+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 13, 2008

Pakatan hanya untuk perhubungan awam: Khairy

Mstar Online

12-05-2008 07:42:17 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini berkata, pakatan pembangkang PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggelar diri mereka sebagai Pakatan Rakyat adalah usaha perhubungan awam semata-mata.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, pakatan itu tidak berani kerana apabila dicermin, mereka sebenarnya rapuh dan tidak kukuh, lemah dan saling meragui sesama sendiri serta khuatir ditikam sesama sendiri.

"Penggabungan ini hanya (usaha) PR. PAS dengan DAP hanya PR supaya di mata rakyat nampak cantik, nampak menarik, nampak kukuh. Tetapi apa sebenarnya yang tersirat di dalamnya, dalam perkara asas, jelas tiada persefahaman," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mempersoalkan pendirian PAS mengenai kontrak sosial yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) supaya ia dikaji semula dan isu negara Islam yang diperjuangkan.

Beliau berkata, kata-kata Lim yang tidak bersahut, menampakkan parti Islam itu umpama singa tidak bergigi serta takut dengan dalang yang diajak bersekongkol.

"Kami di sebelah sini pun tidak sempurna dan ada kelemahan. Tetapi selagi Barisan Nasional memegang kerajaan persekutuan, kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan akan kita pertahankan," katanya.

Khairy juga mempersoalkan kenapa Pakatan Rakyat tidak boleh memberikan komitmen untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru di semua negeri pentadbirannya agar lebih seragam dan konsisten.

Katanya perbezaan itu dapat dilihat apabila dalam lima negeri yang diperintah pembangkang, ia adalah negara Islam di Kedah dan Kelantan, Malaysian Malaysia di Pulau Pinang, kerajaan boneka di Perak dan projek babi di Selangor.

Beliau juga meminta satu taklimat khas diadakan di Parlimen di mana penyata lengkap dibentang agar kedudukan kewangan serta saluran keuntungan Petronas dapat difahami dengan jelas oleh semua wakil rakyat.

Mengikut penyata kewangan Petronas 2007, kerajaan mendapat RM48.3 bilion dalam bentuk cukai dan royalti dan ia adalah 66.2 peratus daripada keuntungan kasar Petronas dan baki digunakan untuk operasi carigali di negara asing.

Khairy juga mencadangkan kerajaan melaksanakan sistem e-perolehan yang mampu menjamin kos harga barang yang dibeli dijimatkan sehingga 25 peratus, seperti yang dilakukan syarikat gergasi dunia.

Katanya, sistem track and trace dalam kerajaan juga dicadangkan supaya rakyat mampu mendapat maklumbalas segera dan tepat masa mengenai permohonan mereka yang bakal meningkatkan sistem penyampaian dan mengurangkan kemungkinan berlaku rasuah.

Datuk Wilfred Bumburing pula mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menangani masalah pendatang haram, khasnya warga Filipina yang semakin meruncing di Sabah.

Katanya, sehingga kini tidak nampak kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu itu memandangkan tiada tindakan holistik untuk menanganinya sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, masalah itu semakin meruncing kini terutama di beberapa kawasan di mana nisbah antara rakyat tempatan dan warga asing itu mencapai 1:1.

"Malah di sesetengah tempat, rakyat tempatan sudah takut untuk keluar kerana tempat mereka sudah dibanjiri pendatang asing hingga ada yang bertindak mengugut rakyat tempatan dan mendakwa Sabah milik mereka," katanya.

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pula dalam ucapannya terus mempertahankan kenyataannya yang menyentuh hak Raja-Raja Melayu, yang menurutnya, tidak melanggar undang-undang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |