Yang terbaru kita bertemu dengan Datuk Seri Anwar dan berbincang cara-cara untuk mencapai hasrat bagi membentuk kerajaan baru di peringkat Pusat.
"Nampaknya beliau sangat yakin untuk membentuk kerajaan baru, tinggal lagi kita sedang mengkaji kesan-kesannya atas dasar dan perjuagan PAS," kata beliau.
Untuk itu, kata beliau, para pemimpin Umno perlu juga menyertai pakatan ini kerana kerajaan yang Umno bina itu sudah sampai masa untuk bersara.
0 comments:
Post a Comment