+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 27, 2008

Kerajaan Selangor haram program berkaitan Islam Hadhari

Berita Harian

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari mulai hari ini kerana tidak mahu konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikembangkan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali ( gambar ) , berkata selaras dengan arahan itu, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.

Beliau memberi alasan konsep Islam Hadhari tidak diperlukan kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.

"Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ini kerana, ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor," katanya pada sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji untuk menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin Pas, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya."Jika ada yang mendakwa saya dan ahli Pas lain yang membuat janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, Pas yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentabbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

"Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya.

Hassan mendakwa, pembinaan Jalan Sekinchan-Sabak Bernam adalah contoh pemberian tender secara runding terus yang diakui oleh Jabatan Audit Negara sebagai projek yang dibina tanpa mematuhi peraturan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketika itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) bangkit mencelah dan memberitahu kes itu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Projek ini ditentukan oleh JKR. Apa-apa tindakan pun mestilah kepada JKR. Bagi saya mudah saja, apa-apa cadangan yang dibuat ikut peraturan saya akan luluskan.

"Bagi kes Balkis, misalnya, jika ada salah guna kuasa atau wang sila buat laporan," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |